09 May 2010

Menyampaikan Motivasi Di Tanta

sumber : edpmt (link)







Bait Izzah, 8 Mei - Sempena musim peperiksaan yang bakal menjelang, pihak DPMT di bawah Unit Pengetahuan dan Pendidikan (UPAP) telah menganjurkan satu program motivasi kecemerlangan.

Motivasi yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Mujahid bin Ir Muhammad Fadzil ini bertujuan untuk mengukuhkan dan meningkatkan semangat cintakan ilmu di dalam diri warga Tanta untuk menghadapi peperiksaan.


Ceramah yang disampaikan dengan penuh semangat sebagai mahasiswa Al-Azhar itu padat dengan nasihat dan pesanan. Antara pesanan yang diberikan penekanan ialah tujuan kehadiran mahasiswa ke sini bukan semata-mata untuk belajar sahaja tapi perlu juga melaksanakan tugas-tugas mencegah kemungkaran yang semakin meningkat sejak akhi-akhir ini. Pencegahan perlu dilakukan bersama kerana ianya merupakan tanggungjawab sebagai individu muslim.


Beliau juga mengimbau kisah-kisah para ulama terdahulu yang hidupnya semata-mata untuk menuntut ilmu dan mencari keredhaan Allah.

"Kita perlu mencontohi mereka kerana ilmu itu lebih berharga daripada segala-galanya," jelas beliau.

Tambah beliau, Imam Zarqasyi sebagai contoh merupakan seorang yang tidak dikurniakan dengan kekayaan dunia. Oleh kerana itu, beliau tidak mampu untuk membeli kitab-kitab untuk membaca. Walau bagaimanapun beliau merupakan seorang yang begitu cintakan ilmu.


Selain itu, beliau juga memberi tips-tips belajar secara berkesan kepada mahasiswa Tanta.

"Antara cara terbaik untuk mengulangkaji pelajaran adalah dengan membuat peta minda," terang beliau berdasarkan pengalaman.

Tambahnya lagi, otak manusia lebih mudah menerima maklumat berbentuk gambarajah berbanding tulisan semata-mata. Justeru, merakam gambarajah yang dibuat dalam bentuk peta minda merupakan teknik efektif untuk menguasi kitab-kitab kuliah.

Selain daripada itu, pengetahuan pelajar terhadap kehendak doktor dalam mempersembahkan jawapan amat penting kerana ia serba sedikit memberi kesan kepada pemarkahan.

Sebelum program menutup tirainya, Ustaz Mujahid meluangkan masa menjelaskan isu-isu semasa mengenai mahasiswa Malaysia di Mesir. Beliau mengingatkan kepada mahasiswa supaya menanam sifat sensiviti dalam diri terhadap isu-isu mahasiswa yang berlaku.

Program motivasi ini berakhir pada pukul 10:30 malam selepas bersama-sama menunaikan solat Isya' berjemaah. Ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Tanta. Pasangan mutazawwijin juga tidak ketinggalan memeriahkan program ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal