07 April 2010

Ibu Jenazah Menziarahi Kubur Allahyarham Hafizul Husna


sumber : kpipm64.blogspot.com

6 APRIL - Selepas berlaku insiden kemalangan maut baru-baru ini, Yang Dipertua KPIPM telah menghubungi ahli keluarga mangsa. KPIPM dimaklumkan bahawa ibu jenazah, Nur Azizah binti Sulaiman akan berkunjung ke bumi Mesir bersama beberapa orang sanak saudara.

Pagi tadi, sepertimana yang dijangkakan, ibu dan sanak saudara jenazah tiba di bumi Mesir, dan sempat berbincang dengan pihak KPIPM untuk mengatur jadual perjalanan mereka di bumi Mesir.

Pada jam 1.39 petang, Yang Dipertua bersama ibu dan sanak saudara mangsa mula bertolak dari Hayyu Sabiek dengan menggunakan dua kenderaan.

Dalam masa yang sama, Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman menjemput Ustaz Syed Aisam yang bertanggungjawab dalam menjaga kawasan perkuburan Melayu, bertolak ke sana.

Mereka tiba di kawasan perkuburan sepertimana yang telah dijadualkan.

Ustazah Nur Azizah binti Sulaiman, ibu mangsa menceritakan kepada beberapa orang yang berada di situ beberapa kisah berkaitan dengan anaknya.

"Allahyarham pernah memesan kek daripada saya, untuk dikirimkan ke Mesir. Tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila kek tersebut tidak sempat untuk saya sediakan", katanya.

"Selain itu, insiden yang menimpa Allahyarham, hampir sama dengan apa yang terjadi pada bapanya dahulu. Juga meninggal dunia dalam kemalangan, dan bentuk pelanggaran pun hampir sama", katanya lagi.

Selain itu, beliau menceritakan bahawa tarikh kematian suaminya pada 1 April, manakalah kematian Allahyarham pada 4 April.

Ustaz Syed Aisam, selaku Yang Dipertua Perlis dan juga penjaga kawasan perkuburan Melayu menyifatkan bahawa kehadiran pengiring jenazah Allahyarham adalah paling ramai setakat ini. Bermula dari solat jenazah, sehinggalah ke tanah perkuburan.

Yang Dipertua, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir berkata, Allahyarham adalah seorang yang baik, hafiz al Quran, rajin bertalaqqi, rajin mengajar, memberi komitmen dalam usrah dan persatuan, rajin membantu ibu dan bapa saudaranya yang berada di sini, hebat dalam pengajian dan study group, dan sebagainya.

"Insya Allah, KPIPM akan cuba mengetengahkan perkara ini ke pihak Kedutaan dan JPMK untuk membawa kes ini ke peringkat kerajaan Mesir" katanya.

Beliau berkata lagi, bahawa perkara ini telah dimaklumkan kepada Dato Syeikh Mohd Nor Masnur al Hafiz, Pengarah JAIPk, dan pihak JAIPk bersedia untuk memberi bantuan dan kemudahan yang diperlukan oleh persatuan dalam pengurusan jenazah.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak persatuan atas pengurusan yang dilakukan dalam memberi kebajikan kepada ahli, dan keprihatinan dalam menjaga rakyat Perak di bumi Mesir.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal