21 June 2010

Isu Judi : Hilangnya Suara Berapi-api Ketika Isu Kalimah Allah

Gambar hiasan : Speaker yang nampak hebat, tapi rupa-rupanya ceroi.. Mana pergi suara-suara yang berkobar-kobar ketika isu Kalimah Allah?


Sebelum ini, ketika isu Kalimah Allah hangat di pasaran seperti pisang goreng, kelihatan di sana ramai yang berkobar-kobar untuk memperjuangkan Islam kononnya. Artikel sebelum ini, saya pernah mempersoalkan “suara-suara” yang lantang ketika isu Kalimah Allah, tetapi bisu apabila hudud tidak dilaksanakan, dan judi pula yang diperbesarkan.



Suka untuk saya sebutkan di sini, isu penggunaan Kalimah Allah bagi bukan Islam adalah isu furu’. Di sana para ulama berbeza pandangan, ada yang membolehkannya, dan ada yang tidak membenarkannya. Masing-masing mempunyai hujah tersendiri.

Manakala isu hudud, isu judi, isu arak dan sebagainya adalah perkara “usul”, iaitu perkara yang disepakati oleh para ulama.

Tiada seorang ulama pun yang mengatakan hudud ini tidak wajib dilaksanakan oleh pemimpin

Tiada seorang ulama pun yang mengatakan arak itu halal

Tiada seorang ulama pun yang mengatakan judi itu halal

Namun, ada juga suara yang cuba memberi alasan dengan berkata :

Kesimpulan yang dapat buat: Pertama: Hukum lesen Arak TAK SAMA dengan lesen Judi, Kedua: Hukum lesen Judi (Nombor Ekor) di sebelah sana TAK SAMA dengan lesen Judi Bola sebelah sini. Apa maknanya. Allahu'alam.

Alasan-alasan sentiasa dicipta untuk membolehkan perkara yang haram. Tidak perlu untuk saya sebutkan, apakah punca asal najis ini terjadi. Mungkin orang yang berkata ini melihat bahawa kenapakah judi bola sepak ditentang, sedangkan di negeri-negeri masih lagi belum menghapuskannya?

Untuk makluman, pusat-pusat judi di beberapa buah negeri tidak dapat dihapuskan kerana sudah mengikat kontrak dengan kerajaan negeri “sebelumnya”. Maka, akibat perjanjian ini, menyebabkan kesukaran untuk ia dihapuskan di beberapa buah negeri. Persoalannya, kenapa tidak menunding jari kepada mereka yang menandatangani kontrak tersebut?

Kesimpulan ringkas boleh dibuat, suka untuk saya ingatkan di sini bahawa isu judi, arak dan hudud adalah isu yang disepakati oleh para ulama. Hudud wajib dilaksanakan, judi dan arak itu tetap haram walau apa jua keadaan sekalipun. Maka, kenapakah isu ini dikesampingkan sedangkan isu Kalimah Allah diapi-apikan sangat?

Antara perkara furu’ (cabang) dan perkara yang disepakati oleh ulama, perkara yang perlu diutamakan ialah perkara yang disepakati ulama, kerana ia adalah wajib. Manakala furu’ terdapat perbezaan pandangan ulama.

Inilah antara bentuk pemahaman Siasah Syar’iyyah yang diajar oleh Islam. Ramai yang memiliki sijil pengajian agama dalam pelbagai bidang, tapi hakikatnya mereka bisu seperti orang yang tak tahu agama. Bahkan, mereka ini pula yang cuba mengatakan “ia dibenarkan” dengan melihat perspektif tertentu. Kesal.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal