07 May 2010

Ya Allah, Peliharalah PMRAM


Sumber : Web PMRAM (link)

KAHERAH, 6 Mei – Bacaan Yassin hari ini berkumandang di Pejabat PMRAM, bacaan yang dipimpin sendiri oleh Naib Presiden I, Saudara Adlan Mokhtarddin dan dilantunkan doa oleh Saudara Khairul Anwar Ismail selaku Penasihat PMRAM. Sebelum majlis bacaan Yassin berlangsung, majlis dimulakan dengan solat sunat hajat. Majlis itu berlangsung sekitar jam 10 malam dan dihadiri oleh semua Badan Pengurus dan Penasihat PMRAM.

Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan ucapan dua orang Penasihat PMRAM iaitu Saudara Khairul Anwar Ismail dan Saudara Abdul Mu’izz Muhammad. Suasana ketika itu kelihatan sayu dan hiba apabila kedua-dua orang Penasihat PMRAM ini memberikan kata-kata peransang dan semangat. Mereka mengharapkan kepimpinan PMRAM pada tahun ini mampu dan berjaya menggalas amanah ini dengan sebaik-baiknya.

“Peliharalah hubungan kalian dengan Allah, yakin dan percayalah Allah pasti menjaga persatuan ini jika kalian sentiasa menjaga hak-hakNya” tegas Mantan Presiden PMRAM 2008, Saudara Khairul Anwar Ismail.

“Jika hari ini Allah masih lagi memelihara Ka’bah, sama-samalah kita mendoakan agar Allah menjaga PMRAM sepertimana Allah memelihara Ka’bah” ujar Mantan Presiden PMRAM 2009, Saudara Abdul Mu’izz Muhammad.

Sebelum penutupan majlis, Presiden PMRAM mengharapkan kepimpinan PMRAM agar dapat mengimbangi tuntutan sebagai pimpinan mahasiswa dan tuntutan pembelajaran.
“Jangan jadikan isu yang melanda ketika ini, sebagai penghalang untuk meneruskan gerak kerja Islam dan kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan yang bakal menjelma tidak lama lagi” nasihat Saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Beliau berkata demikian ketika memberikan amanat di akhir majlis solat hajat dan bacaan yassin di Pejabat PMRAM malam ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal