16 June 2010

Ustaz Idris Ahmad Menjawab Kenyataan Tun Mahathir


Judi: Mahathir fitnah PAS, Prejudis Pada Cina

KUALA LUMPUR, 15 Jun: PAS kesal dengan komentar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dengan isu judi yang dihalalkan oleh kerajaan Umno BN.

“Tuduhan beliau bahawa PAS hanya mengharamkan judi bola sahaja adalah suatu fitnah yang jelas dan isu judi bukanlah isu politik seperti apa yang beliau fikirkan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS menolak dan mengharamkan semua aktiviti judi di negara ini dan bukan melibatkan perjudian bola sahaja.

Katanya, PAS jauh berbeza dengan Umno di mana walaupun Umno telah memerintah negara selama 12 penggal, namun belum ada usaha dilakukan bagi menghapuskan judi.

Jelasnya, selepas PAS memerintah, Kelantan berjaya menutup premis-premis judi, sementara di Kedah pula usaha menghapuskan judi berjalan secara berperingkat, begitu juga dengan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Rakyat.

“Kita serius untuk menghapuskan judi dan mendidik rakyat ke arah kehidupan yang bebas dari maksiat,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat juga tahu bahawa lesen perniagaan judi diluluskan oleh Kerajaan Pesekutuan, bukan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri hanya meluluskan lesen premis dan iklan yang kebanyakannya diperolehi oleh tauke judi semasa zaman pemerintahan BN.

Baginya, Mahathir sebenarnya dibayangi dosa-dosanya yang meluluskan judi di negara ini semasa pemerintahannya dan rakyat akan terus mengingati beliau sebagai tokoh pemimpin yang memimpin negara dengan duit hasil judi.

“Beliau mungkin berfikir, jika beliau tidak menyokong dasar Najib hari ini, pastinya orang-orang dalam kerajaan akan mengutuk beliau kerana selama ini beliaulah orang nombor satu yang membantu membangunkan industri judi dalam negara ini,” kata Idris lagi.

PAS juga, katanya amat kesal kerana Mahathir masih bersikap prejudis kepada masyarakat Cina di negara ini yang dalam pemikirannya dianggap sebagai kaum yang suka berjudi.

“Beliau hadir dan berucap dalam perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu semalam dan mencipta prasangka buruk terhadap orang Cina. Perkara ini tidak wajar kerana masyarakat Cina juga bukanlah masyarakat yang suka berjudi dan ucapan beliau ini adalah satu penghinaan,” ujarnya.

Menurutnya, tabiat judi adalah masalah yang dicipta dalam masyarakat bagi melalaikan mereka dan kerajaan mengambil kesempatan daripada golongan yang tidak berilmu itu dengan mengeluarkan lesen bagi mengaut hasil perjudian.

Justeru, kata beliau sewajarnya kerajaan memberikan pendidikan kepada rakyat, memberikan maklumat dan berusaha memerangi gejala judi dalam masyarakat sama macam memerangi gejala dadah.

“Bila judi diharamkan maka rakyat juga tidak akan berani berjudi. Aktiviti judi haram perlu dilihat sama seperti sindiket pengedaran dadah dan hukuman berat wajib diberikan kepada penganjur aktiviti judi,” katanya lagi.

Idris menambah, rakyat perlu diberitahu akan keburukan judi dan mengajak mereka bersama-sama memerangi judi.

Katanya, kerajaan harus menjadi kerajaan yang membantu membina rakyat dan masyarakat ke arah yang lebih positif dan proaktif, bukannya menjadi kerajaan yang meruntuhkan akhlak rakyat.

Justeru, ujarnya lagi, jika kerajaan BN dikekalkan, maka sampai bila pun masyarakat di negara ini akan terus dipersendakan dengan dasar-dasar yang tidak progreasif dan hilang sifat holistiknya.

Harakahdaily

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal