08 January 2010

Ciri-ciri Ajaran Sesat, Berhati-hati!

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menyenaraikan ciri-ciri ajaran sesat dan penjelasannya di dalam buku Penjelasan Terhadap 58 Ciri-ciri Ajaran Sesat Di Malaysia, yang ditulis oleh Haji Abdul Hamid @ Yusoff bin Yunus. Di dalamnya juga dimuatkan sebanyak 7 kriteria-kriteria ajaran sesat dan 58 ciri-ciri yang dijelaskan.

Garisan-garisan tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama, Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura dan dinyatakan di dalam buku, Kriteria-kriteria Ajaran Sesat BAHEIS JPM 1994. Antara kriteria-kriterianya ialah :

1. Kepercayaan kepada rukun-rukun iman dan asas-asas akidah secara bertentangan dan tidak selaras dengan akidah Ahli Sunnah Wa al Jamaah, seperti mempercayai kitab lain yang mampu menyaingi dan memansuhkan al Quran, mempercayai terdapat kiblat selain dari Kaabah dan seumpamanya.

2. Mempertikai kebenaran al Quran atau Hadith Nabi SAW yang telah diakui keshahihannya oleh ulama’ Hadith.

3. Mana-mana ketua atau ahlinya yang mendakwa dirinya adalah nabi terakhir, Nabi Isa AS, Imam Mahdi yang dinantikan atau seumpamanya.

4. Kepercayaan kepada penyatuan beberapa agama terbesar di dunia sebagai sebuah agama yang sepatutnya menjadi anutan kepada semua manusia.

5. Pendewaan diri, pemimpin atau mana-mana individu dalam kumpulan tersebut, secara bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wa Al Jamaah. Contohnya mendakwa (secara pasti) bahawa diri atau gurunya sebagai ahli Syurga, boleh menebus dosa, memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain seperti boleh bekahwin lebih daripada empat dan sebagainya.

6. Mengadakan bid’ah atau pendapat baru yang bertentangan dengan akidah dan syariah yang telah ditetapkan dengan dalil Qath’ie yang tidak boleh dipertikaikan. Contohnya menghapuskan kewajipan berjihad, Solat Jumaat, puasa di Bulan Ramadhan, haji di Mekah dan seumpamanya.

7. Mentafsir, menghuraikan al Quran atau Hadith Nabi SAW mengikut sesuka hati.

Laporan Bernama.com bertarikh 20 Januari 2007 menyatakan bahawa sebanyak 102 ajaran sesat telah dibenteras dan 22 lagi masih lagi dalam pantauan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sebelum ini, pada tahun 2006 sebanyak 56 ajaran sesat telah diwartakan secara rasmi.

Selain itu, buku tersebut juga telah menyenaraikan sebanyak 58 ciri-ciri Ajaran Sesat, iaitu :

1. Mempercayai bahawa semua agama adalah sama

2. Mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang

3. Memansuhkan syariat Islam dan membuat syariat baru

4. Guru membuat pengakuan memegang kunci syurga

5. Mengaku Allah SWT menjelma dalam diri guru atau seseorang

6. Mempercayai bahawa makhluk-makhluk seperti kayu, batu atau lain-lain, memiliki kuasa mutlak

7. Menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT

8. Menghalalkan nikah adik beradik

9. Meminta pertolongan terus daripada orang yang telah mati (bukan bertawassul)

10. Mengaku bahawa gurunya sebagai nabi atau malaikat

11. Mempercayai kebangkitan nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW

12. Mempercayai wahyu turun selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW

13. Mengaku dirinya sebagai Nabi Isa AS

14. Syeikh atau gurunya mendakwa mempunyai mukjizat

15. Mempercayai roh orang mati boleh memberi pertolongan apabila namanya diseru

16. Guru mengaku Imam Mahdi dan muridnya yang terkanan ialah Nabi Isa AS

17. Perbuatan zina, judi, minum arak dan segala bentuk dosa boleh dilakukan oleh guru khalifah terkatnya dan menjamin akan mendapat keampunan Allah SWT ke atas dosa pengikutnya

18. Amalan Haji tidak semestinya di Mekah, bahkan di tempat selain daripadanya juga dibolehkan

19. Sembahyang tidak perlu berjemaah dan tidak perlu mengadap kiblat

20. Mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib dan mampu menilik nasib seseorang

21. Islam seseorang tidak sah jika tidak diislamkan oleh gurunya

22. Semua manusia melihat Allah SWT di dunia ini

23. Ajaran hendaklah dirahsiakan oleh pengikut, dan sekiranya mereka membocorkannya akan ditimpa bala

24. Guru atau murid membuat pengakuan menerima wahyu

25. Mendakwa bahawa dirinya sebagai wakil Nabi, dan mampu memberi syafaat kepada muridnya

26. Mengaku diri atau gurunya ma’sum (tiada dosa)

27. Mempercayai roh orang mati menjelma ke dalam jasad orang hidup

28. Boleh memanggil roh orang mati (tahdhir al arwah) dalam amalan menurun oleh bomoh atau tukang sihir

29. Boleh meramal kedatangan Imam Mahdi dan Hari Kiamat

30. Mempercayai bahawa orang tertentu ghaib (tidak mati) dan akan lahir semula sebagai Imam Mahdi

31. Pengikut tidak boleh berkahwin dengan orang yang bukan pengikut ajaran tersebut

32. Murid-murid tidak dibenarkan mengahwini janda gurunya

33. Huruf-huruf dalam perkataan tertentu mempunyai lambangnya tersendiri

34. Al Quran mempunyai makna batin, yang berbeza (menyalahi) dengan maknanya yang zahir
35. Islam itu ada zahir dan batinnya. Batinnya ialah isi, setelah sudah memperolehi isinya, kulit tidak lagi berguna

36. Mendakwa dengan melalui tarekatnya, Allah SWT akan menurunkan Nur (cahaya) ke dalam badan Nabi Adam AS, turun temurun ke dalam badan semua nabi dan seterusnya ke dalam badan-badan imam (syiah) atau guru-guru, berterusan sehingga tidak berakhir

37. Mendakwa dirinya sebagai penjelmaan sahabat-sahabat Nabi SAW

38. Nikah menurut syariat hanyalah adat, oleh itu ia perlu bernikah sekali lagi yang dinamakan sebagai nikah batin

39. Ibadah Solat sudah memadai dengan niat semata-mata (lintasan hati)

40. Penyerahan rohani/jasmani kepada guru melalui nikah secara batin

41. Setiap murid dikehendaki menyerahkan diri, isteri, anak dan harta benda kepada gurunya

42. Amalan seperti zikir mampu menangguhkan tarikh Hari Kiamat

43. Sesiapa yang mengikut tarekatnya sahaja dibolehkan masuk ke Syurga

44. Mempercayai bahawa bacaan seseorang guru itu kepada sesuatu benda seperti batu, gunung dan lain-lain berkuasa memberi kesan baik atau buruk

45. Mempercayai bahawa dirinya selaku guru dan anak muridnya sahaja yang layak mendapat pertolongan Allah SWT (ma’unah)

46. Gurunya mampu memberikan kuasa yang luar biasa kepada pengikut-pengikunya

47. Mengaku dan mempercayai seseorang tu boleh berhubung terus dengan Allah SWT melalui Nur Muhammad SAW yang berada di dalam dirinya

48. Guru mendakwa bahawa tugas-tugas para Rasul diamanahkan kepadanya

49. Bersemadi di tempat-tempat gelap memusatkan kepada satu-satu hajat yang bukan dari ajaran Islam

50. Sebelum pergi menunaikan haji ke Mekah, dikehendaki bersuluk terlebih dahulu di Panca Budi di Medan atau memadai di Medan sahaja

51. Mendakwa sebagai wali sedangkan bergelumang dengan maksiat

52. Murid-muridnya tidak dibenarkan mengahwini mana-mana wanita yang diminati oleh gurunya

53. Meninggalkan Solat Jumaat kerana bersuluk

54. Mengagung-agungkan Yahudi dan keturunannya sebagai kerabat dan perlu dicontohi

55. Murid-murid dilarang berbincang sesama mereka jika terdapat kemusykilan, tetapi hendaklah dirujuk kepada guru

56. Mendakwa bahawa ajaran tarekatnya diambil terus daripada Rasulullah SAW dalam keadaan berjaga yang bertentangan dengan syara’

57. Mengikut secara membuta tuli ajaran gurunya, walaupun gurunya melakukan kesalahan dan dosa

58. Pengikut-pengikut lelaki atau perempuan dikehendaki melalui ujian yang dijalankan oleh gurunya di dalam sebuah bilik khas dan bersumpah tidak akan membocorkan apa yang terjadi di dalam bilik tersebut

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal