05 May 2010

Presiden PMRAM dan YDP BKAN Bertemu Kedutaan Semalam


sumber : PMRAM.org

KAHERAH, 4 Mei : Perbincangan berkaitan isu-isu berkaitan mahasiswa Malaysia telah diadakan di antara pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dengan wakil PMRAM dan YDP-YDP BKAN dalam satu kunjungan hormat ke pejabat kedutaan pada jam 10 pagi tadi. Rombongan yang diketuai oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime turut disertai Timbalan Setiausaha Agung PMRAM bersama semua YDP BKAN kecuali Kelantan dan Pahang yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.

Pihak KBMK yang diwakili oleh En. Shaiful Anuar bin Mohammad, Kuasa Usaha Sementara bersama En. Samsul Kahar bin Kamarudin, Setiausaha Kedua amat berbesar hati dengan kunjungan hormat tersebut serta berharap perjumpaan seumpama itu dapat berlangsung dengan lebih kerap pada masa akan datang.

Perjumpaan yang berlarutan hampir empat jam itu telah membincangkan sebelas perkara utama sekitar permasalahan kebajikan, keselamatan dan akademik serta menyentuh isu berkaitan hak dan maruah mahasiswa di sini. Beberapa keputusan sebagai tindakan awal telah disepakati untuk dilaksanakan samada dari pihak PMRAM mahupun KBMK.

Dalam perjumpaan tersebut juga, pihak KBMK mengharapkan kerjasama yang baik dari pihak PMRAM dalam memastikan kebajikan semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir terpelihara. Peranan PMRAM dalam menjaga kebajikan ahli perlu diteruskan terutama dalam aspek keselamatan disamping peranan KBMK sebagai wakil kerajaan Malaysia di sini.

Presiden PMRAM ketika ditemui selepas perjumpaan tersebut berkata, PMRAM bersedia memberi kerjasama kepada pihak Kedutaan dalam apa jua situasi selagi tidak melanggar dasar dan undang-undang tubuh PMRAM.

“Usaha sama seumpama ini di antara PMRAM dengan pihak Kedutaan bagi menangani isu-isu berkaitan mahasiswa Malaysia terutama dalam aspek keselamatan dan kebajikan wajar diteruskan” ujar beliau mengulas signifikan diadakan perjumpaan tersebut.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal