17 June 2010

Lagi Berita Lawak.. Pelajar IPT Terlibat Dengan Militan


KPT Sedia Tubuh Jawatankuasa Khas Bincang Isu Kegiatan Militan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk membincangkan isu berhubung penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, melalui jawatankuasa itu, semua pihak berkaitan dapat mengadakan perbincangan secara berkala serta mengenal pasti peranan masing-masing dalam membendung kegiatan itu.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu juga penting bagi mengelakkan masalah itu daripada berlarutan sehingga memberi ancaman kepada negara.

"Kementerian akan terus bekerjasama dengan polis bagi mengekang masalah ini daripada terus berlanjutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemasaran Pengajian Tinggi 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, satu pertemuan antara pegawai-pegawai kanan IPT dan polis bakal diadakan minggu depan dan ia secara tidak langsung dapat menentukan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh IPT dalam membantu polis.

"Kita (IPT) bersedia memberi maklumat kepada polis mengenai perkembangan perkara (gerakan militan) itu. Kita tidak boleh menafikan bahawa polis mempunyai kepakaran terutamanya apabila melibatkan perkara-perkara yang memerlukan siasatan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ada di kalangan pelajar IPT terdiri daripada anggota biasa dan mereka yang merekrut pelajar lain untuk terlibat dalam kumpulan militan itu.

Namun begitu, beliau berkata, keadaan masih terkawal dan tidak membimbangkan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pelajar IPT yang ada sekarang.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan jika polis hendak melakukan tangkapan terhadap mana-mana pensyarah atau pelajar yang terlibat dengan gerakan itu.

"(Bagaimanapun) buat masa ini, belum ada tangkapan dibuat," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal