11 June 2010

Pertemuan Sesama Sahabat Seperjuangan Adalah Kekuatan - Mantan Presiden



KAHERAH, 11 Jun – Tiada pertemuan yang lebih indah iaitu apabila bertemu di atas sebuah nama perjuangan. Semalam, telah berlangsung satu majlis di antara pimpinan PMRAM Pusat di Pejabat PMRAM. Majlis yang dinamakan “Satukan Hati Gerakkan Dakwah” itu berlangsung selepas sahaja maghrib dimulakan dengan majlis berbuka puasa sesama pimpinan PMRAM.

Majlis yang turut dihadiri oleh Penasihat PMRAM dan mantan Badan Pengurus PMRAM memberikan seribu satu makna dalam menggemblengkan lagi kekuatan dalam memacu sebuah gerakan mahasiswa di bumi Mesir.

Majlis tersebut diteruskan dengan solat maghrib berjemaah, bacaan Qunut Nazilah, dan solat sunat Hajat. Seterusnya, majlis diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh Saudara Mohd Adlan Mokhtarudin selaku Naib Presiden I yang merupakan Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan PMRAM.

Seterusnya, majlis diserikan dengan ucapan Penasihat PMRAM, Saudara Abdul Mu’izz Muhammad. Di dalam ucapan, beliau banyak menerang dan menekankan aspek kesatuan hati di kalangan pimpinan, disiplin tentera Islam, konsep usaha dan tawakkal dalam Islam, meletakkan konsep dosa pahala dalam bekerja, ketentuan Qada’ dan Qadar serta ujian di dalam PMRAM.

“Kekuatan bagi pejuang Islam adalah dengan pertemuan sesama sahabat seperjuangan. Melihat dan memandang rakan seperjuangan yang satu fikrah merupakan satu nikmat yang terbesar. Memalingkan serta menjauhkan diri daripada sahabat-sahabat perjuangan adalah salah satu punca seseorang tersebut boleh lemah dan mudah berputus asa dalam berdakwah.”

... Ujar Mantan Presiden PMRAM 2009 itu dalam pertemuan semalam.

Dalam pertemuan majlis semalam, Presiden PMRAM Saudara Shahrizan Mohd Hazime turut memberikan ucapan ringkas. Beliau banyak mengingatkan pimpinan tentang kesibukan kerja persatuan yang bakal melanda selepas sahaja peperiksaan tidak lama lagi.

Di akhir majlis semalam, Saudara Hairul Nizam Mat Hussein yang merupakan Mantan Presiden PMRAM 2007 dan 2008 turut berkongsi pengalaman beliau di dalam PMRAM selama 5 tahun bersama pimpinan PMRAM yang hadir.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal