09 January 2010

Kaedah Mantik (satu) - “Tidak menyedari bukan bermakna tidak wujud”

“Tidak menyedari bukan bermakna tidak wujud”

عَدَمُ الوِجْدَانِ لاَ يَسْتَلْزِمُ عَدَمُ الوُجُودِ

Hukum yang pertama ini adalah salah satu hukum akal yang sering ditemui pada kebanyakan golongan-golongan pakar. Ramai yang tersalah di dalam memikirkan tentang perkara ini. Oleh itu kaedah ini menjelaskan dengan terang bahawa di manakah kesilapan yang biasa dilakukan tersebut.

Contoh petikan perkataan yang biasa dituturkan yang menyalahi undang-undang ini ialah :

“Aku sudah mencari barang itu, tetapi tidak menemuinya. Ini bermakna ia tiada di tempat tersebut”

“Saya sudah membaca buku ini, tidak terdapat kesalahan di dalam susunan tatabahasa”

Sekiranya difikir dan diteliti daripada kedua-dua petikan ini, adakah kita boleh mengiyakan dengan yakin terdapat kata-kata tersebut? Persoalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah :

“Adakah tidak menemui itu bermakna tiada”?

Hari ini ramai yang sudah tersilap di dalam berfikir, yang mana pemikiran mereka banyak melanggar peraturan pemikiran ini. Dengan bangganya golongan yang tersilap ini mendabik dada seolah-olah dialah orang yang paling betul.

Contoh yang biasa kita lihat di sekitar kita, golongan-golongan pakar seperti doktor mengatakan bahawa tiada ubat bagi penyakit HIV. Adakah benar tiada ubatnya? Atau doktor tersebut bermaksud tidak ditemui ubatnya buat masa ini?

Contoh yang lain, golongan ilmuan mengatakan bahawa Imam Bukhari tidak pernah meriwayatkan hadis ini dan ini. Adakah benar Imam Bukhari tidak pernah meriwayatkan hadis tersebut ataupun dia sendiri yang tidak pernah menemui hadis tersebut?

Contoh yang terjadi hari ini, beberapa golongan mendakwa bahawa amalan itu dan ini tiada dalil yang membenarkannya. Adakah benar tiada dalil tentang amalan tersebut, atau orang tersebut masih belum menemui dalilnya? Lebih malang, orang yang mengatakan perkara tersebut, hanya membelek beberapa buah kitab, lalu terus menghukumkan tiada.

Walaubagaimanapun, kaedah ini bukan boleh digunakan di setiap tempat dengan sesuka hati, tetapi ia perlu diamati terlebih dahulu sebelum menggunakan undang-undang ini. Di sini terdapat beberapa contoh yang boleh menjawab balik kaedah ini.

Persoalan Yang Timbul

Kaedah ini mungkin boleh ditolak (tidak sepenuhnya) dengan cara mencari dengan kaedah atau kajian yang terperinci. Contohnya, apabila seseorang tersebut sudah benar-benar membuat kajian yang terperinci lalu mendapati bahawa benda tersebut memang tidak wujud.

Contohnya seseorang menjawab kembali persoalan tadi dengan mengatakan :

“Aku sudah meneliti setiap helaian daripada buku tersebut 500 kali, masih lagi tidak menemuinya”

Dan juga mereka yang mengatakan

“Aku sudah merantau seluruh dunia 80 kali untuk mencari ubatnya, tetapi tidak menemuinya”
Daripada dua contoh di atas, hakikatnya kaedah atau undang-undang pemikiran ini bukanlah tersilap atau terdapat kekurangan tetapi disebabkan kekurangan di dalam memahami tentang kaedah ini.
Sekiranya diperhatikan, pada kaedah,
“Tidak terfikir bukan bermakna tidak wujud”

Oleh itu, fahamilah dengan teliti. Di mana bukan bermakna membawa maksud yang luas dan perinci. Seseorang yang mengatakan bahawa dia sudah mengkaji sebanyak 500 kali sekalipun, kaedah ini tetap menafikannya.

Ini kerana masih lagi terdapat “kemungkinan” yang mengatakan ia wujud. Contohnya, sekiranya dia mengkaji sehingga sejuta kali sekalipun, masih lagi ada kemungkinan (walaupun sedikit) yang mengatakan bahawa ia ada tetapi tidak ditemui.

Contoh Pemikiran Yang Silap

Contoh ini dapat dilihat apabila kepercayaan masyarakat zaman dahulu, dan pemikiran ahli sains yang mengeluarkan teori berdasarkan kajian-kajian terperinci bahawa :

a. Bumi adalah dataran yang rata
b. Matahari, bulan dan planet-planet semuanya mengelilingi bumi
c. Tiada alam ghaib

Ketiga-tiga teori ini hanyalah sedikit sekiranya hendak dibandingkan lagi dengan berjuta-juta pemikiran manusia yang telah tersilap. Tetapi, hari ini terbukti bahawa pemikiran mereka yang berdasarkan kajian yang mendalam dan pemerhatian yang kerap, adalah satu kesilapan.

( Teori Pertama )

Teori pertama yang mengatakan bahawa bumi adalah dataran yang rata. Apa pandangan anda yang hidup hari ini? Sudah pasti anda menafikannya kerana anda sudah pun mengetahui bahawa bumi itu berbentuk sfera.

Tetapi mereka yang mengeluarkan teori tersebut sudah mengkaji dengan teliti, membuat pemerhatian dengan mendalam dan manusia di zaman ini mempercayainya kerana ia adalah hasil kajian yang hampir-hampir tepat (di zaman tersebut).

Adakah benar bumi itu rata, atau pengkaji tersebut tidak menemui gambaran (bukti) yang menunjukkan bumi itu sfera? Sudah pasti anda boleh mengatakan bahawa pengkaji tersebut masih belum melihat gambaran bumi yang sebenar, lalu mengeluarkan teorinya.

( Teori Kedua )

Teori yang kedua juga hari ini dapat dibuktikan kesilapannya. Mana tidaknya, kita mengetahui selepas melihat menggunakan peralatan canggih yang tiada pada zaman tersebut. Tetapi kajian mereka di zaman itu adalah satu kajian yang mendalam dan teliti dengan pelbagai eksperimen dan pemerhatian.

Persoalannya di sini, adakah benar bumi dikelilingi oleh matahari dan bulan? Atau pengkaji tersebut tidak menemui bukti yang mengatakan sebaliknya? Lihatlah apa yang dikemukakan oleh pengkaji tersebut sudah disahkan tersilap kerana kita melihat situasi sebenar hari ini.

( Teori Ketiga )

Teori yang ketiga, ialah menafikan kewujudan alam ghaib. Penafian ini adalah satu perkara tidak logik kerana mereka menafikan perkara yang logik dan membenarkan perkara yang mustahil.

Adakah alam ghaib itu benar-benar tidak wujud, atau pengkaji tersebut tidak menemuinya? Jelas menunjukkan kelemahan kajiannya yang dikatakan beratus-ratus tahun sekalipun. Sampai hari ini masih tiada siapa yang menemui alam ghaib ini, melainkan sedikit sahaja.

Kesimpulan

Oleh itu, elakkan daripada menyebut sesuatu dengan yakin bahawa sesuatu itu tiada sedangkan ia tidak ditemui. Ini kerana berkemungkinan ia ada tetapi tidak ditemui. Tetapi, anda jangan lupa, berkemungkinan juga benda yang dicari itu tiada.

Anda pula janganlah begitu yakin mengatakan perkara itu tiada, sedangkan anda juga tidak menemui bahawa perkara tersebut tiada! Kesimpulannya, kedua-duanya sama sahaja, iaitu kedua-duanya tidak boleh meyakini 100% samada perkara tersebut tiada atau 100% perkara tersebut ada.

Contohnya, anda dengan yakin mengatakan bahawa benda yang dicari di dalam sebuah bilik tidak ditemui. Lalu anda pun mengatakan bahawa,

“Tidak terjumpa bukan bermakna tiada”

Anda sudah tersilap dalam berfikir sekiranya anda meyakini 100% benda tersebut tidak ditemui, bukannya tiada. Apabila anda sendiri pergi melihat bilik tersebut yang kosong tanpa sebarang benda, adakah anda masih lagi boleh mengatakan dengan pasti bahawa anda belum menemuinya?!

Kesimpulannya, kedua-dua adalah bersifat tidak pasti dan tidak boleh diyakini 100%. Maka, penggunaan “tidak bermakna” bermaksud kemungkinan, iaitu kemungkinan tiada dan kemungkinan tidak jumpa. Belajarlah dari kesilapan, elakkan ego dengan sedikit ilmu yang ada.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

1 comments:

trimatra on October 28, 2012 at 8:43 AM said...

terima kasih atas pencerahan...saya berminat utk belajar dengan lebih mendalam tentang kaedah mantik...harap tuan boleh beri tunjuk ajar...

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal