24 June 2010

Kerajaan Diminta Selesai Pelajar Ditahan Di Mesir


GRIK, 23 Jun: Kerajaan diminta menangani isu penahanan seorang rakyat negara ini, Muhamad Zulkifli Zakaria, 41, oleh pihak berkuasa Mesir, secara serius kerana mangsa pergi ke negara itu untuk urusan pelajaran.

Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Razman Zakaria, berkata Zulkifli yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ibrahim tidak mempunyai rekod yang beliau terbabit dengan sebarang kegiatan bertentangan dengan undang-undang negara dan tidak menyertai mana-mana jamaah yang diharamkan di negara ini.

Katanya, pemergian Zulkifli hanya atas urusan untuk menyambung belajar di Universiti al-Azhar bagi peringkat master, bagaimanapun ketika proses penerbangan balik pada 13 Jun lalu, beliau ditahan pihak berkuasa Mesir.

"Semasa proses check out di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, sewaktu beliau berurusan dengan pihak imigresen, beliau ditahan sedangkan isteri dan dua anaknya tidak tahu apa-apa.

"Akhirnya apabila kapalterbang berlepas, beliau tidak bersama dengan isteri dan dua anaknya yang baru berusia dua dan tiga tahun," katanya selepas pulang dari menemui Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen, kelmarin.

Razman berkata, penahanan oleh pihak berkuasa Mesir langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga Zulkifli di Malaysia, malah kerajaan sendiri tidak memaklumkan kepada pihak keluarganya.

Katanya, berikutan itu, 20 Jun lalu beliau ditemui bapa Zulkifli, Muhammad Zakaria Abdullah, 62, mengadu hal anaknya, membawa kepada pertemuan dengan Mahfuz dan Anifah.

Selepas pertemuan itu, katanya, Menteri Luar membuat kenyataan akhbar dan berita mengenai penahanan Zulkifli yang juga bekas calon PAS Parlimen Lenggong itu disiarkan akhbar arus perdana semalam.

"Saya mewakili PAS Lenggong, mendesak kerajaan Malaysia menangai masalah Ustaz Zulkifli dengan serius sehingga beliau dibebaskan oleh pihak berkuasa Mesir kerana Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak itu tidak bersalah.

"Saya juga berharap supaya keluarga Ustaz Zulkifli bersabar atas ujian yang dihadapi dan berdoalah supaya Ustaz Zulkifli dapat pulang segera ke pangkuan keluarga," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal