06 November 2009

Pengakuan JPMK : Kenyataan Rasmi Pemangku Presiden

PMRAM sekali lagi melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap Prof. Madya Dr. Jamil bin Hashim, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) apabila mendapat tahu bahawa beliau tidak mengakui tentang beberapa persetujuan dengan pihak PMRAM yang telah dibuat pada 14 Oktober lalu.

Pengakuan yang telah dibuat ketika bertemu dengan Ahli Jawatankuasa DESAK pada 3 November 2009 itu merupakan tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang berpengaruh serta mempunyai jawatan yang cukup tinggi.

Ketika saya dan beberapa orang Badan Pengurus PMRAM serta wakil YDP BKAN yang lain bertemu dengan beliau untuk mendapatkan penjelasan tentang isu Kutub Sittah, beliau bersetuju untuk membersihkan kembali nama PMRAM di peringkat Al-Azhar serta bersetuju untuk menghadiri dialog secara terbuka di hadapan semua mahasiswa dan mahasiswi.

Walaupun persetujuan tersebut telah dicapai, namun sehingga ke hari ini, pihak beliau masih belum melakukan apa-apa tindakan. Bagi PMRAM, ini merupakan tindakan yang tidak profesional daripada beliau walaupun PMRAM mengambil pendekatan diplomasi dalam menghadapi isu Kutub Sittah ini. Sebagai seorang pengarah JPMK, beliau sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dan bertindak sebagai seorang yang mempunyai jawatan yang tinggi.

PMRAM berharap agar semua ahli sentiasa berdoa semoga persatuan induk ini terus mendapat bimbingan daripada Allah SWT dalam setiap tindakan yang dilakukan serta dilindungi daripada sebarang gangguan dan ancaman.

Akhir sekali, saya mewakili PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan ahli terutamanya kepada Ahli Jawatankuasa DESAK kerana berjaya menyerahkan memorandum tuntutan ahli kepada Pengarah JPMK pada pertemuan 3 November lalu. Tandatangan yang dikumpulkan hampir 2500 ini membuktikan bahawa sokongan dan dukungan ahli kepada PMRAM terhadap isu ini.


Shahrizan bin Mohd. Hazime
Pemangku Presiden PMRAM 2009

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal