21 June 2010

Ringkasan Falsafah Islam Tahun 4 (Siri 2)

Lakaran wajah Imam Ghazali


Jangan terkejut.. ringkasan kali ini memang betul-betul ringkas. Daripada 4 buah kitab, diringkaskan menjadi 2 siri ringkasan. Siri kedua ini lebih ringkas daripada siri pertama. Untuk peringatan juga, Dr Mu'ti Bayyumi yang mengajar Tahun 4, Akidah Falsafah hanya inginkan "point" sahaja.

Beliau selalu menyebut, "pastikan jawapan anda tidak melebihi semuka setengah!" Jadi.. pandai-pandailah.. Ok, setakat ini perkongsian kita.


BAHAGIAN KEDUA : FALSAFAH IMAM GHAZALI

Bab Pertama : Kehidupan Imam Ghazali

1. Imam al Ghazali hidup di zaman pergelutan politik dan aliran pemikiran di dalam negara Islam.

2. Beliau lahir di Kota Tus, Timur Iran pada 350 H bersamaan 1058 M.

3. Seorang yang dipercayai untuk menjaga amanah.

4. Di Tus, beliau belajar ilmu Fiqh dengan Syeikh Ahmad bin Muhammad ar Razkani, Syeikh Abu Nasr al Ismailiy di Jurjani dan sebagainya.

Bab Kedua : Peringkat Pemikiran al Ghazali

Pertama : peringkat mengumpul dan menghasilkan ilmu. Iaitu pengajiannya di Tus, Jurjani dan Nisabur.

Kedua : peringkat keraguan, iaitu beliau mengkaji semula ilmunya yang diperolehi pada peringkat pertama. Kajian beliau berputar tentang keyakinan terhadap ilmunya.

Ketiga : peringkat yakin, peringkat ini terbahagi kepada dua :

1. Peringkat masih belum hilang keraguan sepenuhnya. Ketika ini beliau masih mempercayai konsep “kemestian akal”.

2. Peringkat keyakinan sepenuhnya, iaitu ketika beliau membuat penilaian terhadap ilmu-ilmunya dan mengalih pandangan ke arah method sufi.

Bab Ketiga : Pendirian al Ghazali Terhadap Falsafah

Apabila beliau menceburi bidang falsafah di zamannya, beliau menemui banyak kesesatan dan kesalahan yang bercanggah dengan Islam. Lalu beliau menggunakan kaedah kritikan (criticisme) untuk menolak perkara-perkara tersebut.

Matlamatnya daripada menolak falsafah ialah :

1. Masyarakat ketika itu hanya bertaklid dalam masalah ketuhanan

2. Mengatakan bahawa akal yang sihat akan selari dengan Akidah Islam

3. Mengatakan bahawa akal yang sonsang berpunca daripada kesesatan

Beliau menjelaskan lagi :

1. Sesuatu yang tidak dapat diyakini kebenarannya, tidak boleh dipegang dengan yakin

2. Mengurangkan kepercayaan bulat-bulat dengan apa yang dikatakan oleh akal.

Bab Keempat : Method Imam Ghazali

Di dalam bab ini, kita akan mengenali 3 method Imam Ghazali :

1. Menghapuskan falsafah, bukan untuk mengiktiraf aliran yang betul, tetapi untuk menghapuskan kesemuanya. Menggunakan dua saluran, iaitu :

a) Menggunakan hujah aliran falsafah lain, untuk menolak sesuatu falsafah yang lain.

b) Menolak falsafah yang betul, dengan menghapuskan “saluran” untuk memahami sesuatu falsafah tersebut.

2. Menghapuskan falsafah Aristotle khususnya, melalui Farabi dan Ibnu Sina.

a) Menolak pemikiran Aristotle dengan hanya melalui nukilan daripada Farabi dan Ibnu Sina sahaja.

b) Beliau meletakkan kepercayaan kepada kedua-dua tokoh ini dalam menterjemah nas Aristotle.

3. Menghadkan tajuk-tajuk kritikannya terhadap falsafah. Beliau tidak mengkritik kesemuanya, tetapi hanya mengkritik beberapa perbahasan yang bercanggah dengan agama.

Bab Kelima : Beberapa Permasalahan

Terdapat tiga permasalah yang dibincangkan di sini mengikut perspektif Imam Ghazali, iaitu :

1. Tentang alam

Beliau menolak pandangan yang mengatakan alam yang baharu ini muncul dari “qadim”. Ini kerana, sekiranya ia muncul dari qadim, bermaksud qadim ini berubah, sedangkan qadim tidak berubah.

2. Tentang ilmu Allah

Beliau menafikan bahawa ilmu Allah ini “secara cabang” kerana bercanggah dengan ilmu Allah yang Maha Mengetahui, dan ilmu Allah tidak berubah disebabkan terkesan dengan peredaran masa.

3. Kebangkitan

Beliau menafikan beberapa pandangan yang mengatakan bahawa jasad tidak dibangkitkan. Mereka mengatakan bahawa hanya ruh sahaja yang dibangkitkan selepas mati.


BAHAGIAN KETIGA : FALSAFAH ABU BARAKAT

Bab Pertama : Kehidupan Abu Barakat

1. Nama beliau ialah Abu Barakat HibatuLlah bin Ali al Baghdadi

2. Lahir pada 1080 M, sezaman dengan Imam Ghazali.

3. Beliau masyhur dengan pakar ilmu perubatan, dan berkhidmat untuk beberapa khalifah di zamannya.

4. Beliau adalah berbangsa Yahudi, dan kemudian memeluk Islam di akhir umurnya.

5. Wafat pada 1165 M bersamaan 547 H.

Bab Kedua : Penulisan Abu Barakat

Antara penulisan beliau ialah buku Falsafah yang membahagikan kepada 3 bahagian, iaitu :

1. Mantik

2. Fizik

3. Ketuhanan

Antara yang lain, karangannya yang bertajuk Risalah Fi Mahiyah al Aqli dan Ikhtisar at Tasyrih Li Galinus.

Bab Ketiga : Method Abu Barakat

Di dalam bab ini, kita akan mengkaji 4 perkara, iaitu :

1. Pendiriannya terhadap ilmu-ilmu permulaan

2. Sumber penghasilan dan epistemologi

3. Method beliau

4. Kaedahnya dalam membincangkan masalah

Di dalam perbincangan ini kita boleh simpulkan kepada beberapa isi penting, iaitu :

Kaedah penulisan :

1. Membaca buku-buku falsafah kemudian menulis beberapa isi penting sebagai rujukan.

2. Menjawab beberapa persoalan daripada anak muridnya, kemudian menyalin semula perbahasan-perbahasan tersebut.

Sumber method :

1. Berijtihad dengan pemikiran dan teori akal

2. Meyakinkan diri dengan melihat kejadian makhluk

Sumber epistemologinya ialah “akal” dan “pemikiran”.

Bab Keempat : Falsafah Abu Barakat

1. Beliau meletakkan kepercayaan kepada ilmu matematik dan tidak melihat percanggahan dengan agama

2. Beliau menyokong pandangan Imam Ghazali terhadap ilmu Mantik. Ia tidak bercanggah dengan agama selagi mana tidak membahaskan tentang ketuhanan.

3. Dari segi ilmu fizik, terdapat beberapa percanggahan dengan Fizik Aristotle.

4. Beliau menganggap “tempat” itu sebagai :

a) “Tempat” ialah objek duduknya sesuatu. Contohnya “keberkatan” tempatnya adalah air.

b) Beliau mengatakan bahawa “kosong” itu adalah sesuatu yang mempunyai panjang X tinggi X lebar, tetapi sifatnya tidak boleh diukur oleh deria.

c) “Tempat” yang tidak berpenghujung, mengikut pandangannya bahawa ia tidak boleh digambarkan. Maka, sesuatu yang tidak boleh digambarkan, ia adalah tidak wujud.

5. Pandangannya tentang “masa” sama seperti pandangannya tentang tempat, yang agak bercanggah dengan Aristotle.

6. Dari segi “jiwa” pula, beliau berpandangan :

a) Definisinya diambil daripada definisi Aristotle dan Plato, kemudian menghasilkan definisi baru iaitu : “tiada siapa yang dapat berpegang bahawa Tuhan itu satu, dan jiwa itu satu benda yang lain”

b) Kekuatan jiwa pula tidak dipisah-pisahkan sepertimana Ibnu Sina, tetapi beliau cukup sekadar mengatakan bahawa “hakikatnya kekuatan jiwa itu adalah satu”.

7. Dari aspek epistemologi, beliau juga mengatakan perkara yang sama, iaitu tidak perlu membezakan di antara sumber akal, dan sumber deria, sepertimana yang dikatakan oleh Ibnu Sina.


BAHAGIAN KEEMPAT : FALSAFAH IBNU THUFAIL

Bab Pertama : Kehidupan Ibnu Thufail

1. Namanya ialah Abu Muhammad bin Abdul Malik bin Muhammad bin Muhammad Ibnu Thufail lahir pada 494 atau 504 H.

2. Kehidupan beliau, berkhidmat dengan pemerintah negara, dan pernah menjadi doktor pakar dan menteri.

Bab Kedua : Penulisan Ibnu Thufail

Antara penulisannya ialah kisah Hay bin Yaqazan. Selain itu,

1. Arjuzah Fit Tibb

2. Risalah Fin Nafs

3. Ba’dhul Qasa’id as Sufiah

Bab Ketiga : Uslub Ibnu Thufail

Beliau adalah seorang pakar bahasa dan menekankan aspek kelembutan dalam beruslub. Perumpamaan yang jelas di antara matlamat, objektif dan istilah-istilah.

Bab Keempat : Manhaj Ibnu Thufail

Manhajnya terbahagi kepada dua :

1. Meletakkan kepercayaan kepada akal manusia

2. Meletakkan kepercayaan kepada amalan para sufi

Maka, manhajnya ialah “aqliy sufiy” iaitu menggunakan akal dan mempraktikkan dengan amalan para sufi.

Bab Kelima : Matlamat Daripada Kisah Hayy bin Yaqazan

1. Tasawwuf para solehin, yang bertepatan dengan syariat

2. Tasawwuf ketimuran, seperti Parsi dan India

3. Tasawwuf cara Plato baru

Sebab penulisan kisah Hayy bin Yaqazan :

1. Kecenderungan untuk menjelaskan hikmah syariat yang besar

2. Hikmah ini tidak dapat diterangkan dengan perkataan, tetapi hanya menggunakan simbol sahaja

Bab Keenam : Falsafah Ibnu Thufail

1. Method falsafahnya jelas, iaitu memberi kefahaman secara berperingkat

2. Beliau menggabungkan di antara falsafah dan agama

3. Falsafahnya tentang “manusia”, iaitu manusia boleh jadi dilahirkan oleh manusia, atau diciptakan oleh Allah daripada tiada.

4. “Jiwa” pada pandangannya adalah satu, tidak dipecah-pecahkan. Pandangannya sama dengan Abu Barakat. Beliau juga menyifatkan, roh boleh dimaksudkan kepada dua, iaitu jisim, atau tambahan kepada jisim.

5. “Epistemologi” mengikut pandangannya ialah “berdasarkan akal”, “berdasarkan iluminasi” (isyraqiah).

6. “Akhlak” di dalam kisah Hayy bin Yaqazan ialah :

a) Tauladan yang tinggi, iaitu menyifatkan Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan

b) Neraca pertimbangan akhlak, iaitu berasaskan perbuatan manusia

c) Matlamat berakhlak, iaitu mendapat keredhaan Allah

d) Kaedah praktikal untuk mendapatkan akhlak mulia

7. “Alam” mengikut pandangannya terbahagi kepada dua :

a) Alam deria, yang boleh dicapai oleh 5 deria manusia

b) Alam akal, yang boleh dicapai oleh akal manusia, walaupun tidak dapat dicapai oleh deria

8. Di dalam masalah “baharu atau qadim” nya alam, beliau tidak meletakkan apa-apa keputusan. Kedua-duanya terdapat bukti masing-masing.

9. Manakala tentang masalah “azali atau abadi” nya alam itu, beliau meletakkan bahawa :

a) Alam akal dan deria kedua-duanya akal kekal (bukan abadi) kerana ia berkaitan dengan alam keTuhanan

b) Manakala alam akal pula berkaitan dengan Zat Tuhan, dan ia dianggap sebagai abadi.

10. “Allah” pada pandangan beliau, beliau mengemukakan beberapa dalil, antaranya :

a) Membuktikan kewujudan Tuhan dengan dalil baharu alam

b) Membuktikan kewujudan Tuhan dengan dalil sokongan kehidupan terhadap manusia


BAHAGIAN KELIMA : FALSAFAH IBNU BAJAH

Pendahuluan

Ibnu Jubairol mengatakan bahawa kewujudan terdapat tiga peringkat :

1. Sebab bagi sebab

2. Kehendak Tuhan (punca perbuatan pertama)

3. Material dan gambaran secara umum

Bab Pertama : Pengenalan

Namanya ialah Abu Bakar Muhammad bin Yahya Ibnu Bajah. Beliau dikatakan lahir pada akhir kurun ke 11 M, iaitu kurun ke 5 H, di Bandar Sarqastah.

Bab Kedua : Akhlak Ibnu Bajah

1. Menyeru kepada mentauhidkan Allah, dan memencilkan diri daripada kejahatan masyarakat, iaitu menjauhi daripada bertaklid dengan masyarakat.

2. Beliau berkhidmat sebagai doktor bagi masyarakat di Isybili, dan bergaul dengan manusia untuk mengubati mereka.

3. Beliau pernah memegang jawatan sebagai menteri beberapa kali.

Bab Ketiga : Penulisan Ibnu Bajah

1. Hidupnya terlalu pendek, dan beliau wafat ketika masih muda

2. Walaupun hidupnya pendek, tetapi penulisannya cukup banyak

3. Antara penulisannya :

a) Syuruh Li Thalathi Rasa’il Lil Farabi

b) Kitab Tadbir al Mutawahhid

c) Risalah Wida’

d) Kalam Fil Burhan

Kitab Tadbir al Mutawahhid terdapat 8 fasal

1. Fasal pertama menceritakan tentang matlamat daripada penulisannya, iaitu membentuk sebuah negara yang terdiri daripada penduduk-penduduk yang baik, dan adil.

2. Fasal kedua menceritakan tentang kaedah untuk seseorang itu mencapai darjat “mutawahhid”, samada dengan “keinginan” atau “kehendak akal”

3. Fasal ketiga menceritakan tentang disiplin bagi perbuatan manusia yang terhasil daripada “kehendak akal”.

4. Fasal keempat menceritakan tentang keselarian di antara “kehendak akal” dengan disiplin kerohanian.

5. Fasal kelima, beliau menyambung perbahasan pada Fasal keempat dengan mengaitkan dengan matlamatnya.

6. Fasal keenam, beliau menceritakan bahawa manusia mempunyai keinginan dan sifat. Beliau menjelaskan tentang sifat manusia.

7. Fasal ketujuh, beliau menerangkan tentang hubungan seseorang dengan orang ramai dan masyarakat.

8. Fasal kelapan, beliau menerangkan tentang jalan untuk memahami tauhid, dan mendisiplinkan perbuatan manusia.

tamat

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal