11 June 2010

Isu Gejala Sosial Di Malaysia Sangat Membimbangkan - BP Adlan


KAHERAH, 10 Jun - Menurut laporan yang disiarkan di dalam link Malaysiakini.com, statistik pengidap HIV/ AIDS di Malaysia yang terbaru, seramai 72 peratus adalah di kalangan melayu Islam. Hal ini sangat memalukan negara Malaysia yang berstatuskan negara Islam apabila statistik yang diberikan menunjukkan betapa rosaknya akhlak umat Islam di Malaysia pada hari ini. Bahkan isu pengidap HIV yang mempunyai kaitan dengan zina bagaikan menjadi santapan harian bagi pembaca surat khabar apabila boleh dikatakan setiap hari pasti adanya berita berkaitan jenayah zina.

Yang terbaru, pada 9 Jun, di Kulim sepasang kekasih ditangkah oleh pihak Jabatan agama di rumah kongsi ketika sedang melakukan kegiatan yang terkutuk tersebut. Apa yang lebih memalukan kedua-dua pasangan tersebut adalah melayu Islam, dan wanita tersebut masih sangat muda iaitu berumur 17 tahun. Malah menurut laporan wanita tersebut baru sahaja mengenali lelaki yang bersama dengannya itu selama 20 hari sahaja.

"Gejala sosial yang melanda di negara kita (Malaysia) sangat membimbangkan. Hal ini boleh dilihat apabila statistik laporan saban tahun semakin meningkat samada dari sudut pengidap HIV, jenayah zina, kes buang bayi, kes bersedudukan bukan mahram, minum arak, judi dan sebagainya. Apa yang lebih memalukan ialah apabila statistik yang diberikan menunjukkan kaum melayu Islam berada di tangga teratas." - ulas Naib Presiden 1, Saudara Adlan Mokhtaruddin.

3 hari yang lepas juga, kita dikejutkan dengan berita yang memalukan apabila 16 gadis di negeri Terengganu dilaporkan melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka. Selain itu, berita kes buang bayi semakin parah bahkan terdapat laporan akhbar bahawa ada adik beradik kepada penzina sanggup bersubahat di dalam menggugurkan kandungan dan di tanam hidup-hidup.

"Akhlak dan pemikiran umat Islam terutama remaja kian parah. Kes harian yang terpampang di dada akhbar menunjukkan betapa teruknya umat Islam yang hanya semata-mata berstatuskan Islam namun tiada penghayatan yang dilakukan." - tegas Saudara Adlan Mokhtaruddin.

"Kita selaku mahasiswa Islam di Mesir turut tidak terlepas pandang isu semasa yang berlaku di Malaysia bahkan kita turut menginsafi apa yang telah terjadi. Kita mohon semua pihak samada kerajaan, ibu bapa, pendidik, dan semua pihak agar memandang isu ini perkara yang serius. Dan kita sarankan kepada kerajaan agar memperbanyakkan kegiatan-kegiatan dakwah di dalam memulihkan kembali akhlah umat Islam yang telah barah ini." - saranan beliau ketika ditanya mengenai isu gejala sosial semasa.

Selain itu, Timbalan Presiden PMRAm, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman berkata bahawa isu gejala sosial yang berlaku di Malaysia merupakan satu cabaran besar bagi mahasiswa Islam apabila pulang ke tanah air nanti.

"Kita mengharapkan mahasiswa Islam semua peka dan sensitif ke atas setiap kes yang berlaku. Bahkan kita tidak mahu kes-kes yang sama turut berlaku di kalangan kita di Mesir ini. Mahasiswa Islam mesti tahu apa peranan dan tanggungjawab mereka di dalam menangani isu gejala sosial ini." - ujar Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa Unit Hisbah dan Unit Biah Solehah di bawah kelolaan Lajnah dan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM sangat penting bagi mencegah gejala sosial yang berlaku di samping menjamin suasana yang baik di kalangan mahasiswa semua.

"Kita berasa dukacika terhadap isu gejala sosial yangb telah berlaku ini. Dan mahasiswa jangan hanya asyik dan leka dengan keselesaan di tempat mereka sekarang tanpa memikirkan masalah umat Islam yang kian parah ini." - tambah beliau lagi.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal