25 April 2010

Dialog Bersama Gadis Perokok Tegar.. Dah Biasa La..


''Saya mula merokok ketika tingkatan dua. Masa tu saya mula clubbing dan kawan-kawan pun merokok. Lagi pun kakak-kakak saya merokok, so no hallah merokok ni.

''Pernah kantoi bila mak dan ayah saya terjumpa kotak rokok dalam tas tangan, tapi saya bagi alasan rokok tu kawan yang punya.''

Selamba gadis cantik itu bercerita tatkala penulis berkesempatan melepak dengan dia dan seorang lagi temannya yang juga seorang perokok.

Gadis yang mahu dikenali sebagai Ema tidak keberatan bercerita tentang tabiat merokok yang disifatkan sebagai biasa di kalangan 'gadis KL'.

Sebelum sempat penulis bertanya lanjut, dia pantas mengajukan soalan:

''Kenapa nak tahu pasal gadis-gadis merokok, benda ni biasalah, tak best nak tulis pun, sebab kat KL ni budak perempuan merokok bukan luar biasa.''

Penulis menjawab disebabkan merokok jadi fenomena biasalah yang menarik perhatian penulis untuk mengetahui apa sebenarnya punca kegilaan itu.

Ema memberitahu, sebagai anak jati KL yang dibesarkan dalam suasana bebas, terjebak dalam aktiviti merokok pada usia belasan tahun adalah perkara biasa. Dia mengakui ibu bapanya marah jika tahu anak-anaknya merokok tetapi dia dan kakak-kakaknya bijak menyimpan rahsia.

Pendedahan awal yang menjebak dirinya dengan rokok adalah clubbing.

''Dalam club semua orang hisap rokok, saya dan kawan-kawan pun merokok sebab nak jadi macam orang lain,''
katanya sambil memberitahu tabiat merokoknya itu bagaimana dapat dihentikan sebaik memasuki tingkatan tiga hingga ke tingkatan lima.

Ditanya apa jadi selepas itu, dia merenung jauh sambil menyingkap kisah cintanya yang gagal menyebabkan dia betul-betul kecewa dan menjadikan rokok sebagai pengubat lara.

Bermula dari situ, dia tidak menoleh lagi. Memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) bukan alasan untuk dia berhenti, malah ketagihan merokok semakin menjadi-jadi. Dia sanggup tak makan asalkan dapat membeli rokok.

Dia pernah melepaskan gian merokok di dalam ruang kecil yang menempatkan hos bomba, bayangkan ruang sesempit itu pun 'halal' asalkan ketagihan dapat dilepaskan.

Segala-galanya menjadi mudah buat Ema apabila dia tinggal di rumah sewa. Tidak ada halangan langsung, dia dan rakan-rakan 'seangkatan' bebas merokok sesedap hati.

''Saya menjadi perokok tegar. Malah rakan-rakan saya menyamakan saya dengan perokok lelaki. Dua kotak besar sehari perkara biasa. Atau paling kurang pun satu kotak setengah maknanya sekurang-kurangnya 30 batang sehari,''
...... katanya.

Ditanya apa sebenarnya kepuasan yang dia dapat daripada merokok, Ema mengakui tiada kepuasan cumanya apabila tidak merokok bibirnya akan bergetar dan tekak berasa pahit.

Waktu wajib merokok bagi gadis berkulit putih kemerahan itu adalah bangun pagi, selepas makan tengah hari dan sebelum tidur. Malah dia mengakui merokok semasa membuang air besar adalah satu nikmat yang tidak boleh diceritakan.

Kebiasaannya, menurut Ema, perokok wanita akan bermula dengan rokok Sempoerna diikuti Malboro Light dan akhirnya jenama-jenama berat seperti Dunhill.

Ditanya mengapa, dia memberitahu, rokok Sempoerna menawarkan rasa manis jadi tidak terlalu berat untuk beginner manakala Malboro agak ringan.

Dia sendiri sehingga kini setia dengan Dunhill Light. Mengenai sama ada dia masih terikat dengan kisah putus cinta di tengah jalan menyebabkan tabiat merokok masih berterusan, Ema berterus terang telah menemui cinta baru.

''Bestnya sebab tunang saya tak kisah saya merokok. Dia pun merokok juga,''
..... petah dia menjawab sambil tersenyum.

Dia menyambung sembangnya, kegilaan clubbing berterusan menyemarakkan ketagihan merokok. Alasannya, di club ramai yang minum arak dan dia serta kawan-kawannya tak mahu terjebak dengan minuman keras lantas meneruskan tabiat merokok.

Mala, teman kepada Ema pula menjadikan stres sebagai punca dia merokok. Segala tekanan yang dihadapinya sebagai remaja akan lenyap bersama setiap sedutan asap rokok yang memenuhi paru-parunya. Melihat kepulan asap rokok yang dihembus terutama dalam suasana tenang umpama membiarkan segala masalah lenyap begitu saja.

Seperti Ema, dia juga setia dengan Dunhill Light tetapi tidak setegar Ema yang mampu menghisap 30 batang rokok sehari. Tabiat merokok Mala bermula agak lambat iaitu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Dia mengakui pergaulan bebas mendorongnya merokok sehingga selepas beberapa tahun tabiat itu menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Ditanya betulkah rokok boleh menghilangkan stres atau itu hanya psiko, Mala tersenyum manja dan manis.

''Saya rasa memang betul sebenarnya rokok bukan melegakan stres cumanya saya percaya ia begitu, maka jadilah begitu,''
...... ujarnya.

Ema dan Mala tidak dapat menjangkakan bila mereka mahu berhenti merokok. Bagi Ema yang sedang menunggu hari bahagia, perkahwinan tidak mungkin menghentikan tabiat itu. Lantaran tidak ada janji antara dia dan bakal suami yang mengikatnya untuk berhenti merokok.

''Tengoklah mungkin kalau mengandung mungkin baru berhenti kut,''
........ katanya.

Mengenai kegilaan gadis-gadis merokok, Ema berpandangan kebanyakannya hanya mengikut trend. Ada juga yang mahu kelihatan moden terutama gadis-gadis dari luar Kuala Lumpur. Kononnya merokok menunjukkan mereka ada gaya, hebat dan trendy - tidak seperti Ema yang terbelenggu oleh tabiat itu disebabkan ketagihan.

Dia akan berasa geram tidak terhingga dan marah-marah jika tidak dapat merokok. Ketegaran menyebabkan anak gadis yang mencecah usia 25 tahun itu tidak pernah peduli cakap-cakap atau pandangan orang lain. Malah dia pernah bertekak dengan seorang mak cik kerana menegur tabiatnya itu.

Saya melihat jari jemari Ema dan Mala. Bersih bukan seperti kebanyakan perokok.

Seperti dapat membaca pengamatan saya, Ema menyambung bicara:

''Saya bertuah kerana walaupun perokok tegar tetapi kesannya fizikalnya tidak nampak.
''Tapi terus terang saya sudah mula rasa sakit dada dan kadang kala sesak nafas, pastinya akibat merokok.''

Mengenai gambar-gambar ngeri di kotak rokok, kedua-dua gadis itu tersenyum sinis

Sememangnya bersembang dengan Ema dan Mala tidak cukup untuk saya menyelongkar apa sebenarnya di sebalik fenomena merokok di kalangan gadis remaja.

Tetapi yang pasti, ada sesuatu yang kurang dan tidak kena dalam masyarakat kita sehinggakan gejala merokok di kalangan gadis remaja kini dianggap trend.

p/s : Peliharalah anak gadis anda.. Siapakah yang mendidik mereka sehingga menjadi sebegini.. Di manakah Islam yang diagung-agungkan oleh kerajaan?

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal