01 October 2009

Kenabian Yang Direka-reka

Kenabian adalah satu anugerah teristimewa yang diianugerahkan oleh Pencipta kepada ciptaannya yang dipilih sahaja. Nabi dan Rasul yang terakhir diutuskanNya ialah Nabi Muhammad s.a.w. Bagindalah utusan terakhir, penyudah segala nabi, pelengkap segala syariat dan penyebar rahmat ke seluruh alam. Tidak hanya tertumpu kepada masyarakat dan kepulauan arab sahaja, sebaliknya utusan bagi semua makhluk termasuk malaikat, jin, manusia, haiwan, tumbuhan dan semua benda selain Allah.

Sejak kewafatan Nabi s.a.w, anugerah kenabian yang dikhaskan bagi hambanya yang terpilih, telah dipermainkan oleh beberapa pihak yang sesat lagi menyesatkan. Mereka mendakwa bahawa mereka telah didatangi oleh malaikat dan diberi wahyu untuk melakukan sesuatu yang tidak boleh diterima akal, sedangkan Islam selari dengan kehendak akal dan naluri manusia semulajadi. Tiada seorang manusia pun yang mampu membuktikan kecatatan Islam samada mengikut kajian sains, dalil, naluri dan sebagainya.

Kemunculan penipu-penipu ini bertujuan mendapat populariti, pengaruh dan kekayaan. Mereka juga digelar 30 orang dajal dan dajal yang terakhir adalah adalah Dajal Laknatullah yang akan muncul pada akhir zaman, sepertimana yang terdapat di dalam himpunan hadis-hadis berkenaannya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Tidak akan terjadi As Sa’ah (Kiamat) sehinggalah dibangkitkan Dajal-dajal penipu (bilangannya) hampir mencecah 30 orang, setiap orang daripada mereka menyangka bahawa diri mereka adalah Rasulullah. (Shahih Muslim : 7271)

Bilangan yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w adalah hampir mencecah seramai 30 orang. Dalam riwayat lain, bilangan tersebut adalah benar-benar 30 orang, berdasarkan hadith riwayat Tsauban.

Daripada Tsauban RA, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan terdapat di kalangan umatku, 30 orang penipu, kesemuanya menyangka mereka adalah nabi dan sesungguhnya aku adalah penyudah semua nabi, tiada nabi selepasku. (Shahih Muslim)

Abdul Wahab Abdul Salam Thowilah mengatakan bahawa bilangan tersebut tidak bermakna benar-benar tepat 30 orang, tetapi menunjukkan gambaran ramai. Iaitu mereka yang mengaku nabi atau rasul, bilangan sebenar mereka adalah ramai tidak terkira.

Al Haithami mengatakan di dalam Majma’ Zawa’id bahawa hadis-hadis yang menyatakan tentang bilangan tersebut ialah seramai 27 orang, 30 orang dan hampir 30 orang. Kesemuanya telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad, al Bazzar, At Thobroni di dalam al Kabir dan al Awsath dan banyak lagi.

Walaubagaimanapun, sudah menjadi kepastian melalui hadith-hadithnya, Baginda telah menyebut kemunculan dajal-dajal ini akan mencalar pangkat yang dianugerakan kepada Baginda s.a.w. Ulama’-ulama’ telah menyenarai hitamkan beberapa orang yang telah melakukan penipuan tersebut.

• Musailamah Al Kazzab

Hidup ketika zaman Rasulullah s.a.w lagi, dan beliau dibunuh ketika zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakr As Siddiq di dalam peperangan Al Yamamah.

• Al Aswad Al ‘Unsi dari Yaman

Dibunuh oleh Fairuz di Yamana ketika zaman Nabi s.a.w lagi.

• Sajjah At Tamimiah

Seorang perempuan yang dikahwini oleh Musailamah Al Kazzab. Selepas pembunuhan suaminya, beliau kembali kepada Islam.

• Thulaihah Bin Khuwailid Al Asadi

Kembali kepada Islam sebelum kematiannya.

• Al Mukhtar Bin Abi Ubaid Ath Thaqafi

Menyatakan kasih sayangnya terhadap ahli bait Rasulullah s.a.w dan bangkit menuntut kes pembunuhan Saidina Ali r.a. Ketika zaman pemerintahan Az Zubair di Kufah, beliau telah mengaku kenabian dengan menyatakan bahawa Malaikat Jibril telah datang kepadanya.

• Harith bin Saad

Muncul ketika zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan dan dibunuh ketika itu. Pengikut-pengikutnya bangkit ketika zaman Khilafah Abbasiah.

• Mirza Ghulam Ahmad Al Qadiyani

Muncul di India, pada mulanya beliau mengaku kenabian beliau, kemudian mengaku bahawa beliau adalah Nabi Isa. Kumpulannya digelar Al Qadianiah yang diambil daripada sebauh perkampungan di India.

• Al Mirza Ali Muhammad Redha As Syirazi

Pengasas gerakan Al Babiah pada tahun 1260 H bersamaan 1488 Masehi di bawah pemerintahan Yahudi.

• Mirza Husain Ali Al Baha’iy

Pengganti kepada Mirza Ali Muhammad Redha As Syirazi, pengasas kepada gerakan Al Baha’iyyah, beliau telah mengarang kitab Al Aqdas. Lahir pada 1233 H di Tehran dan meninggal pada 1309 H di Aka, Palestin.

• Isa Al-Asfahan
• Aliya Muhammad
• Ahmad bin Husain
• Laqit
• Faris bin Yahya
• Ishak Al-Akhras
• Ibnu Sam’an
• Amir bin Harb
• Abu Mansur Al-Ijli
• Ibnu Said As-Sajli
• Ibnu Bahram Al-Juba’i
• Abu Khattab Al-Asadi
• Hasan bin Hamdan
• Abul Qasim An-Najar
• Al-Muni’ul Qashar
• Ibnu Kharba Al-Kindi
• Abu Muslim As-Siraj

Senarai nama di atas adalah sebahagian daripada mereka yang mendakwa diri mereka seorang nabi dan lebih dahsyat ialah dakwaan ketuhanan mereka. Bilangan mereka berkemungkinan melebihi 30 orang, kerana bilangan dinyatakan oleh Nabi s.a.w adalah merujuk kepada mereka yang terkenal di seluruh dunia dengan kejahatan yang dilakukannya.

Kehadiran 30 orang penjahat ini beberapa kali disebut oleh Nabi s.a.w di dalam hadith-hadithnya sebagai simbolik kepada manusia zaman ini bahawa kemunculan 30 orang ini pastinya menjadi salah satu tanda ketibaan kiamat yang kurang disedari oleh manusia.

Di Malaysia Pun Ada Yang Mengaku Nabi

Selain itu, apa yang terjadi di Malaysia juga mengejutkan dunia, beberapa orang telah mengaku menjadi nabi dan rasul. Mereka berdalilkan kepada ayat ke 3 daripada Surah Yasin, Surah ali Imran ayat 31 dan sebagainya. Mereka ialah Kahar Ahmad yang telah ditahan pada tahun 2006 dan Meriam Ahmad Shaharuddin.

Petikan daripada harian Metro 28 Disember : “Dalam dakyahnya yang terdahulu, Meriam mendakwa kononnya dia, setiausaha kanan itu, Neale Donald Walcsh dan Nabi Isa sebagai rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W.

“Saya diarahkan tuhan untuk bagi surat ini kepada saudara (Harian Metro). Menurut kata tuhan, sudah sampailah masanya saudara (setiausaha sulit kanan) mengumumkan siapa diri saudara yang sebenar.

“Masa ini bukanlah masa untuk kebenaran ini disorokkan lagi sebab tuhan sudah mahukan kebenaran daripada tuhan yang saya bawa ini didedahkan kepada orang ramai.

“Telah sekian lama saya tercari-cari siapakah seorang lagi rasul Allah yang ada tuhan nyatakan dalam buku yang saya turunkan daripada tuhan itu. Saya tahu hanya bukti saja yang saya perlukan, iaitu berkaitan dengan saudara saja lagi,” katanya dalam kenyataan menerusi faksimili itu.

Dalam kenyataan sama, bekas guru itu turut menghina seorang ulama dengan menganggapnya sebagai pesuruh dajal.

Sebuah petikan daripada blog mazidulakmal.blogspot.com dan www.terjah.com,

Beberapa tahun lalu, saya pernah menyertai operasi Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS, menahan lelaki mendakwa ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad, 59 tahun di rumahnya di Kg. Kemensah, Hulu Klang, Selangor.

Dia kedengaran bijak dan kelihatan yakin setiap kali berhujah. Tidak hairan jika dia mempunyai pengikut setia.

“Muhammad itu rasul orang arab, saya rasul orang Melayu”

Antara kenyataan diungkapkannya ketika ditemubual pegawai JAIS.

Abdul Kahar pertama kali didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2005 atas 5 tuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Antara pertuduhan terbabit, Abdul Kahar mengisytiharkan dirinya rasul orang Melayu zaman ini, mempersendakan ajaran Islam dan mendakwa ibadat haji, perkara sengaja di cipta kerajaan Arab Saudi untuk mengaut keuntungan.

Terbaharu, saya menerima emel memaklumkan Abdul Kahar kini mempunyai blog sendiri, http://messengerofgodtoday.blogspot.com/


JAIS menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pihak berjaya menyalurkan maklumat sehingga tertanggapnya Abdul Kahar.

Sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian 1-800-88-2424 atau 03-5519 0398.

------------------------------------------------------------------------

Demikianlah rupa bentuk tuturkata nabi Melayu yang sesat, dan perlu ditolak. Tiada sebarang asas yang mengatakan mereka adalah nabi.

Allah berfirman

Maksudnya : Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang sleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya; orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapatkan kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancagan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa. (Surah Fatir : 10)

Allah berfirman

Maksudnya : Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib? (At Taubah : 78)

p/s

* Setelah dilayari, blog Kahar Ahmad telah dibuang baru-baru ini.

MUHAMMAD MUJAHID BIN MOHAMMAD FADZIL
UNIVERSITI AL AZHAR ASY SYARIF
mujahidazhar.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal