04 June 2010

Isu Konvoi Gaza : Kenyataan Rasmi Presiden Perubatan



ASSALAMUALAIKUM W.B.T

Saya mewakili PERUBATAN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang telah dilakukan oleh regim Zionis Israel terhadap konvoi bantuan kemanusian ke Gaza yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan berpuluh lagi tercedera dalam serangan tersebut.

Ternyata tindakan kerajaan Israel ini melampaui batas kemanusiaan selepas tindakan ketenteraan telah dikenakan terhadap aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata sekaligus menunjukkan sikap angkuh mereka terhadap bantahan daripada segenap masyarakat dunia yang inginkan kedamaian di Palestin.

Konvoi yang membawa misi membina semula Negara Palestin yang umumnya mengetahui telah dibinasakan dengan dahsyatnya oleh Negara Yahudi ini mengandungi kira-kira sepuluh ribu (10,000) tan barangan bantuan, simen dan keperluan harian.

Seramai lebih lima ratus empat puluh (540) orang menaiki kapal Mavi Marmara ini, termasuk Ahli Parlimen, ahli akademik, ahli NGO petugas media, ulama’, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada lapan puluh tahun. Warga Malaysia seramai 12 orang juga tidak ketinggalan dalam menyertai misi tersebut .

Saya menyeru agar seluruh warga PERUBATAN meningkatkan munajat masing-masing dengan mengadakan solat hajat dan Qunut Nazilah secara berkelompok dan mengikut komuniti masing-masing agar diberikan kekuatan kepada para aktivis yang masih lagi ditawan dan yang menerima rawatan akibat kecederaan, agar mereka selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Harapan juga kita panjatkan pada Ilahi agar misi bantuan yang telah dizalimi dapat membuka mata masyarakat dunia khususnya kuasa-kuasa besar dunia agar dapat mengenakan tindakan yang keras ke atas Negara haram Israel ini atas tindakan mereka yang jelas memusuhi perdamaian dan nilai-nilai kemanusiaan.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengingatkan kepada seluruh ahli PERUBATAN akan peringatan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) agar tidak menyertai sebarang demonstrasi atau rapat umum yang dianjurkan oleh warga tempatan dalam menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang insiden tangkapan ke atas peserta demonstrasi yang membabitkan warganegara kita yang sekaligus bakal menyulitkan lagi keadaan keselamatan kita di sini.

Sekali lagi seluruh warga PERUBATAN menyatakan rasa dukacita dan terharu atas semangat juang yang telah ditunjukkan oleh para aktivis yang menyertai misi kali ini. Didoakan kalian yang telah terkorban agar berada di kalangan para syuhada yang dijanjikan oleh Allah dengan ganjaran mati syahid yang menjadi impian setiap individu Mukmin.

ILMUAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI

MUHAMMAD HUSAINI BIN SALEH
PRESIDEN,
PERSATUAN PELAJAR-PELAJAR PERUBATAN MALAYSIA-MESIR
PERUBATAN 2010/2011

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal