02 May 2010

Suara Hati Yang Dipertua Kelantan Tentang Hak Mahasiswa


........... Masalah ahli yang rencam. Saya tidak mahu huraikan satu persatu apa yang berlaku. Tidak mahu saya panaskan suasana dengan timbulkan isu-isu sebegitu. Apa yang mahu saya katakan hanyalah dalam hidup bermasyarakat perlu ada toleransi dan tolak ansur. Tidak seharusnya perbezaan yang wujud ekoran latar belakang keluarga, pengajian, rentak fikir dan persekitaran menjadikan kita tidak boleh hidup bersama dalam satu masyarakat. Cukuplah dengan kita memahami setiap perbezaan yang ada lantas kita adunkan sebagai satu keluarga. Harmoni dan bahagia.

Pihak KPKM amat mengesali bebarapa insiden yang melibatkan kelewatan muqayyad nama pelajar Perubatan. Sehingga ke tarikh ini seramai 65 pelajar perubatan program G To G masih belum selesai urusan kuliah dan sehingga ke tarikh ini juga mereka disekat daripada menduduki peperiksaan. Dalam 65 orang itu pula seramai 15 pelajar perubatan adalah melalui Yayasan Islam Kelantan yang secara rasmi di bawah pantauan KPKM. Semua urusan pula adalah di bawah Atase Pendidikan (Akademik) Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

Saya serta Timbalan Yang Dipertua selaku mas’ul Pendidikan Kelantan dan dua pelajar baru (perubatan Ain Shams) telah berjumpa dengan secara rasmi dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, En. Shaiful Anuar Mohamad di pejabat kedutaan pada 29 April 2010 yang lalu. Kunjungan tersebut adalah bermatlamat laporan aduan dan permohonan campur tangan pihak kedutaan dalam isu ini. Perbincangan selama sejam yang turut disertai oleh pegawai JPMK (Atase Pendidikan – Kewangan dan Pentadbiran) berjalan dengan bebarapa jalan penyelesaian yang diputuskan secara bersama untuk membenarkan pelajar menduduki peperiksaan pada minggu hadapan.

Pada saya perbincangan secara profesional yang dikendalikan oleh Kuasa Usaha Sementara En Shaiful adalah harapan terakhir dalam menyelesaikan kemelut lewat selama hampir tiga bulan jika boleh dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Saya enggan membesarkan punca kelewatan kerana apa yang penting tindakan segera yang perlu diambil dalam memastikan masa depan pelajar-pelajar perubatan yang melalui jalan sah ini tidak terabai. Saya juga memandang isu ini sebagai isu kronik yang perlu diselesaikan secara tindakan bukan bual kosong yang melambatkan kerja.

Soal muhasabah untuk tahun-tahun akan datang, saya percaya pihak-pihak terbabit akan segera mengambil langkah penyelesaian. Memandangkan masalah yang paling kronik berlaku sesi ini (lewat tiga bulan), saya merasakan suatu post mortem perlu dibuat oleh JPMK. Jika diukur daripada pengalaman menerima kehadiran pelajar perubatan G To G, ia telah menjangkau usia lebih 10 tahun dan Kelantan antara negeri yang terawal menghantar pelajar perubatan G To G setelah sekatan tahun 80-an. Generasi pertama Kelantan dalam maklumat sejarah KPKM adalah pada tahun 1999.

Sejak dari itulah negeri Kelantan di bawah Yayasan Islam Kelantan dengan bantuan KPKM menguruskan pelajar perubatan G To G di bawah kelulusan SLLN KPT Malaysia dan Mesir melalui pengurusan JPMK. Tempoh selama itu seharusnya menjadikan pengurusan YIK, KPKM, KPKT dan JPMK dalam soal ini lebih efisyen dan cepat. Walaubagaiaman pun saya enggan menyalahkan mana-mana pihak secara total tetapi lontaran teguran ini (sebagaimana yang disuarakan dalam perbincangan dengan En Shaiful) hanyalah suatu luahan kekesalan pihak yang mengharap (pelajar).

Perbincangan yang kedua pula adalah berkenaan dengan aduan salah laku salah seorang pegawai JPMK sebagaimana yang pernah saya utarakan sebelum ini. Saya sebenarnya enggan membesarkan kes tersebut dan tidak mahu menjadikannya isu sensasi yang akan menjatuhkan mana-mana pihak. Apa yang mahu saya hasratkan hanayalah mengadu kepada yang berkuasa dan mohon tindakan nasihat diambil kepada pegawai berkenaan. Kes salah laku yang saya maksudkan adalah penghinaan dan double standard urusan pegawai berkenaan terhadap pelajar Kelantan sebagaimana yang dimaklumi seluruh anak-anak Kelantan di Mesir.

Surat aduan sepanjang dua helai tersebut saya muatkan dengan tiga aduan salah laku (ucapan) yang menyakitkan dan menakut-nakutkan pelajar-pelajar Kelantan berserta bukti. Permohonan saya pula hanyalah mohon pihak kedutaan menasihati pegawai berkenaan dan menghentikan tindakan menghina dan urusan double standard terhadap pelajar Kelantan di Mesir. Surat tersebut akan saya buat salinan kepada Pengarah JPMK, KPT Malaysia, YB Dato Pa, YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, Pengarah YIK, Pengarah YAKIN, Presiden PMRAM dan Setiausaha Agung KPKM sebagai makluman.

Buat seluruh ahli, saya mohon isu ini tidak dipanaskan dan saya menunggu respon daripada pihak-pihak berkenaan dalam isu ini. Harapnya ia akan selesai dengan baik dan pelajar-pelajar Kelantan tidak perlu merasa kecil hati dan terhina lagi dengan wakil pendidikan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di sini. Kerana kita juga warganegara Malaysia sekalipun ibu dan ayah kita memilih untuk meraikan demokrasi lantas mengangkat YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan menjadikan kita juga punya hak untuk diuruskan sama rata sebagaimana negeri-negeri lain.

Soalnya ia hanyalah aduan biasa daripada pelajar-pelajar Kelantan yang saya bungkuskan dalam dua helai kertas dan saya harapkan perubahan. Sekalipun pegawai terbabit bukan dari negeri Kelantan seharusnya dihormati pegawai Kelantan yang ada di JPMK. Kenapa mahu dikaitkan isu negeri. Saya full stopkan di sini. Harap difahami.

p/s : Tahniah kepada KPKM, usaha murni untuk menyuarakan hak mahasiswa supaya terbela

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal