07 August 2010

Wacana Minda Presiden Hangat

KAHERAH, 4 Ogos - Acara ilmiah pada malam hari ke-4 diteruskan dengan Wacana Minda Presiden yang menampilkan tiga ahli panel yang tidak asing lagi di kalangan pendokong dan penyokong PMRAM. Tiga ahli panel yang dimaksudkan ialah Saudara Hairul Nizam Bin Mat Husin, Presiden PMRAM sesi 2006 dan 2007, Saudara Shahrizan Bin Mohd Hazime, Presiden PMRAM sesi 2010, dan Saudari Nur Hafiza Binti Abdul Wahab, Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM sesi 2010 beserta seorang moderator, Saudara Muhammad Mujahid Bin Haji Ir. Muhammad Fadzil.

Di awal perbincangan, telah dibincangkan mengenai penggantungan pendaftaran PMRAM dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir pada tahun 1975 hingga 1979 yang mana telah menyebabkan PMRAM tidak boleh melaksanakan sebarang program sepanjang 5 tahun.

Peristiwa ini terjadi susulan daripada semangat kenegerian dan kepelbagaian fikrah yang wujud dikalangan ahli bahkan kepada kepimpinan PMRAM sendiri. Hal ini membuktikan bahawa kesatuan fikrah merupakan tunjang utama untuk memastikan survival PMRAM di Perlembahan Nil ini.

Didalam perbincangan ini diselitkan juga rakaman video amanat daripada mantan Penasihat PMRAM 2000 Ustaz Azhar bin Yahya dengan berkata, “ Kita sebagai penerus warisan perjuangan abang-abang terdahulu dalam melaksanakan misi dakwah kesemua peringkat mengikut keadaan semasa kepimpinan ”. Hal ini memerlukan kepada kita semua untuk sama-sama berganding bahu, mengumpul kekuatan membawa hadaf PMRAM itu sendiri iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

PMRAM bukanlah satu badan politik, akan tetapi PMRAM adalah satu badan kebajikan yang mengajarkan kepada ahlinya memperjuangkan kedaulatan Islam, membawa kesatuan hati ahli, penjagaan syariat dalam pelbagai aspek, mengajarkan ahli bekerja tanpa wang dan membentuk keberanian dalam diri masing-masing supaya tidak bacul dalam mempertahankan hak mahasiswa dan kemanusiaan.

Wacana ini dihangatkan lagi dengan persoalan dan hujahan yang membangkitkan rasa ketidakpuasan hati di pihak HEWI yang mana Saudara Hairul Nizam bin Mat Husin berkata, “ Saya tidak merasakan umph, dimanakah peranan HEWI kita disaat ini. Jika sekadar menjahit baju konvokesyen, itu bukanlah satu kebanggaan pada masa kini, akan tetapi kita perlu menjahit hati adik-adik ini untuk lebih mendalami Islam yang sebenar “.

Hal ini kerana pelajar-pelajar perubatan yang majoritinya daripada siswi datang dengan pelbagai latar belakang keluarga samada berpendidikan agama ataupun tiada langsung pemahaman agama. Respon daripada Timbalan Pengerusi HEWI, Saudari Nor Hafiza bt Abdul Wahab mengenai hal ini, kepimpinan HEWI pada tahun ini telah merancang dan melaksanakan beberapa agenda tarbiah antaranya dakwah fardiah ke PMRAM Cawangan angkat masing-masing dengan mengadakan Qiamulail, Solat Hajat, memberi tazkirah dan sebagainya.

Di hujung wacana, telah diingatkan mengenai tanggungjawab sebagai mahasiswa yang perlu berpandangan jauh, merangka dan merancang strategi untuk memastikan survival PMRAM akan datang terus bertapak di bumi Mesir ini.

Menurut perangkaan yang dibuat oleh ahli panel, jangkaan mahasiswa perubatan akan datang melebihi sembilan ribu orang, manakala mahasiswa pengajian Islam pula akan menjadi kumpulan minoriti di bumi Mesir ini, iaitu seramai 3800 orang.

Secara konklusinya dari ahli panel, PMRAM perlu menekankan aspek tarbiah dan melahirkan ahli yang boleh menjadi murabbitun kepada mad’u di bumi Mesir ini yang pelbagai latar belakang pengajian.

Mahasiswi juga diingatkan dengan tanggungjawab untuk sama-sama turun ke medan, bukan hanya sekadar menjadi sayap kiri sahaja bahkan boleh sama-sama melontarkan idea untuk memperkukuhkan kesinambungan PMRAM akan datang.

Tanggungjawab untuk melahirkan ahli sefikrah dan berpengetahuan bukan terletak di pundak Badan Pengurus sahaja, bahkan HEWI juga mampu melahirkan ulama-ulama wanita yang boleh membela kaum wanita pada masa akan datang dan menjawab persoalan yang cuba diseleweng oleh mereka yang tidak sepatutnya.

Majlis Wacana Presiden pada malam itu telah dihadiri hampir 1000 orang memenuhi Dataran Hayyu Asyir. Pada malam tersebut juga, Kontinjen PMRAM Cawangan Kedah dan Johor mempersembahkan persembahan Silat. Manakala, Kontinjen PMRAM Cawangan Kelantan menyampaikan persembahan Dikir Barat.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal