05 May 2010

Panas : Laporan Perjumpaan Tergempar Di Tanta 28 April


DPMT, 28 April - Pihak DPMT telah menganjurkan satu perjumpaan tergempar bersama ahli untuk berbincang mengenai perpindahan pelajar Al-Azhar ke Kaherah. Perjumpaan tersebut bermula pada jam 7:00 malam dan mendapat sambutan hangat oleh ahli.

Matlamat utama perjumpaan ialah menjelaskan kepada ahli isu perpindahan pelajar Al-Azhar ke Kaherah. Jika sebelum ini berita mengenainya banyak tersebar dari mulut ke mulut, akan tetapi perjumpaan ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar mengetahui secara rasmi khabar isu ini.

Menurut Pengerusi DPMT Ustaz Dzulhilmi bin Roslan, pada awalnya khabar ini hanya diketahui oleh pihak atasan Universiti Al-Azhar sahaja. Kebanyakan pengurus pelajar wafidin dan para pensyarah tidak mengetahuinya.

Selain itu ujarnya, pelbagai spekulasi ditimbulkan mengenai berita ini. Beliau menasihati ahli agar mendengar berita yang rasmi daripada pihak PMRAM atau DPMT sendiri. Pada waktu ini, ahli perlu tumpu kepada peperiksaan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Perjumpaan tersebut telah dihadiri oleh ketua pelajar Indonesia, Nigeria dan Turki atas jemputan Pengerusi DPMT. Menurut ketua pelajar Indonesia, keputusan ini pada peringkat awalnya adalah hasil daripada cadangan pihak Alumni Pelajar Al-Azhar Antarabangsa. Alasan perpindahan yang diberikan ialah untuk memperkasakan komunikasi dan pengusaan bahasa Arab fushah di kalangan pelajar bukan warganegara.

Ketua pelajar Nigeria pula memberi komentar dengan menyatakan bahawa seluruh pelajar wafidin perlu bergerak atas satu kata dan tindakan. Semua pelajar wafidin perlu menunjukkan sokongan kepada bantahan perpindahan ini disamping terus mempertakankan hak selaku pelajar wafidin yang menuntut pelajaran di Universiti Al-Azhar. Ketua pelajar Tukri pula menjelaskan, perpindahan tersebut bakal mengundang masalah yang lebih besar kepada pelajar wafidin. Sebagai contoh teknikal perpindahan yang melibatkan kuantiti pelajar yang terlalu ramai, masalah kesesakan kota Kaherah, bayaran sewa yang tinggi dan kepadatan pelajar Al-Azhar yang sedia ada di Kaherah.

Beliau menambah, Tanta merupakan bumi yang terbaik berdasarkan kepada kedudukannya, penduduknya yang tidak terlalu ramai dan urusan pengajian dan pengkuliahan yang mudah. Ia jauh berbeza dengan kesulitan yang lebih teruk di Kaherah.

Melalui perjumpaan tersebut, semua ahli bersepakat membantah perpindahan pelajar wafidin ke Kaherah. Resolusi yang diperolehi pada malam tersebut ialah mengumpulkan tandatangan seluruh ahli yang hadir pada perjumpaan tersebut. Lebih seratus orang yang menandatanganinya.

Selepas perbincangan isu perpindahan, Ustaz Mohd Zuhdi telah dijemput untuk menjelaskan isu fitnah kepada Pengerusi DPMT. Beliau menjelaskan bahawa semua ahli DPMT perlu bersatu dalam memperjuangkan isu ini. Ini berkaitan dengan hak dan maruah selaku mahasiswa.

Beliau menjelaskan, sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan dan menjaga hal ehwal pelajar Malaysia di luar negara, pihak JPMK perlu melaksanakan peranan utama mereka sebaik mungkin terhadap seluruh mahasiswa yang berada di bumi Mesir ini. Pegawai yang tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dan menyusahkan urusan pelajar perlu dihantar pulang dan ditukar dengan pegawai yang baru. Tindakan mereka yang menyusahkan mahasiswa seolah-olah bertindak sebagai duri dalam daging dalam meriuntuhkan agama Islam.

Perjumpaan berakhir dengan kata-kata nasihat daripada Pengerusi pada jam 10:30 malam.

Disediakan oleh : SU DPMT 2009/2010

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal