26 May 2010

Ringkasan Falsafah Islam, Silibus Tahun 3, Usuluddin (Siri 5)

Manuskrip Kitab Asy Syifa' karangan Ibnu Sina


Bab Kelima
Kitab Asy Syifa Karangan Ibnu Sina Menafikan Dakwaan

Sebelum ini kita telah membincangkan beberapa dakwaan terhadap Islam. Bukan hanya Tinman sahaja yang melemparkan tuduhan kesat, bahkan terdapat beberapa tokoh lagi yang turut berpandangan pesong terhadap Falsafah Islam.

Hakikatnya, Ibnu Sina telah menafikan segala dakwaan tersebut dengan terhasilnya sebuah kitab karangan beliau yang bertajuk Asy Syifa’, yang menghimpunkan pemikiran-pemikiran Falsafah Yunan dan Falsafah Islam.

Asy Syifa’ terbahagi kepada 4 bahagian utama :

a) Ilmu Mantiq

b) Ilmu Tabiat

c) Ilmu Matematik

d) Ilmu KeTuhanan

Apa yang boleh disimpulkan daripada kitab beliau, jelas membuktikan bahawa di sana terdapat ketulenan dan keaslian pada Falsafah Islam. Beliau menukilkan beberapa teori-teori Eropah dan Yunan, kemudian mengulaskan mengikut perspektif Islam yang lebih syumul.

Kesimpulan daripada ulasan tentang kitab beliau dan falsafah Islam, boleh diringkaskan di dalam 3 isi di bawah :

1. Mantik

Beliau telah membuat susunan baru bagi Ilmu Mantik yang telah dihasilkan oleh Aristotle. Banyak perkara-perkara baru yang tidak terlintas pada pemikiran ahli falsafah Yunan, dimasukkan dan dihasilkan mengikut susunan yang baru.

2. Falsafah

Ibnu Sina dilihat cuba menyatukan di antara Falsafah dan Ilmu, Falsafah dan Agama dan menyatukan pemikiran-pemikiran supaya selari dan tersusun. Beliau juga mencari keselarian di antara Falsafah Yunan dan Falsafah Islam dalam menyelesaikan beberapa persoalan falsafah.

Selain itu, di sana terdapat keselarian di antara al Farabi, Plato dan Aristotle. Juga terdapat persamaan dan keselarian di antara Ibnu Rusyd dan Ibnu Sina, dan sebagainya.

3. Kritikan

Imam al Ghazali telah menghasilkan kitab Tahafut al Falasifah yang mengkritik beberapa falsafah Aristotle. Begitu juga al Juba’i yang menulis sebuah kitab untuk menolak pemikiran Aristotle. Bahkan banyak kitab-kitab hasilan ahli Falsafah Islam dalam menolak dakwaan pemikiran-pemikiran Falsafah yang bercanggah dengan Islam, seperti Kent, John Sarter dan sebagainya.

Bab Keenam
Tokoh-tokoh Falsafah Islam

Tokoh-tokoh Falsafah Islam yang dimuatkan di sini, ialah Al Kindi, Al Farabi dan Ibnu Sina. Di dalam bab ini, kita akan melihat :

a) Sejarah ringkas tokoh
b) Pemikiran falsafah secara khusus

Al Kindi

Nama sebenar beliau ialah Abu Yusuf Ya’qub bin Ishaq bin as Sobah, bin Imran, bin Ismail bin al Asy’ath. Lahir pada Basrah pada 185 hijrah / 801 M, dan wafat pada 252 Hijrah / 866 M.

Antara perkara yang berkaitan dengan al Kindi yang perlu kita ketahui ialah :

1. Maksud Falsafah

a) Ia diambil dari perkataan “Mahabbatul Hikmah”

b) Berusaha mengenali Allah SWT dengan kemampuan yang ada untuk menjadi manusia yang mulia

c) Makrifah bagi manusia

d) Ilmu tentang sesuatu secara hakikat

2. Matlamat berfalsafah

a) Dari aspek ilmu : mendapatkan satu kebenaran yang tepat

b) Dari aspek perbuatan : beramal di atas paksi kebenaran

3. Teori makrifah

Makrifah bagi seseorang manusia itu terbahagi kepada tiga :

a) Makrifah yang diperolehi daripada deria, contohnya seperti mengetahui warna, ketinggian, kekerasan, bau dan sebagainya

b) Makrifah yang diperolehi daripada akal. Akal pula terbahagi kepada tiga mengikut pandangan al Kindi

• Akal dengan kekuatan : Kekuatan biasa untuk mengetahui sesuatu

• Akal dengan perbuatan : Menggunakan akal untuk mengetahui sesuatu dengan kekuatan akal yang ada

• Akal yang berfaedah : Menggabungkan kedua-dua yang disebut di atas

c) Makrifah yang diperolehi secara fitrah semulajadi, contohnya seperti kecerdikan yang diberikan kepada para nabi, kehebatan dalam menjawab (fathonah), dan sebagainya.

4. Pembahagian falsafah

a) Dari aspek ilmu : teori, juga dikatakan sebagai bahagian pemikiran

b) Dari aspek perbuatan : amali atau praktikal, juga dikatakan sebagai bahagian penderiaan

5. Keselarian di antara falsafah dan agama

a) Matlamat falsafah yang sebenar, pasti akan selari dengan Agama yang benar. Kerana kedua-duanya berobjektifkan kepada kebenaran yang hakiki.

b) Sekiranya akal itu berpaksikan kepada wahyu, maka semua yang diwahyukan pasti boleh difahami melalui akal.

c) Apabila falsafah tidak bercanggah dengan agama, maka falsafah bukanlah gantian bagi agama. Kerana sebahagian pandangan mengatakan bahawa falsafah sudah memadai bagi seseorang, tanpa agama.

d) Apabila falsafah itu dikatakan sebagai saluran untuk merealisasikan matlamat mendapatkan kebenaran, maka janganlah kita memandang enteng terhadapnya.

e) Beliau menekankan pembelajaran tentang pemahaman kenapa belajar falsafah, sebelum mempelajari tentang falsafah itu sendiri.

6. Dalil kewujudan Allah

a) Menyandarkan “baharu” kepada semua benda. Maka, setiap benda “baharu” ini pastinya memerlukan kepada Kuasa untuk mem”baharu”kannya. Terbuktilah kewujudan Allah, Kuasa yang membaharukan makhluk daripada tiada kepada ada.

b) Mengatakan bahawa di dalam alam ini terdapat unsur “banyak” dan unsur “bersatu”. Contohnya manusia berbilang-bilang, dan semua bersatu di bawah item “manusia”. Maka, tanpa bersatu takkan wujudnya banyak. Begitu juga, tanpa banyak takkan wujudnya bersatu. Hasilnya, membuktikan kewujudan Allah SWT, yang bukan dari kalangan alam, atau makhluk yang mempunyai dua unsur ini.

c) Alam yang terbentuk daripada saiz, ruang, medium, masa, isipadu dan sebagainya pastinya ada penghujung. Contohnya, manusia bersaiz besar, tinggi dan sebagainya. Maka semua ini berpenghujung, dan membuktikan bahawa alam ini baharu, dan memerlukan kepada Kuasa untuk membaharukannya.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal