15 April 2011

Teori Salah : Membina Kesatuan Dengan Menyemarak Perpecahan



Apabila memikirkan tentang umat Islam sedunia, kita merasa kesal dan sedih. Apatah lagi bertambah sedih apabila mereka yang bergelar "ulama" dan "penuntut ilmu" pun masih belum memahami dan mengerti apakah peranan mereka setelah mana mereka mengucap kalimah syahadah.

Baru-baru ini, PMRAM telah membentangkan kertas kerja Konsep Syahadah dan Tuntutannya (versi baru) hasil daripada perbincangan beberapa panel. Kertas kerja tersebut akan dibentang kepada semua ahli PMRAM pada hari ini (Jumaat 15 April) oleh naqib-naqib yang telah tersenarai.

Hasil daripada perbincangan kami untuk menghasilkan sebuah kertas kerja baru ini, mendapati bahawa ramai di kalangan mahasiswa Melayu Mesir, turut tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan syahadah, dan apakah tuntutan syara' terhadap mereka setelah mengucap kalimah syahadah ini.

Antara intipati yang boleh diketengahkan ialah :

Pertama

Syahadah menuntut kita untuk bersama dengan gerakan Islam yang satu. Iaitu sebuah gerakan Islam yang mempunyai 4 rukun :

a. Qiadah Rabbaniah (kepimpinan yang bersifat Rabbani)
b. Jundiah at To'ah (ahli yang taat)
c. an Nizam (bersistem)
d. al Khutuwat (bersrategi)

PMRAM telah berumur 81 tahun untuk melaksanakan agenda gerakan Islam. Namun, ia dinafikan oleh beberapa golongan yang mendakwa bahawa mereka lebih lengkap dan tarbiah mereka lebih mantap kononnya.

Adakah tarbiah lebih mantop itu menjadi alasan untuk menubuhkan jemaah baru yang berumur 3 tahun? Kenapa jemaah yang sedia ada yang sudah berumur 81 tahun tidak dilihat perjuangan mereka selama ini?

Ingat, dengan menubuhkan jemaah yang kedua, akan merosakkan beberapa rukun. Rukun kedua, ahli akan berbilang-bilang wala'. Nak ikut jemaah yang mana satu? Rukun yang ketiga juga akan rosak kerana dengan kewujudan jemaah baru yang kononnya untuk menandingi PMRAM akan menyebabkan kecelaruan sistem, dan Islam takkan bersatu dengan cara ini. Maka, rukun jemaah rosak disebabkan kewujudan jemaah baru ini.

Kedua

Kenapa kita perlu mengucap, belajar dan memahami Kalimah Syahadah? Ya, Kalimah Syahadah perlu diucap, dipelajari dan difahami. Kita bukan hanya dituntut untuk mengucap semata-mata, tanpa mempelajari dan memahaminya.

Ini kerana, ramai umat Islam di dunia ini, khususnya mahasiswa kita, hanya tahu mengucap sahaja. Akan tetapi dia tidak mempelajari tentang kalimah ini, dan dia tidak memahami apakah yang sepatutnya dilakukan olehnya apabila dia telah mengucapa kalimah ini.

Maka, ada di antara mereka yang takut dengan ugutan, takut apabila diancam untuk ditarik rezeki dan lain-lain. Dr Yusof al Qaradhawi menyatakan di dalam kitab ar Riddah Wa Uqubatuha, bahawa apabila seseorang tersebut dikatakan memeluk Islam, maka :

a. Dia perlu menjadikan Allah sebagai penjaganya
b. Dia perlu menjadikan Allah sebagai pelindungnya
c. Dia perlu menjadikan Allah sebagai perundangan baginya

Maka, apabila seseorang itu mengucap Kalimah Syahadah, sepatutnya dia tidak takut dengan ancaman untuk ditarik zakat, ancaman itu dan ini.

Ketiga

Apabila seseorang itu mengucap Kalimah Syahadah, dia perlu tahu peranannya dan melaksanakannya. Peranan (kewajipan) seorang pemuda sepertimana yang dinyatakan oleh Dr Yusof al Qaradhawi di dalam "Kewajipan Pemuda Muslim Hari Ini" :

a. Wajib memahami Islam secara shahih
b. Wajib bekerja untuk Islam
c. Wajib menyeru kepada Islam
d. Wajib bersama Gerakan Islam

Ini adalah peranan seorang pemuda muslim, dan dia mesti berusaha untuk melaksanakannya. Rata-rata mahasiswa kita hanya tahu, berusaha dan melaksanakan kewajipan "yang pertama" sahaja. Ada yang turut melaksanakan "yang ketiga". Hakikatnya kita perlu melaksanakan kesemua kewajipan ini.

Beliau juga menyatakan di dalam kitab "Ainal Khalal" bahawa antara kelemahan kita hari ini ialah "bilangan yang ramai, tetapi tidak berperanan". Pemuda kita ramai, ahli PMRAM di Mesir pun ramai dan semuanya beliawan belaka, tetapi berapakah yang berperanan?

Berapakah yang bekerja untuk Islam? Berapakah yang menyeru kepada Islam? Ada juga segelintir golongan yang menyeru ke arah mengasingkan diri daripada PMRAM. Ada juga yang tidak bersama PMRAM, bahkan mengecam dengan bermacam-macam perkara. Inikah yang kita namakan sebagai seorang pemuda muslim?

Keempat

Teringat sejarah Turki Uthmaniah, yang jatuh di tangan Kamal At Tartuk yang ketika itu mengepalai suara pemuda. Dengan menggunakan kekuatan sebagai seorang pemuda, beliau merancang itu dan ini untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniah. Adakah kita juga sekepala dengan beliau?

Kenapa kita menjadi pemuda seperti Muhammad al Fateh yang membuka Kota Kostantinopel? Inilah intipati yang keempat, yang ingin saya jelaskan di sini. Iaitu berkaitan dengan sejarah dan sirah ujian para pejuang yang tidak dirasai oleh kita.

Khabbab al A'aradh disalai di atas bara api sehingga meleleh keluar lemak-lemaknya untuk menyelamatkan Islam, Zubair al Awwam diseret dengan kuda untuk menyatakan Islam, keluarga Yasir dibunuh dengan kejam, dan sebagainya. Tetapi kita hari ini bagaimana?

Kita lebih suka mengabaikan sunnah Nabi SAW yang terbesar, iaitu membina sebuah negara Islam, kerana melakukan perkara-perkara yang lain. Kita sibuk dengan kehidupan kita yang berkeseorangan berbanding hidup secara kolektif dan berjemaah. Inilah umat akhir zaman.

Benar sepertimana sabda Nabi SAW, bahawa umat akhir zaman akan berpecah. Masing-masing mendakwa perjuangan mereka adalah yang benar. Kita mengucap kalimah syahadah yang sama, tetapi kita masih meng"harus"kan perpecahan untuk membina kesatuan? Kesatuan apakah yang terbina hasil perpecahan?

Kesimpulan

Maka, kalimah syahadah yang satu, menuntut kita untuk bergerak dalam gerakan yang mempunyai satu fikrah, satu amal. Inilah yang menjadi slogan PMRAM selama ini, yang kurang difahami oleh mereka.

PMRAM sudah berusaha selama 81 tahun untuk menyatukan mahasiswa Islam di bumi Mesir. Tetapi usaha ini telah digagalkan oleh segelintir orang yang mendakwa mereka adalah gerakan Islam. Adakah gerakan Islam yang mereka katakan itu bermatlamatkan untuk menjatuhkan sebuah gerakan Islam yang lain, yang sudah berumur 81 tahun?

PMRAM juga berhadapan dengan usaha-usaha untuk merosakkan PMRAM dalam tempoh 81 tahun. Satu ketika dahulu, wujudnya PPMM yang ingin menjatuhkan Gerakan Islam berusia 81 tahun ini. Tetapi hari ini, sudah wujud bermacam-macam nama dan fahaman. Ingat, teori sejarah menyatakan "sesuatu yang cepat naik, maka akan cepatlah jatuhnya"

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Felo Markas Pengumpulan Kajian Ilmiah dan Hasilan (MANHAL)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

2 comments:

Akh Hakim on October 31, 2011 at 10:30 PM said...

"Adakah tarbiah lebih mantop itu menjadi alasan untuk menubuhkan jemaah baru yang berumur 3 tahun?"

"Rukun yang ketiga juga akan rosak kerana dengan kewujudan jemaah baru yang kononnya untuk menandingi PMRAM"

Salam ziarah akhi, maaf ana datang ke blog laman ini pun atas sebab terjumpa link yang menarik di fb. Tujuan ilmu, tajuk yang dibawa agak menarik.

Rasanya ana faham sedikit apa yang akhi cuba bawa daripada pemahaman akhi selama berapa tahun berjuang 'bersama' gerakan-gerakan yang lain. Marilah sama-sama kita berlapang dada mana-mana gerakan Islam di dunia ini, selagi ditarbiyah, selagi mereka belajar secara mendalam, mereka tahu mengapa perlunya mereka 'mengasingkan diri' dari gerakan dan terus memperjuangkan objektif islam ini.

Sebenarnya perpecahan itu akan wujud akibat cara kita berfikir, terutamanya ketika kita mula membandingkan usaha, menilai, dan mempertikaikan mana-mana gerakan sedangkan objektif tak jauh berbeza.

Biarlah 81 tahun, 3 tahun, walaupun 500 tahun, 'Islam' adalah 'gerakan' yang telah mengubah tamadun dunia selama 1400 tahun lebih.

Perpecahan yang berlaku sebenar, adalah ketikamana umatnya, melawan arus Islam itu.

Sekiranya jemaah yang telah sedia ada, tak kiralah apa alasan sekalipun, kita perlu bertanya,

Adakah wajar dibubarkan jemaah itu?

Adakah jemaah itu bertujuan untuk menggagalkan usaha jemaah lain?

Adakah jemaah lain itu sebagai sayap-sayap yang bersama menerbangkan Islam, atau menyesatkan?

Wallahu a'lam..

Bukan Azhari on October 31, 2016 at 8:35 AM said...

Terlampau banyak falasi. Ini semata-mata mengajak kepada keseragaman bukan kesatuan. Tiada beza dengan budaya senioriti di sekolah yang dilapik dengan kemanisan Islami. Kencang dan kemas. Seolah-olah dia sahaja yang muslim. Ittaqullah ya akhi. Dalam kepelbagaian juga wujud kesatuaan. Andai benar jujur dan ikhlas. Dan memahami maksud sebenar tasammuh.

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal