24 November 2009

Jawapan Kepada Persoalan “Allah Menentukan Dosa Seseorang, Kemudian Mengazabnya?”

Perkara pertama yang perlu difahami berkenaan persoalan ini ialah, pahala diberikan oleh Allah SWT kerana ihsannya, bukan kerana terpaksa, mahupun kemestian bagiNya. Manakala dosa pula dibalas dengan hukuman yang setimpal kerana keadilanNya, bukan satu kemestian, ataupun keterpaksaan bagiNya.

Kesudahan setiap manusia samada baik dan buruk, sudah ditentukan oleh Allah SWT. Lalu ada yang bertanya, “Adakah Allah tidak adil? Dia yang menentukan kesudahan yang buruk, kemudian mengazab pula?”.

Kita perlu tahu, bahawa kesudahan seseorang samada baik dan buruk adalah sesuatu yang telah tertulis di Luh Mahfuz, dan ia tidak akan berubah. Maka, apa yang tertulis di Luh Mahfuz adalah hasil daripada ilmu Allah yang Maha Mengetahui.

Allah SWT mengetahui perkara yang sudah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Maka, Allah SWT sudah pun mengetahui bahawa si fulan ini akan melakukan kejahatan dengan “sengaja” ketika hidupnya nanti. Si fulan tersebut melakukan kejahatan tersebut dengan kejahatannya. Lalu, tertulislah di Luh Mahfuz bahawa si fulan itu akan melakukan kejahatan sekian-sekian, pada waktu sekian-sekian.

Siapa yang sengaja buat jahat? Adakah Allah yang menetapkannya sehingga dia menjadi seperti robot yang disetkan untuk membuat jahat? Tidak. Manusia diberi akal untuk berfikir, dan kemampuan untuk memilih samada perkara baik, atau buruk. Maka, kenapa pula kita hendak pertikai perkara ini di hadapan Allah? Bukankah Allah sudah tahu perangai jahat si fulan ini sebelum terciptanya alam lagi?

Apa yang dikatakan sebagai “ketetapan dari Allah” ialah sesuatu yang tertulis di Luh Mahfuz itu adalah satu ketetapan yang tidak boleh diubah. Ketetapan tersebut disebabkan kejahatan manusia yang dilakukan dengan sengaja dan dilakukannya pada masa akan datang, dan Allah SWT tahu mengenainya.

Apa yang dikatakan dengan Qadha dan Qadar pula ialah apa yang berkait dengan rezeki, ajal, perbuatan dan celaka atau bahagianya. Rezeki ditentukan oleh Allah walaupun kita berusaha sedaya upaya mungkin. Ajal juga demikian. Makanlah bergelen-gelen ubat sekalipun, tetap akan mati pada masa yang ditentukan. Perbuatan seseorang juga telah ditentukan oleh Allah SWT mengikut yang tertulis di Luh Mahfuz. Begitu juga nasibnya.

Semuanya sudah tertulis di Luh Mahfuz berdasarkan ilmu Allah SWT yang sudah tahu tentang satu perkara yang akan berlaku. Inilah yang dinamakan Qadha’. Qadar pula ialah saat ketika berlakunya sesuatu ketetapan tersebut.

Maka, tiada lagi yang dapat berhujah mengatakan Allah itu zalim kerana menetapkan nasib seseorang, kemudian mengazabnya. Ini kerana Allah SWT sudahpun mengetahui apa yang dilakukan oleh seseorang pada akan datang, dan Allah mengazab seseorang berdasarkan perbuatan seseorang yang dilakukannya dengan sengaja.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah
Universiti al Azhar

1 comments:

Unknown on December 18, 2012 at 8:08 PM said...

inilah antara cabang iman ketetapan bagi stiap makhluk,,akal,kudrat,nurani itulah hujah kukuh illahi pada makhluk2nya yg menzalimi diri sndiri dgn berpaling dari ptunjuknya,,tempalakkan inilah yg akan mmbuatkn makhluk mencela drinya sndiri tanpa paksaan desakkan,,pengakuan muthlak,,semoga muhasabah mnjauhkn sifat putus asa dari rahmatnya,,aminn,,

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal