06 April 2010

Berlakon Pakai Kopiah Untuk Halalkan Restoran


Restoran tidak halal berlakon pakai kopiah, tutup aurat

sumber : harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 April: Ustaz Taib Azamudden Md Taib (PAS-Baling) berkata, masih terdapat banyak kedai makan dan restoran yang cuba mengaburi mata umat Islam dengan menggunakan logo halal palsu dan mempamerkan imej Islam untuk melariskan jualan mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan tindakan khususnya dari segi mekanisme yang digunakan dalam pemantauan penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku lagi penyalahgunaan pensijilan halal oleh pihak-pihak tertentu.

"Sejauh mana persiapan pihak Jakim dalam pemantauan penguatkuasaan iaitu mekanisme yang digunakan selepas ini supaya tidak berulang lagi penyalahgunaan pensijilan halal oleh pihak tertentu dan sekaligus menipu umat Islam.

"Begitu juga difahamkan, ada kedai makan dan restoran yang tidak halal tapi berlakon seolah-olah halal dengan menggunakan wanita memakai tudung dan begitu juga ada tauke pakai kopiah walaupun bukan Islam. Ada pula yang guna kalimah Allah dan Nabi Muhammad untuk mengaburi mata orang Islam. Perkara itu berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini," katanya sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dalam jawapannya bagaimanapun berkata, perkara itu bergantung kepada kesedaran pengguna untuk memastikan kedai makan tersebut halal atau pun tidak.

Beliau juga memberitahu, kerajaan telah mewujudkan kempen satu halal satu Malaysia secara besar-besaran bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan itu.

Sebelum itu, Taib Azamudden meminta Perdana Menteri menyatakan bahawa bidang kuasa pensijilan halal telah dikembalikan di bawah kuasa Jakim sepenuhnya dan beliau ingin tahu mengenai perbelanjaan yang telah diperuntukkan dalam jumlah yang besar kepada Halal Development Corporation (HDC) sebelum ini, dan adakah HDC akan diberhentikan operasinya.

Menteri memberitahu, Jakim mengambil alih kuasa pensijilan halal daripada Jakim pada 1 Ogos 2009 dan sejak itu kuasa pensijilan halal hanya kepada Jakim dan HDC bertumpu kepada promosi dan peningkatan industri halal di peringkat antarabangsa.

Kini HDC diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sementara itu, Datuk Lilah Yassin (BN-Jempol) senada dengan Taib Azamudden mahukan Jakim menggunakan kuasa mereka untuk memantau aktiviti penipuan menggunakan sijil halal Jakim.

Mashitah berkata, Malaysia belum mewajibkan semua kedai mendapatkan sijil halal Jakim kecuali untuk tujuan komersial sahaja.

Justeru, beliau menyerahkan kepada pengguna untuk membuat pilihan.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal