23 May 2010

Ringkasan Kitab Syarah Mawaqif (Siri Akhir)


Alhamdulillah, selesai juga ringkasan dalam "maqsad" pertama ini. Di sana terdapat 1 item yang disebut oleh Syeikh Idhoduddin al Ijie, tidak dapat saya ringkaskan di sini. Iaitu tentang "beberapa keraguan yang timbul dalam maslak Hukama' dan cara menjawabnya.

Insya Allah, selepas ini saya akan cuba sedaya upaya untuk membuat ringkasan bagi kitab-kitab yang lain, terutamanya kitab kuliah, bagi Fakulti Usuluddin. Atau kitab-kitab lain yang penting, insya Allah. Selamat membaca..

Siri-siri sebelum ini






Siri Keenam... di bawah ini..

Ketujuh : Syeikh Idhoduddin al Ijie

Pengarang Kitab al Mawaqif akhir sekali mengeluarkan dalil tersendiri untuk membuktikan kewujudan Allah SWT.

Sebelum mengetahui dalil yang beliau gunakan, 3 perkara umum yang digunakan ialah :

a. Meletakkan kemungkinan sekiranya kewujudan itu semuanya mungkin

b. Meletekkan kemungkinan sekiranya tiada Wajib Wujud

c. Meletakkan kemungkinan tiada satu makhluk pun yang terhasil daripada kuasa yang mewujudkannya (iaitu : sekiranya tiada Pencipta, maka sudah pasti tiada hasil ciptaan)

Iaitu sekiranya tiada Wajib Wujud, maka sudah pasti semua yang wujud ini adalah mungkin. Sudah disebutkan sebelum ini, wujud itu terdapat tiga jenis, Wajib Wujud, mungkin wujud, dan mustahil wujud. Apabila Wajib Wujud itu tidak wujud, maka apa yang wujud hanyalah mungkin wujud, kerana mustahil wujud, sudah pasti tidak wujud.

Dalil Syeikh Idhoduddin Tentang Kewujudan Allah

Secara umumnya, Syeikh menggunakan dua kaedah utama dalam membuktikan kewujudan Allah SWT :

a. Melihat kepada wajibnya kewujudan Wajib Wujud, iaitu Allah SWT

b. Melihat kepada wujudnya Allah SWT dengan mengatakan “mustahil ketiadaanNya”

Daripada dua kaedah ini, maka terbentuklah beberapa dalil beliau :

1. Syeikh menyebut bahawa perkara pertama yang perlu diketahui untuk membuktikan kewujudan Allah, ialah :

Penyebab kewujudan “mungkin” mestilah bukan dari kalangan “mungkin”.

Kerana, apabila kita mengiyakan kewujudan Wajib Wujud, sudah pasti kita akan mengatakan bahawa di sana terdapat “sempadan”, iaitu sempadan di antara Wajib Wujud, dan Mungkin Wujud. Iaitu ketidaksamaan di antara Pencipta, dan makhluk yang dicipta.

2. Semua “mungkin” sudah pasti tidak dapat lari daripada hilang, atau terhapus. Maka, jelas di sini membuktikan bahawa ia (mungkin wujud itu) tidak Wajib Wujud. Kerana Wajib Wujud mesti wujud, dan mustahil Wajib Wujud itu tidak wujud, disebabkan terhapus, hilang atau mati.

Mana mungkin “mungkin wujud” itu hilang sekiranya ia adalah penyebab kepada kewujudan makhluk (mungkin) yang lain. Maka, sudah pasti di sana terdapat Kuasa yang Wajib Wujud, bukan dari kalangan “mungkin wujud”.

Natijahnya, Penyebab kewujudan makhluk sudah pasti:

a. Tidak termasuk (tergolong dalam) “mungkin wujud”

b. Langsung tiada persamaan dengan “mungkin wujud”

c. Mempunyai ZatNya yang tersendiri, yang tidak sama dengan “mungkin wujud” dan tiada langsung ciri-ciri “mungkin wujud” tersebut

Kesimpulan daripada 2 dalil sebelum ini ialah wujud itu terbahagi kepada 2 sahaja, iaitu :

a. Mungkin wujud – telah disahkan bahawa ia memerlukan kepada kuasa yang mewujudkannya

b. Wajib Wujud – telah disahkan kewujudanNya, tidak memerlukan makhluk, bahkan semua makhluk memerlukanNya

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal