12 June 2010

Masjid Di Sepang Dibakar Lelaki Bangang Yang Mabuk

SAMSUDIN menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar di Sepang, semalam.


Bakar masjid marah bekas isteri kahwin

Berita Harian 10 Jun 2010

SEPANG: Seorang lelaki dipercayai mabuk kerana kecewa bekas isterinya akan berkahwin lain bertindak melepaskan perasaan dengan membakar Masjid Jamiurrahmah di Kampung Limau Manis dekat sini, kelmarin.

Kejadian itu disedari imam masjid, Samsudin Mat Daud, 51, yang tinggal bersebelahan masjid itu kira-kira jam 11.30 malam selepas terhidu asap dan melihat api sudah marak. Samsudin berkata, beliau cuba memasuki masjid itu tetapi mendapati pintu dikunci dari dalam. “Saya kemudian cuba memasuki dari pintu bersebelahan dan mendapati keseluruhan ruang sembahyang sudah hangus terbakar dan ada seorang lelaki tidur berhampiran pintu yang berkunci.

"Saya kenal lelaki itu tetapi tidak berani menegur kerana khuatir dia bersenjata atau cuba menyerang, sebaliknya saya meminta bantuan penduduk kampung yang secara kebetulan berada di kedai makan berhampiran sebelum menghubungi bomba dan pihak polis.

"Lelaki terbabit kemudian melarikan diri selepas disergah penduduk kampung yang cuba menangkapnya," katanya ketika membawa pemberita meninjau kerosakan di masjid terbabit, di sini, semalam.

Beliau menganggarkan masjid yang dibina sekitar tahun 70an itu mengalami kerugian sekitar RM300,000.

Samsudin berkata, bekas isteri lelaki terbabit adalah orang kampung itu dan mungkin dia tidak dapat menerima hakikat bercerai dengan isterinya selain disyaki mungkin menghadapi masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob, berkata identiti suspek sudah dikenal pasti dan polis kini sedang mencari lelaki terbabit yang disyaki masih berada di kawasan itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 435 kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat menggunakan api," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal