07 October 2009

Kuliah Maghrib di Kampung Tengku Husin


Alhamdulillah, dengan izin Allah, sempat juga saya meluangkan masa untuk memberi kuliah di sebuah surau di Kampung Tengku Husin, pada 4 oktober. Beberapa hari sebelum itu, saya menerima panggilan daripada bakal Bapa Mertua saya, Ustaz Mohd Dahalan bin Ismail untuk menggantikan tempatnya, menyampaikan kuliah di sana. Ketika itu saya masih berada di Kuala Lumpur, menziahari sanak saudara yang berada di sana.

Kami sekeluarga juga berada di sana, untuk menghantar adik saya, Muhammad Nur Iman bin Mohammad Fadzil ke UK untuk menyambungkan pelajar ke University Of Warwick. Pada mulanya, saya fikir tidak sempat untuk bekejar ke Ipoh, untuk memberi kuliah di surau tersebut. Tetapi akhirnya sempat juga. Alhamdulillah.

Di dalam kuliah tersebut, saya telah menyampaikan tentang ciri-ciri orang bertaqwa. Hari ini, golongan orang bertaqwa ini semakin hari semakin berkurangan. Bahkan istilah “taqwa” pun sudah luput dari pemikiran orang. Di dalam khutbah Jumaat, seringkali (bahkan menjadi rukun) disebut tentang taqwa kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan mati dalam keadaan Islam (Surah Ali Imran)

Ayat ini sering diulang-ulang setiap minggu di dalam khutbah Jumaat. Tetapi hari ini, kita terpinga-pinga mentafsirkan ciri-ciri taqwa itu. Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk menjelaskan tentang ciri-ciri orang bertaqwa berdasarkan ayat 1 hingga 4 Surah al Baqarah.

Daripada ayat ini, jelas menunjukkan ciri-ciri orang bertaqwa, iaitu :

- Menjadikan al Quran sebagai petunjuk
- Beriman dengan perkara-perkara ghaib
- Mendirikan solat
- Mengingfakkan harta mereka
- Beriman dengan al Quran dan kitab-kitab sebelumnya
- Meyakini tentang hari akhirat


1. Menjadikan al Quran sebagai petunjuk

Al Quran adalah petunjuk bagi semua manusia. Tetapi hanya segelintir sahaja yang menjadikkannya sebagai petunjuk. Yang selebihnya lebih suka memekakkan telinga daripada menerima kebenaran al Quran, atau mereka yang menentang al Quran itu sendiri, sepertimana yang telah disebutkan di dalam artikel lalu, kuliah yang disampaikan di Surau Ikhlasiah.

Mereka yang tidak menjadikan al Quran sebagai petunjuk ini, disebabkan dua perkara. Samada degil, atau sombong. Contohnya seseorang yang ingin ke sebuah tempat. Laluan untuk ke tempat tersebut, telah disediakan papan tanda sebagai petunjuk. Namun terdapat dua golongan, yang tidak menggunapakai papan tanda tersebut. Mereka adalah orang yang degil, dan orang yang jahil.

Orang degil akan berkata “Buat apa aku nak ikut papan tanda ni, entah betul ke tidak...” Manakala si jahil pula berkata “Aku tak fahamlah tulisan di papan tanda ini..”

Si degil yang sombong ini akan sesat dengan kedegilannya. Sengaja menolak al Quran kerana menganggap dirinya “tidak sesat” di dalam perjalanan di dunia ini. Mana si jahil pula akan terus tidak memahami petunjuk untuknya. Orang seperti ini tidak mengetahui intipati di dalam al Quran, dan gagal menjadikan al Quran sebagai petunjuk.

2. Beriman dengan perkara-perkara ghaib

Perkara ghaib adalah sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera. Beberapa golongan falsafah yang sesat, menolak kewujudan alam ghaib ini. Antaranya ialah Materialisme, Komunisme, Atheisme dan lain-lain. Sesiapa yang tidak yakin atau berpegang dengan kewujudan alam ghaib, maka dia adalah kafir.

Perkara ghaib ini bukan sekadar “diketahui” semata-mata, bahkan ia perlu dipegang dan diyakini. Hari ini, manusia mengetahui bahawa Allah itu wujud. Tetapi buat jahat juga. Manusia juga tahu bahawa neraka itu wujud, tetapi amalan rasuah masih diamalkan. Inilah bentuk pengetahuan tentang ghaib semata-mata, tanpa diimani dengan sebenar-benarnya.

Antara perkara ghaib yang perlu diimani dan diyakini ialah ketentuan dan ketetapan Allah SWT. Ramai orang mengetahui bahawa ketentuan dan ketetapan Allah itu pasti, tetapi apabila mereka diuji atau ditimpa bencana, mereka masih merungut dan mempertikaikannya.

4 perkara yang telah ditetapkan oleh Allah ialah umur, rezeki, jodoh, dan ajal.

Berusahalah sehebat manapun, sekiranya Allah tidak memberikan rezeki itu, maka kita tetap tidak dapat. Carilah jodoh sehabis daya, akhirnya kita akan kahwin dengan jodoh yang telah Allah tetapkan. Maka, bersabarlah. Orang yang bertaqwa akan meyakini perkara ini.

3. Mendirikan Solat

Selalu sahaja orang bersolat, tetapi mereka tidak mendirikan solat. Mereka bersolat sekadar melepas batuk di tangga. Saya teringat di dalam kitab at Tibyan Fi Adabi Hamlatil Quran, Imam Nawawi menyebut tentang perbezaan di antara bersolat dan mendirikan solat.

Allah SWT berfirman

Yang bermaksud : Celakalah bagi mereka yang bersolat. Iaitu mereka yang lalai dalam solatnya

Maka, jelas sekali bahawa bersolat itu adalah solat yang didirikan dalam keadaan lalai. Maka celakalah bagi mereka. Mereka tidak mendirikan solat, tetapi hanya sekadar bersolat semata-mata. Juga perbezaan kita dengan bukan Islam, ialah cara bersolat. Cara kita “bersolat” sememangnya berbeza, tetapi ia adalah sama. Tetapi dalam Islam, kita dituntut supaya “mendirikan solat”, kerana solat kita yang didirikan itu tidak sama dengan orang bukan Islam “bersolat”.

Solat itu tiang agama. Adakah kita hanya membuat tiang semata-mata, tanpa mendirikannya? Apa guna tiang yang tidak digunakan untuk memasak rumah? Buat tiang untuk suka-suka? Jadikanlah solat itu tiang agama. Inilah sifat orang yang bertaqwa.

4. Menginfakkan harta

Di dalam menyebut tentang amalan mulia ini, teringat saya tentang satu hadis Nabi SAW

Yang bermaksud : Setiap anak Adam akan terputus amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh

Apabila difikirkan, ia adalah satu amalan yang sangat menguntungkan.Walaupun sudah mati, “royalti” masih berjalan. Kita masih dapat royalti walaupun sudah mati. Atau dengan bahasa mudah, dapat pahala free, dan berterusan, ketika diri ini sudah tidak dapat mengumpulkan pahala.

Sedekah jariah bukan susah. Ada duit atau apa-apa yang boleh disumbangkan, silakan. Pahala tersebut akan berjalan selagi mana duit atau sumbangan tersebut digunakan untuk kebaikan. Ilmu yang bermanfaat, sebarkan. Ia akan menjadi pahala yang berterusan.

Lihatlah ulama’-ulama’ kita. Walaupun jasad sudah meninggal dunia, tetapi pahala mereka masih lagi berjalan mengalir ke pekuburan mereka. Anak yang soleh, juga adalah royalti yang berterusan. Sekiranya anak yang soleh ada macam takda, kita lihat pula ilmu yang ada. Kalau ilmu pun tak berapa ada, sumbanglah untuk Islam.

5. Beriman dengan al Quran dan kitab-kitab sebelumnya

Hari ini orang mempersoalkan, “bolehkan kita membaca Kitab Injil?” Sedangkan al Quran yang di hadapan mata itu jarang dibaca, apatah lagi dipraktikkan. Namun, hari ini tiada lagi Injil. Yang ada hanyalah Bible yang sudah diputar belitkan.

Kitab yang telah diturunkan oleh Allah ialah al Quran, Zabur, Taurat dan Injil. Keempat-empat kitab ini wajib dipercayai, kerana ia diturukan oleh Allah SWT. Tetapi malangya, kita lebih mengambil pendekatan mempercayai “kitab” lain, selain daripada empat yang disebutkan ini. Kita lebih menggunapakai “kitab” buatan manusia, iaitu undang-undang yang digariskan oleh manusia sendiri.

Al Quran dan kitab-kitab sebelumnya, menjadi sumber rujukan pada zamannya. Tetapi setiap kaum di zaman tersebut, lebih suka menggunakan manusia sebagai rujukan, bahkan sengaja melanggar kandungan kitab-kitab tersebut. Maka tidak hairanlah manusia jenis ini pun masih wujud warisannya sehingga hari ini.

6. Yakin Dengan Hari Akhirat

Apabila menyebut tentang keyakinan terhadap Hari Akhirat, kita cukup kesal dengan beberapa golongan, yang hanya mengetahui tentang kewujudan peristiwa ini, tetapi tidak mengimaninya. Bahkan mereka tidak yakin dengan kewujudan peristiwa tersebut.

Contohnya, mereka yang gila mengumpulkan harta dunia. Mereka ini tahu bahawa harta-harta itu akan pupus juga, apabila mereka telah mati. Namun, mereka “tidak yakin” bahawa harta itu akan lupus. Mereka mengatakan bahawa, “kalau aku matipun, anak-anak aku masih ada untuk menikmati harta ini”. Orang ini tidak yakin bahawa Allah itu berkuasa untuk menarik hartanya itu dalam sekelip mata.

Apabila seseorang yakin dengan akhirat, mereka akan menyibukkan diri dengan akhirat, dengan tidak melupakan dunia. Ini kerana mereka yakin bahawa dunia itu sementara, dan akhirat itulah yang kekal. Malang bagi mereka yang mengaggap dunia ini kekal, dan akhirat itu diketepikan “buat sementara waktu”. Apabila hampir mati, barulah terhegeh-hegeh membuat amalan, sedangkan ketika mudanya, disia-siakan.

Kesimpulan

Demikianlah 6 ciri sifat orang bertaqwa yang selalu ditekankan setiap minggu di dalam khutbah. Malanglah bagi mereka, apabila seruan mengajak mereka bertaqwa dengan sebenar-benarnya, mereka berdengkur dan tidur. Apabila mempersoalkan tentang “hukum” bertaqwa, maka hukumnya adalah wajib. Tetapi kebanyakan manusia tidak menyedari bahawa mereka diwajibkan bertaqwa.

Mereka menyangka bertaqwa itu adalah sunat, harus dan sebagainya. Sedangkan perintah ini disebut-sebut setiap minggu. Wahai orang beriman, kamu hendaklah bertaqwa kepada Allah SWT!

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal