24 June 2010

Istilah JI Dan Wahabi Serlah Tindakan Melulu Kerajaan


KUALA LUMPUR, 24 Jun: Kerajaan didakwa membuat tuduhan secara melulu apabila gagal membuktikan dakwaan sebelum ini iaitu mengaitkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dengan isu keganasan Jamaah Islamiah (JI) dan aliran Wahabi.

“Modus operandinya sama seperti sebelum ini, kerajaan masih dilihat bertindak melulu dalam mentadbir negara,” ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pagi tadi ketika diminta mengulas keengganan beberapa kementerian berwajib membuktikan di Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu, kononnya JI benar-benar kembali aktif di tanah air.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sebelum isu JI ini pun, kerajaan telahpun dilihat umum beberapa kali bertindak secara melulu dalam mengurus tadbir negara.

Tindakan secara melulu oleh kerajaan, menurut beliau, dapat dilihat apabila kerajaan sendiri dilihat secara tidak langsung mempertahankan tindakan polis menembak arwah Aminulrasyid Amzah atas sangkaan rambang kononnya juvana terbabit adalah suspek anggota perompak.

Tambahnya lagi, kabinet turut dilihat bersikap secara melulu dengan menyerahkan dua telaga minyak negara – Blok L dan Blok M tergadai di tangan Brunei Darussalam demi mendapatkan wilayah bertindih Limbang , isu tersebut masih menjadi misteri sedangkan sehingga kini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga dilihat bertindak secara melulu melantik Firma Perundingan Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) dan Asiosoft (M) Sdn. Bhd. menjadi firma perunding komunikasi dan keselamatan negara, sedangkan kedua-dua firma tersebut dipercayai umum didalangi oleh agen perisikan zionis Yahudi yang berpangkalan di Israel.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, kerajaan juga dilihat bertindak melulu dengan mempertimbang permohonan lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 oleh Kumpulan Berjaya tanpa melihat pada pedoman Islam dan semua agama yang nyata mengharamkan aktiviti tersebut.

Melihat pada beberapa kenyataan secara melulu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa APCO berperanan penting dalam menasihat kerajaan pimpinan Najib.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa di sebalik sandiwara JI ini, Najib selaku Ketua Kerajaan mendapat petunjuk APCO, iaitu firma yang dikaitkan aktiviti pelobi zionis Israel di Amerika Syarikat,” tegas beliau.

Ekoran dari nasihat APCO, beliau berkata, kerajaan pasti akan menangkap mana-mana tokoh politik oposisi dan agamawan tanpa bicara, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh pemerintah Amerika Syarikat ke atas umat Islam serta pendatang asing dari Timur Tengah, sedekad yang lalu.

Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar pula, kerajaan digesa supaya memulihara semula tanggapan salah masyarakat bukan Islam serta para pelabur asing terhadap umat Islam tempatan dan negara.

“Sama ada kerajaan atau Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) atau Bukit Aman sendiri yang cuba mengelirukan rakyat dengan JI ini, saya gesa mereka pulih semula tanggapan umum pada agama kita, penganutnya dan juga negara,” ujar beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Ini kerana, beliau berkata, isu JI tersebut seakan mencetuskan fenomena Islamphobia dan budaya takut dalam masyarakat, sebagaimana yang pernah berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah pasca tragedi runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTO) pada 11 September 2001 lalu.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya lebih bersikap telus dan bertanggungjawab dalam urus tadbir negara supaya rakyat tidak terus mempertikai tindak tanduk kerajaan kelak.

“Isu (JI) ini sengaja mengelirukan semua pihak, kalau kerajaan masih dilihat bersikap melulu, apa saja isu yang datang selepas ini, rakyat akan anggap semua itu sebagai sandiwara,” kata beliau.

1 comments:

aliff shanusi on June 25, 2010 at 6:29 PM said...

kita cakap kerajaan ade unsur APco ,sokong israel..tp kite realise tak bahawa keturunan saud, di arab saudi itu adalah sekutu kuat amerika dan juga percahan dari keturunan yahudi.adakah anad mengetahuinya???? kenapa arab saudi tak ambl port dlm menengakkan keamanan dan menyumbang kepada kemerdekaan palestin, tetapi membawa kepada langkah diam sahaja. dan tengok kat mekah tuu berape banyak hotel orng yahudi bina, berbanding hotel islam semdiri???? hotel hilton dekat je dengan masjidil haram.sape pnye??? fikir fikir kan lah.

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal