Showing posts with label Diskusi dan Ringkasan Kitab. Show all posts
Showing posts with label Diskusi dan Ringkasan Kitab. Show all posts

17 June 2010

Ringkasan Teori Moden, Tahun 4 Akidah Falsafah (Siri Akhir)

Kekejaman Komunis


Bab 4 : Undang-undang Perdebatan

3 Undang-undang asas dalam perdebatan, iaitu :

1. Undang-undang Pergerakan

Iaitu gerakan merupakan sifat subjektivisme bagi setiap ciptaan dan benda yang bersifat material. Marxisme mengatakan bahawa gerakan itu muncul dari dalam material disebabkan pertembungan di antara bentuk-bentuk material.

2. Undang-undang perubahan

Iaitu perpindahan dengan pergerakan yang berterusan daripada perubahan bersifat bilangan, kepada perubahan bersifat kaedah. Maka, setiap perubahan pada material adalah perubahan daripada bilangan, kepada kaedah. Contohnya tanah yang mengalami hakisan. Pada mulanya ia berubah dari sudut “bilangan” hakisan, kemudian ia bertukar kepada perubahan bentuk.

3. Undang-undang hubungan (connection)

Iaitu undang-undang yang mengaitkan hubungan di antara material. Iaitu saling memberi kesan di antara satu sama lain. Bermula dengan saling memberi kesan di antara bahagian-bahagian kecil, dan seterusnya bahagian-bahagian kecil ini memberi kesan kepada induk.

Kesilapan Marxisme Dalam Ilmu Logik (Mantiq)

Secara umumnya, Marxisme mengalami kesilapan dalam Ilmu Logik dari sudut perbezaan di antara “berlawan” dan “bertentang”. Maka, dalam Ilmu Logik mengatakan bahawa :

Dua perkara yang bertentangan mustahil dapat digabungkan dan disekalikan

Dua perkara yang berlawanan mustahil dapat digabungkan, tetapi boleh disekalikan.

Contohnya manusia dan bukan manusia, adalah dua perkara yang bertentangan, mustahil dapat digabungkan atau disekalikan.

Contoh kedua, di antara putih dan hitam, adalah dua perkara yang berlawanan, mustahil dapat digabungkan, tetapi ia boleh disekalikan. Seperti meja yang berwarna hitam dan putih.


Bab 5 : Sejarah Secara Materialisme

Meneliti sejarah secara materialisme (Historical Materialisme) adalah salah satu pegangan Marxisme. Pegangan ini juga dicedok daripada fahaman George Hegel, tetapi tidak disingkirkan beberapa isi penting, antaranya persoalan roh dan pemikiran. Lalu, Karl Marx meletakkan beberapa method dalam menterjemahkan sejarah secara materialisme.

Mentafsirkan sejarah secara materialisme ialah menceritakan perubahan sejarah dunia dengan mengatakan bahawa segala perubahan tersebut berpunca daripada material. Material adalah segala-galanya dalam perubahan sejarah dunia. Antara faktor utama dalam perubahan sejarah dunia juga ialah ekonomi.

Ekonomi merupakan satu unsur materialisme yang menjadi sumber perkembangan dan kemundurang sesuata negara. Bukan sahaja ekonomi, bahkan peristiwa-peristiwa dunia semuanya dilihat dari sudut materialisme.

Contoh yang lain, mereka mengatakan bahawa sistem kasta dan sekatan kewangan akan menyebabkan berlakunya lonjakan dan ledakan untuk menolak sistem tersebut. Jelas di sini bahawa material memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sejarah.

Sumber Historical Materialism

1. Asas pertentangan meresap di dalam ruang lingkup kemasyarakatan.

Iaitu pertentangan menjadi asas kemasyarakatan, yang menyebabkan kemajuan atau kemunduran sesuatu masyarakat. Contohnya dengan mengubah sesuatu kepada perkara yang bertentangan dengannya. Atau, melihat sesuatu dengan cara bertentangan. Bahkan kemajuan kehidupan masyarakat juga terkesan dengan sistem pertentangan ini. Sebab itulah timbulnya Dielaktikal

2. Undang-undang perubahan dan seruan kepada pertembungan masyarakat

Marxisme cuba menghidupkan api kebangkitan masyarakat untuk menentang sistem kasta dan kesenjangan di antara masyarakat. Beliau cuba mencetuskan kebangkitan Komunisme dengan menaikkan golongan pakerja. Beliau juga cuba menghidupkan sistem Kapitalisme yang bertindak sebagai penjanaan ekonomi.

3. Agama merosakkan akal

Marxisme juga mendakwa bahawa agama atau pegangan merosakkan akal. Apatah lagi pegangan terhadap sesuatu yang bukan bersifat material. Fahaman ini menggunakan uslub-uslub memfitnah, mencela dan sebagainya, untuk memburuk-burukkan agama. Agama dianggap sebagai candu yang merosakkan otak.


Bab 6 : Marxisme Dan Agama

Antara uslub-uslub yang digunakan untuk memerangi agama ialah :

1. Uslub dakwaan yang dibuat di muktamar-muktamar mereka. Ia bertujuan memberitahu secara jelas kepada semua hadirin, dan menimbulkan sensitiviti untuk menolak agama. Antaranya seperti yang diadakan di Rusia pada 1920.

Antara yang lain, mereka menyebarkan terbitan-terbitan antaranya “Pegangan Terhadap Allah Adalah Warisan Orang Lapuk” pada 1954. Begitu juga terbitan pada 1958 yang menceritakan tentang Kanun Pertama. Pada 1959, terbitnya akhbar seperti “Saintifik Merah”, yang menimbulkan keraguan terhadap Islam.

2. Pengkanunan atau menggariskan undang-undang dalam perlembagaan yang mampu menyekat perkembangan agama. Antaranya tentang kebebasan yang telah diubah pada tahun 1925 setelah perlembagaan berkaitannya dibuat pada 1918. Undang-undang 1925 ini telah memisahkan di antara urusan gereja dan kenegaraan.

3. Membuat serangan-serangan ke atas negara-negara, kemudiaan melakukan penghinaan terhadap agama di negara tersebut. Antara yang terbabit, negara yang terletak di Asia Tengah, dan Asia Barat. Di dalam sejarah serangan komunis ini, mereka bertindak kejam, terutamanya terhadap umat Islam sendiri.

Daripada Rusia, mereka menjajah Aural, Istirkhan, Siberia, Qaram, Qauqaz dan Turkistan untuk membentuk Kesatuan Soviet.

Kekejaman Dalam Sejarah

1. Genosid (penghapusan etnik) terhadap penduduk Siberia. Kesannya, hampir semua rakyat negara tersebut dibunuh.

a) Komunis juga telah membunuh 100 000 orang Islam di Turkistan, dalam semua peringkat masyarakat pada 1934.

b) Di antara 1937 – 1939, Rusia telah membunuh 500 000 orang Islam di Turkistan.

c) Pada 1950, 7000 orang telah dibunuh dan dihalau dari Turkistan.

d) Daripada 1919 sehingga sekarang, jumlah yang terbunuh di Turkistan mencecah setengah milion orang Islam.

e) Dan sebagainya...

2. Memusnahkan masjid dan sekolah

a) Sekitar 6682 buah masjid di Turkistan telah dimusnahkan.

b) 7062 buah sekolah telah dihapuskan

3. Membunuh para ilmuan

a) Syeikh Burhan al Bukhari, Qadhi

b) Syeikh Khan Marwan Khan, Mufti Bukhara

c) Syeikh al Jalil Abdul Mutalib Damila

d) Syeikh Mahsum Mutawalli

e) Syeikh Abdul Ahad Dar Khan

f) Syeikh Mula Yaqub

g) Syeikh Mula Abdul Karim

h) Dan ramai lagi..

tamat..

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

Ringkasan Teori Moden, Tahun 4 Akidah Falsafah (Siri 3)

Karl Marx, pengasas fahaman Marxisme


BAHAGIAN KEDUA : MARXISME

Bab 1 : Pendahuluan
Bab 2 : Karl Marx
Bab 3 : Materialisme Dialektikal
Bab 4 : Undang-undang Perdebatan
Bab 5 : Sejarah Secara Materialisme


Bab 1 : Pendahuluan

Secara umumnya, kejayaan komunisme yang diasaskan oleh Karl Marx merujuk kepada sokongan padu oleh Zionis Antarabangsa. Sejarah telah membuktikan kebenaran ini berdasarkan siri-siri yang akan dibentangkan di sini.

Pada 1848, Karl Marx (1818-1883) mula mempromosikan beberapa buah fikirannya yang bersifat kontroversi. Antara kekuatan beliau untuk menguatkan fahamannya ialah :

1. Fasisme

Fahaman yang muncul di Itali pada 1922 yang meletakkan fahaman pemerintahan di bawah satu parti. Ia didokongi oleh Benito Mussolini (1883-1945). Beliau menjadi Perdana Menteri Itali pada 1922-1945.

2. Zionis

Gerakan untuk menubuhkan negara Israel, yang ditubuhkan oleh Theodor Herzl (1860-1904), pada akhir kurun ke 19. Zionis membantu tersebarnya Fahaman Marxisme dari aspek

3. Komunisme

Komunisme yang diasaskan menjadi paksi bagi Karl Marx. Antara fahaman yang menguasai dunia Komunisme ialah Leninisme, Stalinisme, Maoisme dan Trotskyisme. Kesemuanya hasil daripada Marxisme sendiri.

Pada 1883, berlakunya satu perhimpunan pemberontakan golongan pekerja yang bertujuan menyebarkan fahaman Marxisme, dengan bantuan dan sokongan daripada Zionisme. Ketika itu, Marxisme diterajui oleh Lenin (1870-1924) dan Stalin (1879-1953) yang merupakan tokoh Komunisme.

Pada 1893, Lenin (1870-1924) telah mengadakan satu perhimpunan gabungan fahaman Marxisme dan turut dihadiri ramai orang Yahudi di dalamnya.

Pada 1903, telah diadakan muktamar kesatuan di Roxell untuk menubuhkan Parti Pekerja yang mendokongi fahaman Marxisme.

Pada 1917, muncullah Kebangkitan Komunisme yang bermula di Rusia dan berkembang di seluruh dunia dengan begitu pesat.

Timbul persoalan, kenapa Zionisme turut sama dengan kebangkitan yang Komunisme?

1. Ini kerana Zionisme melihat bahawa peranan Komunisme berpotensi untuk memberi kekuatan kepada Zionis sendiri. Ini kerana Fahaman Anti Tuhan yang dicanangkan oleh Komunisme, membantu Zionisme untuk membina empayar Israel satu ketika nanti.

2. Juga untuk menjatuhkan agama-agama yang berpegang dengan tuhan, untuk menobatkan ketuanan Yahudi di dunia.


Bab 2 : Karl Marx

Karl Marx adalah pengasas fahaman Marxisime yang berpegang dengan dua asas, iaitu :

1. Materialisme Dialektikal (Dealectical Materialism/Maddiyah Jadaliyyah)

2. Materialisme Sejarah (Historical Materialism/Maddiyah Tarikhiyah)

Kedua-dua asas ini tertegak di atas menolak pegangan atau agama, dan mengingkari kewujudan Allah (Atheisme)

Beliau ketika zaman mudanya, telah mengenali nilai keagamaan dan kenikmatan daripada keimanan. Tetapi apakah sebab beliau menentang agama selepas itu? Ia berpunca kepada beberapa sebab, iaitu :

1. Faktor kemiskinan yang keterlaluan dan peluang pekerjaan yang terhad. Bahkan keperluannya untuk menampung keluarganya apatah lagi dengan pekerjaan bapanya. Bahkan, keluarga mereka dibelenggu dengan hutang yang banyak, dan ini menyebabkan tekanan yang kuat terhadap beliau.

2. Faktor warisan dan suasana yang memberi kesan. Beliau mewarisi kehinaan yang dilemparkan kepada bapanya, yang telah menukarkan agama daripada Yahudi kepada Kristian. Bahkan, kehidupan mereka ketika beragama Yahudi, sangat teruk, kongkongan dan mengalami tekanan kehidupan.

Antara perkara yang penting dalam sejarah beliau ialah ketika pengajian beliau di Universiti Humboldt, Berlin, Jerman setelah dipaksa oleh ayahnya. Tetapi di sana, beliau meminati bidang Falsafah walaupun bapanya tidak menyukainya.

Di sana juga, beliau banyak menerima pendidikan oleh pensyarah-pensyarah yang menghentam agama. Antara tenaga pengajar di situ ialah George Hegel (1770-1831) yang terkenal di zamannya.

Hasil didikan universiti ini, beliau telah menjadi seorang ahli Falsafah terkenal. Apatah lagi ketika di universiti, beliau telah menyertai kumpulan professor muda yang diberi nama Young Hegelians, yang diketuai oleh Bruno Bauer (1809-1882)


Bab 3 : Materialisme Dialektikal

Pengenalan

Secara umumnya, “dialektikal” bermaksud mengkaji satu kebenaran dengan cara perbincangan atau perdebatan. Manakala materialsime mengikut pandangan mereka ialah kewujudan yang pertama, dan tiada permulaan bagi kewujudannya. Iaitu, tiada istilah roh, akal, pengetahuan dan deria melainkan kesemua ini adalah hasil daripada material.

Mereka mengatakan juga bahawa semua kewujudan ini adalah material semata-mata. Dan kewujudan material ini mempunyai kewujudan objeknya tersendiri, iaitu terasing daripada pemikiran dan gambaran kemanusiaan. Maka, dengan ini Marxisme begitu mudah menolak kewujudan Allah SWT.

Suasana, warisan, kaedah fizik, kehidupan berpolitik, kemasyarakatan, ekonomi secara khusus dan sebagainya merupakan faktor yang menjadi kesan dalam kehidupan manusia. Tiada sebarang ruang untuk memilih dan bebas.

Mereka mengakui kewujudan akal dan kehendak, tetapi akal tidak mampu menguasai melainkan apa yang telah terjadi berdasarkan kejadian fizik pada material sahaja. Bahkan, kehendak pula tidak berkuasa untuk menembusi atau bercanggah dengan kesemulajadian material.

Material yang bersifat luaran, sistem ekonomi dan sebagainya merupakan kekuatan bagi materialisme, dan beliau berpegang dengan kesucian material, serta menganggap material adalah segala-galanya. Bahkan seseorang itu hendaklah meletakkan matlamat penyembahannya kepada masyarakat dan pemerintahan.

Istilah Penggunaan Dialektikal

Istilah ini telah digunakan oleh ahli-ahli Falsafah kuno antaranya :

1. Heroqlitis adalah orang yang mula-mula menggunakan istilah ini, dan menjadikannya sebagai istilah saintifik. Ia menggambarkan sebagai perubahan yang berterusan pada alam dan fizik.

2. Zenon menggunakan istilah ini sebagai penolakan terhadap pandangan yang salah dengan menggunakan cara perdebatan. Sehingga orang yang memberi pandangan yang salah itu mengakui kesalahan pandangannya sendiri.

3. Socrates menggunakan istilah ini sebagai penelitian terhadap definisi yang benar, dan menolak definisi yang tidak benar.

4. Plato pula menggunakan istilah ini sebagai hubungkait dengan praktikal kemuliaan dan nilai.

5. Aristotle menggunakan istilah ini sebagai penerimaan terhadap pembuktian yang dibina untuk menghasilkan keyakinan.

6. Bermula dari zaman kemunculan Stoicism, hinggalah akhir zaman pertengahan, istilah ini digunakan sebagai “perdebatan”.

7. Pada zaman baru pula, golongan Critisism yang didokongi oleh Immuel Kant menggunakan istilah ini sebagai pendedahan daripada keraguan.

8. Golongan Fasisime menggunakan istilah ini untuk melepaskan diri mereka daripada kongkongan gereja dengan kaedah perdebatan.

9. Ahli Falsafah German, George Hegel menggunakan istilah ini sebagai asas bagi pemikiran idealisme, untuk menyatakan kewujudan akal yang menjadi tempat wujudnya alam.

Daripada sini, kita dapat mengetahui bahawa Karl Marx mengambil istilah Dialektikal daripada George Hegel, kemudian menyonsangkannya. Hegel menggunakan istilah ini untuk menyatakan kewujudan Allah dan akal, tetapi Karl Marx telah mendakwa bahawa istilah yang digunakan oleh tok guru beliau sebagai salah.

Lalu, beliau mencipta penggunaan baru bagi Dialektikal, yang merujuk kepada perdebatan untuk merealisasikan pemikiran materialisme. Lalu terbentuklah istilah Materialisme Dialektikal. Beliau menggunakan method yang sama dengan Hegel, tetapi menterbalikkannya untuk menafikan kewujudan tuhan.

1. Ia dimulakan dengan “permasalahan”. Iaitu memastikan masalah yang ingin diperdebatkan.

2. Kemudian peringkat pertentangan atau penafian. Iaitu menafikan, atau mencari pertentangan terhadap permasalah tersebut.

3. Kemudian peringkat penggabungan atau penafian perkara yang dinafikan. Iaitu menggabungkan dua peringkat penafian untuk mengasilkan penafian bagi perkara yang dinafikan.

bersambung

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

Ringkasan Teori Moden, Tahun 4 Akidah Falsafah (Siri 2)

Antara watak yang menggambarkan Teori Existentialisme


Bab 3 : Wujud dan Teori Kewujudan

Pengenalan

Antara teori kewujudan dan “wujud”, kita perlu mengetahui bahawa :

1. Kewujudan yang hakiki adalah manusia sahaja. Selain daripadanya adalah kewujudan yang wujud untuk kehidupan manusia. (hal. 42)

2. Bahkan, selain daripada manusia hanyalah kewujudan yang kewujudan yang palsu. (hal. 42)

3. Mereka tidak menjelaskan maksud “wujud” tetapi mereka cuba mengecilkan ruang lingkup perbahasan tentang “wujud”. (hal. 43)

Existentialisme Dan Kaedah Epistemologi Kewujudan

Bagaimanakah mereka mengetahui tentang hakikat kewujudan? Mereka tidak menggunakan kaedah akal atau rasional, kerana mereka menganggap bahawa kedua-dua ini bertentangan dengan hakikat. Maka, mereka mengatakan bahawa hakikat itu adalah perkara yang berbeza dengan epistemologi. (hal. 45)

Mereka juga berpegang bahawa pemikiran dan “wujud” adalah sesuatu yang bertembung. Bahkan Kierkegaard (1813-1855) mengatakan bahawa keimanan dan keyakinan adalah satu perkara yang tidak masuk akal. (hal. 45)

Mereka berpegang bahawa untuk mengenali hakikat diri sendiri, perlulah merasa puas dengan diri sendiri, dan cuba mengenali diri sendiri. Iaitu dengan mendalami diri sendiri dan memfokuskan pemikiran. Maka, mengatakan bahawa dengan cara ini, boleh mengenal tentang kewujudan diri sendiri. (hal. 46)

Mereka menambah lagi, hubungan dengan tuhan Jesus adalah cara yang paling baik untuk mengenal hakikat diri sendiri. Ia membolehkan seseorang itu bergabung dengan tuhan Jesus, dan menganggap ketuhanannya adalah segala-galanya. Maka sebab tulah mereka merasa bebas dengan kehidupan dan cuba memahkotakan kebebasan itu. (hal. 47 dan 48)

Zat Dan Hubungan Antara Wujud dan Jiwa

Mereka mendakwa bahawa zat manusia itu bersifat wujud dan kewujudannya bercampur dengan kewujudan-kewujudan yang lain. Iaitu, zat manusia yang dikatakan sebagai kewujudan yang hakiki, memerlukan kepada makhluk-makhluk lain. (hal. 49)

Atau dengan kata lain, mereka mengatakan bahawa kewujudan manusia telah bertukar daripada kewujudan mungkin, kepada kewujudan yang objektivisme. Bahkan perkara ini adalah satu kemestian mengikut pandangan mereka. (hal. 50)

Berdasarkan hubungan di antara kewujudan dan jiwa, mereka mengatakan bahawa semua kewujudan adalah palsu dan tiada, melainkan kewujudan manusia yang hakiki. Maka, apabila mereka ditanya tentang adakah hubungan kewujudan dengan jiwa itu kekal? (hal. 51)

Mereka akan menjawab bahawa tiada sebarang akal, tiada sebarang aliran pemikiran, tiada sebarang pembuktian, tiada sebarang falsafah dan teori-teorinya, tiada sebarang uruf atau taqlid, tiada sebarang agama atau pegangan, tiada sebarang masyarakat atau peraturan, tiada sebarang kekuasaan dan sebagainya. (hal. 51)

Kierkegaard (1813-1855) juga berpegang bahawa perasaan itu adalah nilai segala-galanya. Antara cara untuk meninggikan sensitiviti perasaan, perlulah kepada rasa putus asa, menyesal, keraguan dan sebagainya. (hal. 52)


Bab 4 : Kesilapan Teori Kewujudan

Kesilapan yang besar di dalam teori kewujudan, khususnya apa yang dipegang oleh Kierkegaard (1813-1855) akan diperbincangkan di dalam tajuk ini. Antaranya mereka meletakkan bahawa kewujudan diri manusia yang hakiki itu sangat berhubung dengan kewujudan tuhan Jesus yang menjadi pegangan golongan Kristian.

Maka, mereka meletakkan diri mereka untuk bergabung dengan diri Jesus, dan mengakui ketuhanannya. Maka, ia jelas bertentangan dengan Akidah Islam, dan ia juga bertentangan dengan akal yang waras kerana teori trinity yang menjadi tunggak agama Kristian sendiri bercanggah dengan akal. (hal. 53)

Antaranya apa yang telah dijelaskan di dalam al Quran tentang kesilapan Nabi Adam AS yang telah ditipu oleh Syaitan Laknatullah. Nabi Adam AS telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya tidak memakan Buah Khuldi. Dan ini jelas menunjukkan bahawa kehendak manusia itu terbatas, dan tidak bebas daripada melakukan kesilapan. (hal. 54)

Apatah lagi apabila mereka meletakkan Nabi Isa AS sebagai tuhan sedangkan beliau adalah seorang manusia biasa yang mengikut perintah Tuhannya, Allah. Maka, kebebasan dan kehendak seseorang manusia itu adalah terbatas. Bahkan manusia disuruh untuk jauh daripada helah dan tipu daya syaitan. (hal. 56)

Ini kerana penipuan yang dilakukan oleh syaitan menunjukkan bahawa manusia pastinya melakukan kesilapan dan kesalahan. Juga menerangkan bahawa manusia tidak boleh bebas dan berkehendak sewenang-wenangnya. (hal. 55)

Kewujudan Yang Palsu

Dua perkara yang perlu diketahui tentang kewujudan yang palsu ini, iaitu :

1. Mereka beranggapan bahawa manusia ini wujud secara objek, dan individual. Bahkan berpegang bahawa manusia ini wujud secara hakiki (sebenar). (hal. 63)

2. Kewujudan manusia yang hakiki ini bercampur dengan kewujudan-kewujudan yang lain

3. Kewujudan manusia di dunia, adalah semata-mata kebebasan. Iaitu tiada sebarang ikatan atau halangan untuk melakukan sesuatu.

Antara ciri-ciri kewujudan yang palsu ialah bercakap, meleter, bergaul, bercampur, ketakutan, kerisauan dan sebagainya. Ciri-ciri ini disebut secara ringkas untuk menterjemahkan bahawa kehidupan yang seperti ini merupakan ciri-ciri kehidupan yang palsu. Dan hakikatnya mereka cuba memperlihatkan bahawa kewujudan ini semuanya paslu. (hal. 68)

Manakala hakiki itu adalah kewujudan diri sendiri, yang bebas, individualistik dan sebagainya. Manakala ketakutan, adalah satu perasaan yang muncul untuk menyekat manusia daripada menghampiri sesuatu, dan kerisauan itu tiada lain, melainkan kewujudan yang semata-mata wujud. (hal. 69)

Mereka berkata lagi bahawa kerisauan itu adalah punca bagi semua perasaan, tindakan dan pengharapan di dalam diri manusia. Akan tetapi kerisauan ini boleh menyebabkan seseorang itu meragui kewujudan dirinya yang hakikat. Kerana kerisauan menyebabkan seseorang itu mempertikaikan kebebasan pada dirinya. (hal. 70)

Ulasan Tentang Existentialisme (hal. 71-97)

Pemikiran ini telah banyak menimbulkan kekeliruan. Antara kekeliruan yang jelas ialah, mereka menolak semua kewujudan alam, samada alam fizik, atau Ketuhanan, dan sebagainya. Alam roh juga tidak wujud. Alam semulajadi juga tidak wujud, bahkan mereka mengatakan bahawa kewujudan yang sebenar itu adalah kewujudan individu itu sendiri dengan alamnya yang tersendiri.

Maka, disebabkan inilah mereka mengatakan bahawa mereka bebas untuk melakukan sesuatu. Setiap seorang akan wujud dengan dunia yang dikehendaki oleh dirinya sendiri, dan bebas untuk memilih jalan baik atau sebaliknya.

Selain itu, di sana terdapat kesilapan-kesilapan yang bercanggah dengan teori kemasyarakatan yang meletakkan bahawa manusia hidup perlu kepada kebersamaan. Dan teori ini bercanggah dengan manhaj Islam dalam berfikir. Ini kerana Islam telah memperincikan kewujudan alam ini, dan tidak menolak kewujudan dunia.

Islam juga berpegang dengan kewujudan Allah yang tidak boleh bergabung dengan manusia sepertimana yang didakwa oleh golongan Existentialisme. Islam juga mengatakan bahawa kewujudan manusia adalah kewujudan yang bersifat “mungkin”, bukanlah kewujudan yang hakiki.

Maka, kewujudan yang mungkin memerlukan kepada kuasa untuk mewujudkannya, dan mustahil manusia itu mewujudkan dirinya sendiri sepertimana yang didakwa oleh golongan Existentialisme. Maka, manusia tertakluk dengan sifat kemanusiaan, dan lemah. Oleh itu memerlukan kepada satu sistem yang disusun oleh Allah untuk membezakan di antara baik dan buruk.

Islam juga meletakkan bahawa akal itulah yang membezakan manusia dan binatang. Tidak sepertimana yang didakwa oleh Existentialisme bahawa tiada sebarang istilah akal, teori atau falsafah. Ini kerana kesemua ini adalah unsur-unsur yang menyebabkan manusia tidak bebas. Begitu juga mereka mendakwa bahawa perasaan sensitiviti itu perlu wujud. Tetapi sensitiviti ini menjadi kurang disebabkan perasaan takut dan risau.

Manakala Islam pula, mengajar manusia supaya bersikap berani dan takut kerana Allah. Takut daripada melanggar perintah-perintahnya, takut dengan azabNya dan sebagainya. Maka, jelas di sini beberapa pertentangan di antara Teori Existentialisme yang bersifat Kristianisme dan Islam yang bersifat tulen.

bersambung

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

16 June 2010

Ringkasan Teori Moden, Tahun 4 Akidah Falsafah (Siri 1)


Dua orang pendokong pemikiran Existentialisme


Teori-teori Kontemporari (Existentialisme Dan Marxisme)

Ringkasan ini dibuat berdasarkan buku Tayyarat Mu’asirah, al Wujudiah Wal Markasiah Fi Dhou’il Haqaiqil Islamiah, karangan Dr Hassan Mahram al Juwaini. Kitab ini mengandungi dua bahagian utama, iaitu Teori Existentialisme (wujudiah) dan Teori Marxisme (Markasiah).


BAHAGIAN PERTAMA : TEORI EXISTENTIALISME

Bab 1 : Pengenalan
Bab 2 : Subjektivisme Dan Ciri-ciri
Bab 3 : Wujud dan Teori Kewujudan
Bab 4 : Kesilapan Teori Kewujudan


Bab 1 : Pengenalan

Teori Existentialisme (teori kewujudan/wujudiah) ialah :

1. Teori yang mengkaji tentang diri manusia secara objek, ataupun menghuraikan tentang kewujudan manusia dan meletakkan manusia sebagai titik permulaan, bukanlah menjadikan manusia itu sebagai matlamat. (hal. 12)

Selain itu, ia juga merupakan gabungan eksperimen dan kajian tentang diri manusia dan kehidupannya. Ia bermula dengan Allah, kemudian wujudnya alam, masyarakat, undang-undang fizik dan kehidupan. (hal. 12)

Pandangan ini agak jernih, dan ia adalah takrif yang dibentangkan oleh ahli Falsafah Kuno seperti Socrates, juga merupakan takrifan secara umum oleh Falsafah Greek. (hal. 13)

2. Teori yang mengatakan bahawa setiap kewujudan ini bersifat kosong, tanpa fizik dan tanpa hakikat, bahkan kedua-duanya adalah “tampalan” bagi kewujudan tadi. Maka, kewujudan pada diri merealisasikan kebebasan individu. (hal. 16)

Pandangan ini berdasarkan huraian Golongan Pengkritik (Criticisme) dan ahli sejarawan. Antaranya Jean Paul Sartre (1905-1980) yang mengatakan bahawa kewujudan itu lebih awal wujudnya daripada hakikat kewujudannya. (hal. 16 dan 17)

Pandangan ini ditolak kerana ia tidak masuk akal. Iaitu mustahil kita mengatakan kewujudan sesuatu itu tanpa sebarang hakikat (mahiyah), ini kerana wujudnya sesuatu itu berdasarkan hakikatnya. (hal. 23)

3. Takrif yang ketiga bagi Teori Existentialisme adalah hampir sama dengan takrif yang kedua. Ia adalah hasil cetusan daripada pandangan Jean Paul Sartre (1905-1980) secara umum. Iaitu mengatakan bahawa teori ini menjadikan kehidupan itu sebagai satu perkara yang mustahil. (hal. 25)

Iaitu apabila mereka mengatakan bahawa kewujudan itu wujud terlebih dahulu sebelum hakikatnya, maka ia akan menyebabkan terhasil pemikiran songsang, yang bercanggah dengan akal. Hasil daripada teori ini, menyebabkan kehidupan itu sebagai satu perkara yang mustahil. (hal. 24)

4. Takrif yang keempat bagi teori ini ialah, gabungan daripada beberapa aliran pemikiran yang mengkaji tentang unsur wujud pada manusia secara objek dan sifat, dan menatijahkan bahawa kebebasan manusia adalah bersifat mutlak (hal. 26)

Takrif ini adalah takrif yang paling lengkap, dan sesuai untuk menyatakan tentang teori ini. Secara umumnya, takrif ini menjelaskan tentang dua era aliran dalam pemikiran Existentialisme, iaitu (hal. 24) :

a) Era Existentialisme Moden, yang didokongi oleh Jean Paul Sartre (1905-1980)

b) Era Existentialisme Kristian, yang didokongi oleh Gabriel Marcel (1889-1973) sepertimana yang telah diketahui.


Bab 2 : Subjektivisme Dan Ciri-ciri

Bab kedua akan menjelaskan tentang subjektivisme (zatiah) secara pengenalan sebelum kita meneliti tentang pemikiran Existentialisme yang sangat berkait dengan perbahasan ini.

Pengenalan

Asas pertama yang perlu diketahui ialah Existentialisme berpegang bahawa kewujudan itu wujud sebelum hakikatnya. Maka, ketika itu, ia akan memilih hakikat (mahiah) yang disukainya, kemudian ia akan mewujudkan dirinya sendiri berdasarkan hakikat tersebut. Tak masuk akal. (hal 29)

Maka, daripada pegangan ini, ia akan membahagikan kepada dua :

1. Zat satu-satu individu itu akan memilih zatnya, berdasarkan zatnya. Tak masuk akal bukan?

2. Mereka bersepakat dalam mengatakan bahawa manusia tidak mampu untuk melebihi daripada zat kemanusiaannya.

Kehendak

Mereka mendakwa bahawa sesuatu zat itu mempunyai kehendak, iaitu berkehendak untuk memilih hakikat (mahiyah) yang disukai olehnya. Dan ia bukanlah dengan berfikir sepertimana yang dikatakan oleh Descartes,

“Aku berfikir, jadi aku ini wujud”

Manakala Kierkegaard (1813-1855) mengatakan bahawa, “aku berfikir, maka aku ini tidak wujud”.

Atau dengan kata lain kehendak itu ada pada zat, sebelum kewujudannya. Ini kerana, beliau meletakkan sesuatu zat itu mempunyai kehendak, sebelum ia wujud. Hakikatnya perkara ini sememangnya tak masuk akal, kerana tidak mungkin sesuatu itu berkehendak sedangkan ia tidak wujud! (hal. 31)

Kebebasan

Selain itu, mereka mendakwa kebebasan yang total bagi seseorang individu. Ia berkaitan dengan istilah kehendak, yang digunakan sebelum ini. Seseorang itu bebas berkehendak, maka dia adalah bebas secara total. (hal. 32)

Atau dengan kata lain, kebebasan itu adalah asas bagi kehendak. Maka, zat itu bebas memilih hakikat (mahiah) yang sesuai untuk dirinya. Sifat-sifat pada dirinya juga dipilih oleh zat tersebut sebelum kewujudan dirinya. (hal. 33)

Maka, sensitiviti terhadap perasaan adalah sensitiviti terhadap kebebasan. Maka, kedua-dua unsur ini (kebebasan dan kehendak) adalah dua unsur yang terdapat pada zat sebelum kewujudan hakikatnya, dan ia saling membentuk untuk menghasilkan hakikat tersebut. (hal. 33)

Kesimpulannya, mereka berpegang bahawa diri seseorang itu dicipta oleh dirinya sendiri, dan bukan hasil ciptaan Allah SWT. Bahkan manusia bebas untuk hidup, dan ia tidak berkaitan dengan kewujudan Allah. Atau dengan kata lain, mereka menafikan kewujudan Allah.

Sekarang Dan Masa

“sekarang” mengikut pandangan Existentialisme ialah kemestian (dhoruri) bahawa kewujudan itu pastinya wujud ketika ini, dan tiada sebarang hubungkait dengan kemungkinan. Atau dengan kata lain, mereka meletakkan kewujudan “sekarang” adalah mesti dan tiada sebarang kaitan dengan istilah “mungkin” yang merujuk kepada “akan datang”. (hal. 38)

Manakala “masa” pula, Existentialisme mengatakan bahawa “masa” adalah “jauhar” (objek) bagi “sekarang”. Dan kewujudan yang sebenar secara realiti adalah sumber masa tersebut. Atau dengan kata lain, kewujudan yang sebenar, wujud secara realiti dan tertakluk kepada masa. (hal. 38)

Perubahan masa menyebabkan perubahan kepada kewujudan sebenar itu. Hasilnya kita dapat mengetahui bahawa “masa” mengikut perspektif Existentialisme tidak berbeza dengan falsafah-falsafah yang lain, cuma golongan ini menguatkan bahawa “masa” adalah satu objek, mempunyai ciri-ciri fizik, bahkan merupakan syarat untuk menterjemahkan erti kewujudan. (hal. 39)

bersambung

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

14 June 2010

Ringkasan Nusus Falsafiah Tahun 4, Akidah Falsafah (Akhir)


Alhamdulillah, habis juga ringkasan ini. Semoga bermanfaat.

BAHAGIAN KEDUA
3 NAS FALSAFAH YANG TERPILIH

Bahagian kedua ini, kita akan mengkaji dan melihat 3 nas yang dipilih di dalam kajian nas falsafah. Iaitu al Kindi, al Farabi dan Ibnu Sina. Matan nas tersebut boleh rujuk di dalam kitab yang saya nyatakan pada ruang pendahuluan, dan apa yang ditulis di sini adalah pembelajaran kepada nas-nas ini.

Bab Pertama
Nas Falsafah al Kindi

“pembuat yang sebenar ialah yang pertama, manakala pembuat yang kurang, iaitu pembuat yang dikatakan sebagai majaz”

Pengenalan

Nama sebenar al Kindi ialah Abu Yusuf, Ya’qub bin Ishaq al Kindi. Lahir di Kufah sekitar 803 Masihi. Daripada kabilah Kandah, yang berasal daripada Arab. Beliau banyak mempelajari ilmu di Basrah, kemudian ke Baghdad.

Ketika ini, beliau sibuk menterjemahkan kitab Yunani ke dalam Bahasa Arab, dan beliau berkhidmat di Istana Khalifah Baghdad sebagai ahli falak dan doktor. Tetapi beliau mengakhiri hayatnya di luar istana. Beliau antara yang menolak ke”qadim”an alam, dan berkata tentang keadilan dan ketauhidan Allah, sepertimana yang dikatakan oleh Muktazilah.

Huraian

Perkara pertama yang perlu kita ketahui ialah, beliau adalah berasal dari bangsa Arab, dan terkesan (bukan bermaksud terpengaruh) dengan pembelajaran Muktazilah. Dan beliau hidup di dua negara, Basrah dan Baghdad, yang merupakan tempat perkembangan pemikiran Muktazilah.

Di dalam nas ini, beliau membezakan secara jelas di antara dua jenis pembuat, dan dua jenis perbuatan. Iaitu antara pembuat yang sebenar, dan pembuat yang tidak sebenar. Dan perbuatan pembuat yang sebenar, dan perbuatan pembuat yang tidak sebenar. Iaitu perbezaan di antara Allah dan selain dariNya.

Daripada nas beliau, menyatakan bahawa “pembuat yang sebenar ialah yang pertama, manakala pembuat yang kurang, iaitu pembuat yang dikatakan sebagai majaz”

Iaitu pembuat yang sebenar, yang mencetuskan ciptaan ialah Allah SWT, Tuhan yang sempurna dan tiada sebarang kekurangan dalam penciptaannya. Manakala pembuat yang kedua, yang terdapat kekurangan dan kelemahan, juga dikatakan sebagai pembuat, tetapi pembuat secara majaz. Atau dengan kata lain, pembuat yang sebenar ialah Allah SWT.

Nas ini jelas menunjukkan bahawa al Kindi begitu berpegang dengan baharunya alam, dan menolak fahaman yang mengatakan alam itu qadim. Bahkan, nas ini juga menampakkan hubungan yang terlalu rapat di antara al Kindi dan Penciptanya, iaitu Allah SWT.

Manakala pembahagiannya dari sudut perbuatan pula, jelas menunjukkan bahawa terdapat dua jenis perbuatan, iaitu perbuatan Allah sebagai Pencipta, dan perbuatan hamba. Perbuatan hamba bersandar adalah majaz, dan perbuatan yang sebenar ialah Allah SWT. Manusia melakukan apa yang dikehendaki, dan Allah lah yang membolehkan perbuatan tersebut terlaksana.

Bab Kedua
Nas Falsafah al Farabi

“Sesuatu yang wujud itu, samada wajib wujud, atau mungkin wujud”

Nas ini menjelaskan bahawa di sana terdapat dua jenis kewujudan sahaja, iaitu wajib wujud, atau mungkin wujud. Tiada yang ketiga. Manakala mustahil wujud bukanlah satu kewujudan. Maka pembahagian seperti berikut :

Pertama

Kewujudan yang bersifat mungkin. Iaitu kewujudannya sama di antara wujud dan tidak wujud. Maka, sesuatu yang mungkin wujud, boleh jadi wujud, dan boleh jadi tak wujud.

Pengarang Mu’jam Falsafi berkata bahawa “mungkin” itu terdapat dua makna, iaitu :

1. Menafikan kemestian (dhoruri). Iaitu menafikan kemestian wujud. Mungkin wujud ialah “tidak mesti wujud”.

2. Wujud dengan kekuatan, iaitu bukan wujud serta merta, tetapi terdapat unsur lain yang wujud terlebih dahulu sebelum itu.

Kedua

Kewujudan yang bersifat wajib. Iaitu wajib wujud. Atau dengan kata lain, akal tidak boleh menerima ketiadaannya. Berbeza dengan “mungkin” yang boleh jadi ada, boleh jadi tiada.

Al Farabi mengatakan bahawa wajib wujud terbahagi kepada dua, iaitu :

1. Wajib Wujud dengan zatNya, iaitu Allah

2. Wajib Wujud bukan dengan zatNya, contohnya seperti nombor 4, yang wujud hasil kiraan 2 tambah 2.

Maka, “mungkin” menurut pandangannya ialah sesuatu yang berubah dari satu bentuk ke bentuk yang lain. Maka :

1. Ia adalah umum, kerana ia boleh berubah bentuk dan berubah gambaran.

2. Kewujudannya bersifat minda semata-mata. Tidak diketahui bentuknya yang sebenar. Melainkan Kuasa yang membentuknya, iaitu Allah

3. Ia adalah jauhar, iaitu kewujudannya secara tersendiri.

4. Ia adalah praktikal kepada akal dan mantik, bukan praktikal yang realiti

Bab Ketiga
Nas Falsafah Ibnu Bajah

“Banyaknya ilmu, adalah ilmu keTuhanan”

Sebelum ini, al Farabi telah membentangkan hubungan di antara Allah dan alam dari aspek “mewujudkan” dan “mencipta”. Manakala Ibnu Bajah pula membentangkan hubungan di antara kedua-duanya dari aspek ilmu.

Ia terbahagi kepada dua penjelasan, iaitu :

1. Akal manusia yang dangkal dalam menghitung ilmu yang banyak dan bercabang

2. Jirim yang bersifat tinggi, yang sukar untuk dicapai oleh akal.

Maka, untuk menjelaskan nas ini, perlulah menggunakan dua jalan, iaitu :

1. Kaedah huraian, yang telah dijelaskan sebelum ini.

2. Kaedah keobjektifan (objectivity), iaitu dengan menggabungkan beberapa nas walaupun ia berpisah di antara satu sama lain.

Daripada nas yang telah dijelaskan oleh Ibnu Bajah, di sana terdapatnya akal manusia dan akal Tuhan. Maka, seseorang itu mampu untuk mencapai akal Tuhan (ilmu yang banyak), dengan cara membersihkan jiwa dan pemikiran. Maka, ia bukanlah bermakna setanding dengan ilmu Allah, tetapi mampu mendekatkan jiwa dengan Allah SWT.

Kita boleh juga kaitkan dengan ilham, yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang terpilih. Daripada nas ini menjelaskan kepada kita tentang peranan tasawwuf dengan lebih dekat, dan jelas. Iaitu mereka yang menyucikan diri untuk “sampai” kepada Allah. (Sampai di sini bukan bermaksud ittihad, tetapi merasa kebersamaan dengan Allah)

Tamat

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

Ringkasan Nusus Falsafiah Tahun 4, Akidah Falsafah (Siri 3)


Oh ya.. terlupa nak pesan.. Untuk ringkasan ini, anda perlu rujuk kepada kitab asal.. Jangan terus balun ringkasan je.. ok. Peperiksaan tak lama lagi.

Bab Keenam
Mendalami Terlebih Dahulu Sebelum Menghukumkan Kafir

Antara faktor yang menyebabkan perbezaan dalam memahami nas falsafah ialah perbezaan beberapa ahli Falsafah dalam menghukumkan seseorang itu sebagai kafir, atau fasiq. Kita tidak boleh menghukumkan kafir kepada al Farabi dan Ibnu Sina berdasarkan pandangan mereka yang mengatakan ke”qadim”an alam.

Secara umumnya, mereka berdua banyak menyumbangkan idea yang besar dalam memahami Islam, dan kepakaran mereka dalam bidang agama. Maka, kita perlu bersangka baik, dan melihat bahawa berkemungkinan maksud yang ingin mereka sampaikan adalah berbeza dengan zahir ayat.

Sebab itulah Imam Ghazali menulis kitab Tahafut al Falasifah, yang menyebabkan tohmahan pihak luar terhadap beliau. Hasilnya, kita perlu melihat bahawa di dalam kitab tersebut, terdapat banyak bentuk penggunaan ilmu Nusus Falsafiah (nas falsafah). Akibat perbezaan dalam memahami nas falsafah, maka terdapatlah perbezaan dalam menghukumkan tentang seseorang.

Bab Ketujuh
Penelititan Secara Pesong Sebelum Menghukum

Ia bermaksud, melihat sesuatu nas tersebut dari sudut ia “terpesong”. Iaitu, apabila seseorang itu iqna’ dengan pandangan seseorang sebelum menterjemahkan nas falsafahnya, maka ia akan menyebabkan penterjemahan itu terkesan dengan penulis nas tersebut. Bahkan ia akan terkesan dengan pemikiran si penulis nas tersebut.

Maka, Islam sudah melarang taqlid awal-awal lagi. Ini kerana berfikiran pesong dalam menterjemah nas, bukanlah bermaksud mencari kesalahan walaupun sekecil kuman. Sebaliknya cuba menganggap bahawa nas tersebut perlu diragui kesahihannya. Bertujuan untuk mengelakkan taqlid dengan penulis nas tersebut.

Bahkan Imam al Ghazali juga bersetuju dengan menggunakan kaedah “meragukan” untuk mendapat kebenaran sesuatu. Manhaj ini juga digunakan oleh Descartes, dengan pembahagian-pembahagian berikut :

1. Kaedah yakin, iaitu tidak meyakini sesuatu yang tidak dapat dipastikan dengan keyakinan.

2. Kaedah huraian, iaitu memecah-mecahkan perbahasan kepada sub-sub yang kecil, kemudian menggunakan hujah pada setiap sub tersebut.

3. Kaedah gabungan, iaitu menggabungkan beberapa kefahaman yang terpisah, untuk membentuk satu kesimpulan

4. Kaedah induksi secara sempurna (istiqra’ tam)

Bab Kelapan
Perbezaan Di Antara Ta’wil Dan Ingkar

Antara faktor yang menyebabkan perbezaan di dalam memahami nas falsafah ialah terdapatnya perbezaan di antara ta’wil dan ingkar. Perkara asas yang perlu kita ketahui ahli Falsafah berpendirian menta’wil ayat al Quran dan Hadis Nabi SAW, bukannya mengingkari. Maka, tidak boleh dihukumkan kafir kepada mereka.

Sekiranya mereka mengingkari nas al Quran, maka ia terang-terangan menyebabkan kafir. Tetapi mereka mengambil pendekatan menta’wil dengan nas-nas yang shahih. Ta’wil adalah cara untuk memudahkan kefahaman bagi beberapa ayat al Quran yang sukar difahami, dan ia bukan sewenang-wenangnya, bahkan berkaedah dan bermanhaj.

Ta’wil juga merupakan satu cara meletakkan sesuatu perkataan, bukan pada maksudnya yang zahir. Ahli Falsafah hanya menta’wil dari sudut perkataan dan akal, langsung tidak bertembung dengan syariat. Maka, jelas di sini kita tidak boleh menghukumkan kafir kepada mereka dengan begitu mudah.

Manakala “ingkar” pula, iaitu mengingkari nas al Quran secara jelas, maka tiada keraguan lagi bagi seorang muslim, untuk menghukumkan kepada mereka yang mengingkari ini, sebagai kafir. Maka, menta’wil nas adalah untuk memelihara pengekalannya, manakala ingkar pula menghapuskan nas terus.

Bab Kesembilan
Melihat Susunan Zaman Penulisan Nas Tersebut

Antara faktor yang menyebabkan perbezaan dalam memahami nas, ialah ketelitian dalam melihat zaman penulisan sesuatu nas. Kadangkala, ada yang tidak meraikannya, lalu menghukumkan sebagai “tidak betul” dan sebagainya. Contohnya penulisan Imam Ghazali, Tahafut al Falasifah. Ia perlu dibaca berdasarkan kewujudan falsafah pada zaman Imam Ghazali.

Contoh yang lain, penulisan Imam Abu Hassan al Asy’ariy “ketika beliau beraliran muktazilah”. Terdapat percanggahan terhadap beliau apabila menganggap beliau itu adalah Muktazilah, sedangkan beliau telah keluar kemudiannya daripada Muktazilah membentuk pegangan al Asya’irah. Maka, tida boleh kita menghukumkan beliau sebagai Muktazilah berdasarkan penulisannya ketika berfahaman tersebut.

Kesimpulannya, apabila kita ingin menilai sesuatu penulisan, sila perhatikan zaman penulisan tersebut dibuat. Ia adalah bagi mengelakkan sangka buruk terhadap ahli falsafah.

Bab Kesepuluh
Pembelajaran Nas Secara Terperinci

Antara faktor yang menyebabkan perbezaan dalam memahami nas ialah berkaitan dengan pembelajaran nas tersebut. Nas Falsafah perlu dipelajari dan dikaji dengan teliti sebelum ia dihukumkan sebagai benar atau tidak. Bahkan pembelajaran tentang nas falsafah juga berkaedah dan bermanhaj.

Contoh yang terjadi, ulama usul tidak bersepakat dalam menggunakan kaedah “menduga dan membahagi” (kaedah Imam Ghazali), dalam menentukan sebab kewujudan, atau punca kewujudan.

1. Golongan pertama menganggap bahawa ia adalah dalil untuk menentukan sebab kewujudan.

2. Golongan kedua (majoriti) menganggap bahawa ia adalah syarat untuk dijadikan dalil dalam menentukan sebab kewujudan. Ia adalah syarat, dan bukannya dalil.

Maka, apa yang dimaksudkan dengan akal yang bersifat menghurai, ialah akal yang berbeza dengan akal yang bersifat merangkum atau mencantum. Kaedah “menduga dan membahagi” boleh dikatakan akal yang menghurai.

Maka, akal yang menghurai memerlukan kepada kemampuan untuk mengetahui setiap cabang huraiannya. Ada yang mengatakan :

Akal yang bersifat ilmiah adalah akal yang menghurai, manakala akal yang berfalsafah adalah akal yang merangkum atau mencantum

Walhal, kalam ini bercanggah dengan falsafah yang sebenar. Ini kerana falsafah adalah mengkaji tentang hakikat sesuatu. Maka tidak sesuai untuk kita mengatakannya sebagai akal yang merangkum kerana ia memerlukan kepada huraian, eksperimen, teori dan sebagainya.

Huraian terbahagi kepada :

1. Huraian yang bersifat material

2. Huraian yang bersifat gambaran

3. Huraian yang bersifat rasional

4. Huraian yang bersifat pembuktian

5. Huraian yang bersifat aliran pemikiran

Sejak kebelakangan ini, ulama ilmu kalam menggunakan konsep huraian dalam menentukan kewujudan Allah, antaranya :

Alam itu berubah, setiap yang berubah itu pastinya baru, maka alam itu baru

Ia adalah salah satu konsep huraian.

bersambung

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

Ringkasan Nusus Falsafiah Tahun 4, Akidah Falsafah (Siri 2)

Untuk subjek Nusus Falsafiah, kita bertemakan "keindahan alam".. Sebelum ni, Falsafah Baru bertemakan "adik comel"..


Bab Ketiga
Ahli Falsafah Tidak Memutuskan Pandangannya Terhadap Epistemologi

Faktor yang ketiga, yang menyebabkan perbezaan dalam memahami nas falsafah ialah disebabkan ahli Falsafah tersebut, tidak memutuskan pandangannya dalam persoalan epistemologi (makrifah).

Maka, ia akan menyebabkan persoalan timbul, adakah ahli Falsafah tersebut beraliran pemikiran Realisme? Atau Rasionalisme? Adakah dia mengiktiraf pemikiran Rasionalisme sahaja? Ataupun menggabungkannya dengan wahyu?

Di dalam persoalan ini, ramai ahli Falsafah yang melihat kepada al Kindi yang merupakan ahli Falsafah pencetus (disebutkan di dalam Bab Pertama). Secara umumnya, beliau adalah ahli Falsafah Islam dari sudut pemikiran, dari sudut pegangan, beliau berpegang dengan akidah Islam, dan dari sudut asal usul, beliau adalah berbangsa Arab.

Di dalam tajuk ini, kita akan membincangkan “sumber epistemologi” mengikut pandangannya. Secara jelasnya, beliau mengatakan bahawa sumber epistemologi diperolehi daripada “akal” dan “deria”. Dalam masa yang sama, beliau juga mengatakan sumbernya ialah hati, yang berkaitan dengan pegangan dan keimanan.

Beliau menyatakan bahawa apa yang dicapai oleh deria, ia adalah jirim. Dan jirim itu pastinya digambarkan dengan panjang X tinggi X lebar. Atau tiga dimensi. Dan apa yang boleh dicapai oleh deria, pastinya ia adalah material (huyuli) atau jirim selama-lamanya.

Maka, saluran untuk kita mengetahui alam luar (khariji) hanyalah melalui deria, pada peringkat pertama. Samada untuk mengetahui hakikat sesuatu, atau mengetahui gambarannya, kita memerlukan kepada deria terlebih dahulu.

Demikianlah pandangan al Kindi dalam menilai sumber epistemologi. Cuma, dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan keperluan akal sebagai sumber epistemologi. Kerana akal itu akan menyatukan hasil-hasil perolehan daripada deria. Kesimpulannya, beliau meletakkan gabungan di antara akal dan deria sebagai sumber epistemologi.

Manakala pada pandangan al Farabi pula, mengatakan bahawa sumber epistemologi adalah 5 deria sebagai asas permulaan. Daripada asas ini, kita dapat mengatakan kewujudan objek luar (khariji), dan deria akan “menangkap” gambar bagi objek tersebut, atau dengan kata lain, deria akan dapat menghasilkan “luaran” sahaja.

Maka, mengikut pandangan beliau juga, beliau mengatakan bahawa deria itu mampu membuatkan kewujudan yang berada di luar minda itu sebagai wujud dengan objeknya (ain). Ini menunjukkan bahawa beliau cuba mengasingkan di antara sistem tabiat (fizik).

Hasilnya, kita dapat simpulkan bahawa al Kindi dan al Farabi mengakui fungsi penting deria sebagai sumber epistemologi. Cuma perbezaan dari sudut fungsi akal. Al Kindi mengatakan bahawa akal dan deria, kedua-duanya adalah sumber epistemologi. Manakala al Farabi mengatakan bahawa deria adalah sumber pertama epistemologi.

Kesimpulan daripada pandangan al Farabi ialah :

1. Membersihkan akal daripada kesilapan dalam menentukan satu-satu epistemologi. Maka, hukum terhadap sesuatu akan menyebabkan kefahaman tentang hakikatnya berubah, disebabkan kekurangan dalam kajian.

2. Menekankan terhadap zahirnya sebab.

3. Beliau lebih cenderung mengkaji perkara yang bersifat zahir. Iaitu, tujuan mengkaji sistem adalah untuk menghukum terhadap sesuatu yang zahir. Bukanlah mengkaji tentang hakikat.

4. Penilaian bagi kefahaman epistemologi yang akan datang. Atau dengan kata lain, menduga, atau melihat pada sesuatu yang akan berlaku.

5. Penilaian terhadap “halangan”, iaitu melalui deria, pastinya ada sesuatu yang tidak dapat di ketahui sepenuhnya, atau dikatakan sebagai kemungkinan (ihtimal).

6. Beliau menjelaskan lagi bahawa, sesuatu yang tidak dapat didedahkan hakikatnya ketika ini, berkemungkinan ia dapat diketahui setelah menggunakan beberapa uslub penghasilan kaji selidik (istiqra’)

Kita juga boleh simpulkan tentang akal, yang menjadi perbezaan di antara al Kindi dan al Farabi dalam menyatakannya sebagai sumber epistemologi, iaitu :

1. Akal dengan kekuatan

2. Akal dengan perbuatan

3. Akal yang terkesan dengan akal berkesan

Hasil daripada ketiga-tiga ini :

Berdasarkan falsafah al Farabi, beliau mengatakan bahawa di dalam diri manusia terdapat akal dengan kekuatan, iaitu yang mengaplikasikannya kepada perbuatan melalui perataraan epistemologi yang diperolehi daripada pengetahuan tentang sesuatu. Maka, ia akan menghubungkan kepada epistemologi non-material yang melangkaui deria.

Bab Keempat
Pemahaman Istilah Yang Berbeza Di Kalangan Ahli Falsafah

Antara faktor yang menyebabkan perbezaan dalam memahami nas falsafah, ialah perbezaan pemahaman istilah-istilah di kalangan ahli falsafah sendiri. Contohnya al Farabi menggunakan lafaz yang sama, untuk menyatakan maksud yang berbeza.

Seperti perkataan “roh”, kadangkala ia bermaksud “akal yang perlu dikaji” iaitu merujuk kepada “kekuatan”. Dalam masa yang sama, di petikan lain, beliau mengatakan bahawa roh itu bermaksud nyawa yang apabila ditarik, maka hilanglah nyawa seseorang. Maksud perkataan tersebut berbeza walaupun perkataannya sama.

Maka, untuk memahami nas-nas al Farabi, perlulah melihat kepada kesesuaian maksud berdasarkan petikan ayat.

Contoh yang lain, perkataan “wajib wujud”. Kebiasaan ulama mutakallimin mengatakan bahawa Wajib Wujud itu adalah Allah. Manakala al Farabi pula mengatakan bahawa wajib wujud itu adalah “akal pertama”.

Beliau membezakan di antara “wajib wujud bi zatih” dan “wajib wujud bi ghairih”. Iaitu wajib wujud dengan zatnya, dan wajib wujud dengan selain darinya. Maka, kadangkala di dalam petikan beliau, menyatakan bahawa “akal pertama itu adalah wajib wujud”, maka kita jangan terkeliru dengan “wajib wujud” yang bermaksud Allah SWT.

Contoh yang lain, al Kindi menggunakan perkataan “aisa” untuk menyandarkan kepada sesuatu yang wujud, dan perkataan “laisa” bagi sesuatu yang tidak wujud. Cukup sekadar ini beberapa contoh, waLlahua’lam.

Bab Kelima
Pertelingkahan Tentang Aliran Pegangan Dan Politik Di Kalangan Ahli Falsafah

Di antara faktor yang menyebabkan perbezaan dalam memahami nas falsafah ialah disebabkan pertelingkahan dalam menilai aliran pegangan dan politik di kalangan ahli Falsafah. Di dalam bab ini, kita akan melihat pendekatan Ibnu Sina berbanding ahli Falsafah lain yang banyak memberi pandangan berdasarkan pegangan dan kesan politik mereka.

Dalam masa yang sama, ahli-ahli Falsafah Islam, ada yang terlalu cenderung dengan pemikiran Aristotle dan Plato, dalam perbahasan tentang ke”qadim”an alam. Manakala Ibnu Sina tetap bertegas mengatakan bahawa alam itu “baharu”.

Selain itu Ibnu Sina mengambil pendekatan “bersendiri”, dalam memutuskan pemikirannya dengan menulis satu risalah yang bertajuk “Risalah Burung”, yang menggambarkan dirinya sebagai burung :

Seekor burung sedang berterbangan bersama burung-burung lain.. selepas ia diikat, dikurung, disekat dan sebagainya.. Lalu ia melepaskan diri daripada sangkar tersebut.. dan berterbangan dengan bebas, tinggi di angkasa... Burung ini berterbangan dengan burung-burung yang lain menuju ke satu gunung, tempat seorang raja yang mampu melepaskan segala kurungan dan ikatan..

Terbang dan terbang.. melintasi 7 buah gunung, dan raja tersebut berada di gunung yang kelapan.. setibanya di sana, ia mendapati terdapat burung-burung lain yang senasib dengannya, datang mengadu kepada raja tersebut...

Setelah ia memasuki istana untuk menemui raja tersebut.. tersingkaplah langsir tempat raja tersebut.. lalu bertemulah ia dengan raja tersebut dan menceritakan nasibnya.. Raja tersebut berkata.. bahawa dia telah menghantar utusan ke negerinya, untuk menghidupkan keamanan disana.. tetapi masyarakat tersebut enggan menerima keamanan yang dibawa...

Risalah ini mengumpamakan diri Ibnu Sina sebagai burung tersebut, yang bebas daripada konflik pegangan dan ketegangan politik di zamannya. Pemikiran manusia dikongkong, lalu membuatkan dirinya melepaskan diri dari kongkongan tersebut, mencari kebenaran Ilahi.

Raja tersebut adalah misalan kepada Allah SWT, yang dijadikan matlamat hidupnya. Dan utusan yang dihantar tersebut adalah para nabi AS, yang dihantar untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya, dan menguraikan belenggu pada leher-leher manusia.

Hasil daripada risalah ini, ramai yang menuduh bahawa Ibnu Sina adalah penganut Syi’ah Imamiah, dan kita tidak sepatutnya menghukum seseorang di dalam perbahasan falsafah. Sebaliknya ia perlukan kepada kajian lain, yang perlu untuk menilai.

bersambung

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

Ringkasan Nusus Falsafiah Tahun 4, Akidah Falsafah (Siri 1)


Ringkasan bagi subjek Nusus Falsafiah, Tahun 4, Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah. Ringkasan ini menggunakan kitab karangan Dr Muhammad Yusri Jaafar Muhammad, dengan tajuk Madkhal Ila Dirasah an Nusus al Falsafiah. Selamat membaca. Jangan lupa, doakan untuk kejayaan kita.

Pendahuluan

Satu pembelajaran tentang bagaimana memahami nas-nas falsafah, dan mengenali manhaj pemikiran bagi satu-satu aliran. Ia sangat berkaitan dengan faktor-faktor yang menyebabkan pemahaman terhadap nas-nas ini berbeza.

Maka, di dalam tajuk ini, kita akan memahami faktor-faktor yang menyebabkan perbezaan pemahaman di dalam memahami satu-satu nas falsafah, kemudian kita akan mengenali 3 nas yang terpilih, iaitu al Kindi, al Farabi dan Ibnu Bajah.

BAHAGIAN PERTAMA :

FAKTOR YANG MENYEBABKAN PERBEZAAN DALAM MEMAHAMI NAS FALSAFAH

Bab Pertama
Perbezaan Di Antara Ahli Falsafah Penghurai Atau Pencetus

Di sana terdapat 2 jenis ahli falsafah, iaitu :

1. Ahli Falsafah yang menjadi penghurai bagi pemikiran orang lain.

2. Ahli Falsafah yang menjadi pencetus pemikiran baru

Pencetus pemikiran baru tidak perlu dihuraikan lebih panjang, cuma ahli Falsafah yang menghuraikan pemikiran orang lain seperti al Farabi (870-950 M). Beliau banyak menterjemah, menghurai dan mengulas falsafah yang telah dicetuskan oleh Aristotle (384-322 SM) dan Plato (427-347 SM).

Ini kerana falsafah mereka berdua memerlukan kepada ulasan dan penjelasan, tambahan pula apabila ia diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab, dan banyak memudahkan kefahaman mereka yang mendalami ilmu ini.

Di zaman beliau (Farabi) terdapat beberapa individu yang turut mengulas dan menghurai falsafah-falsafah kuno, namun huraian mereka bercanggah dan memerlukan kepada penelitian semula. Maka, di sinilah peranan al Farabi dilihat sebagai menjernihkan semula huraian-huraian tersebut.

Beliau juga seorang pemikir Islam yang menggariskan disiplin pemahamannya di dalam ilmu warisan falsafah (turath), berbeza dengan penghurai-penghurai turath yang lain, yang terkesan dengan beberapa unsur-unsur luar.

Maka, di sini kita perlu jelas bahawa al Farabi bukan hanya seorang penghurai atau penterjemah bagi Falsafah kuno, bahkan beliau adalah pemikir Islam, tidak seperti penghurai yang lain, yang hidup sezaman dengannya.

Maka, berdasarkan perbezaan ini, wujudnya faktor-faktor yang membezakan di antara pemahaman-pemahaman terhadap nas-nas falsafah yang akan kita kaji selepas ini, insya Allah.

Bab Kedua
Munculnya Istilah-istilah Dalam Falsafah Islam

Faktor kedua yang menyebabkan perbezaan dalam memahami nas falsafah ialah munculnya istilah-istilah baru dalam falsafah Islam. Contohnya istilah “jauhar”, “aradh”, “mungkin” dan “wajib”. Maka, kita tidak perlu terkejut apabila melihat istilah-istilah ini digunakan oleh al Farabi dan Kindi.

Contoh yang lain, istilah “wajib wujud”, “sani’ alam” dan “illah ula” merupakan istilah untuk Allah SWT, yang diterjemahkan ke dalam Falsafah Islam. Istilah-istilah ini bertujuan memudahkan kefahaman bagi mereka yang mendalami falsafah Islam, ketika mana mereka mengkaji turath falsafah.

Kita boleh lihat, al Kindi telah berjaya menterjemahkan pemahaman falsafah dengan menyelarikannya dengan akidah Islam, dan menghasilkan Falsafah Islam. Contohnya di dalam penulisannya telah membezakan di antara “al fa’il at tam al kamil” (pembuat yang sempurna) yang disandarkan kepada Allah, manakalah “al fai’il an naqis” (pembuat yang tidak sempurna) disandarkan kepada sesuatu yang bersandar kepada Allah. Hakikatnya semuanya bersandar kepada Allah.

Beliau juga berhati-hati supaya penterjemahannya ini tidak terkeluar daripada pemahaman Aristotle tentang perkataan dan pembahagian yang dibuat olehnya. Contohnya al Kindi menggunakan istilah “huyuli” (material), “surah” (rupa bentuk), “nau’” (cabang) dan “jins” (jenis).

Contoh yang lain, al Farabi membezakan di antara “al ijad” (mewujudkan) dan “al khalq” (mencipta). Dalam masa yang sama al Farabi juga menggunakan istilah “al ibda’” (mencetus) dengan menterjemahkannya sebagai “mengekalkan kehidupan kewujudan sesuatu”. Maka, manusia tidak boleh dikatakan sebagai “mubdi’” (pencetus) kerana manusia tidak mampu mengekalkan kehidupan kereta yang dicipta, contohnya.

Beliau juga membezakan di antara “ibda’” (mencetus) dan “ijad” (mewujudkan). Ini kerana “ibda’” itu adalah “ma’lul” (hasil kesan) bagi kewujudan pertama (wujud awwal). Dari segi falsafah secara umum, “ibda’” bermaksud :

1. Mengasaskan sesuatu, iaitu menggabungkan unsur-unsur untuk menghasilkan sesuatu yang baru.

2. Mencetuskan kewujudan sesuatu, daripada tiada apa-apa.

3. Mewujudkan sesuatu, dengan kewujudan unsur lain sebelumnya.

4. Mencetus kewujudan yang hidup.

Manakala di dalam Islam, mengatakan bahawa “ibda’” tersebut bermaksud, mencipta sesuatu yang tiada perumpamaan sebelumnya, iaitu memulakannya (mencetus). Maka, terdapat beberapa unsur yang hampir sama dengan maksud-maksud yang telah disebut oleh ahli-ahli Falsafah.

Selain itu, di dalam kajian kita tentang istilah dalam Falsafah Islam, kita akan menemui 8 peringkat kemunculan alam yang perlu diketahui, iaitu :

1. Bermula daripada Allah, yang mencipta alam sejak azali.

2. Kemudian Allah menciptakan satu cetusan yang dinamakan “akal pertama” ataupun “kewujudan yang kedua” berfungsi untuk menggerakkan alam ini. Ia juga dinamakan sebagai falak, dan daripada falak ini akan menghasilkan jirim-jirim alam.

3. Kemudian, barulah wujud “akal yang terkesan” iaitu pada manusia, atau dinamakan sebagai roh, yang menghubungkan di antara alam atas (langit) dengan alam bawah (bumi).

4. Kemudian nafsu. Akal dan nafsu akan bertambah bilangannya, mengikut pertambahan manusia.

5. Susulan daripada item 4, muncullah gambaran, atau rupa bentuk.

6. Kemudian material, dan material ini hujungnya diakhiri dengan zat yang tidak berjisim. Atau dengan kata lain, terdapat material, dan bukan material.

Kesimpulan di sini, 3 item pertama adalah kewujudan yang tidak berjisim, dan 3 kewujudan yang terakhir adalah kewujudan yang berjisim.

bersambung...

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

07 June 2010

Ringkasan Falsafah Baru, Silibus Tahun 4 (Siri Akhir)

Gambar di Syria.. Dua-dua ni bernama Mujahid. Kawan saya ni, nama dia Muhammad Mujahid bin Mohammad Mohtar (link), Timbalan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Syria.


yes.. dah habis juga satu kitab saya ringkaskan. Alhamdulillah. Doakan kita sama-sama berjaya dalam peperiksaan. Ringkasan siri terakhir ni.. saja letak gambar lain pulak.


BAB 6 – KESAN KEWUJUDAN FALSAFAH BARU

Bab ini akan menceritakan serba ringkas tentang kesan-kesan yang terhasil daripada Falsafah Baru. Di dalam bab ini, akan memfokuskan kepada dua perkara, iaitu :

1. Faktor-faktor yang menyebabkan Falsafah Baru mampu memberikan kesan

2. Bentuk-bentuk kesan, hasil daripada Falsafah Baru


Faktor-faktor Yang Menyebabkan Falsafah Baru Mampu Memberi Kesan

Di dalam topik ini, akan menceritakan tentang faktor-faktor yang membuatkan Falsafah Baru itu mampu memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dan sejarah dunia falsafah. Antara Faktor-faktornya ialah :

1. Kesinambungan dan komunikasi

Ketika zaman ini, kemudahan-kemudahan banyak dicipta, yang memudahkan ahli Falsafah untuk berhubung atau meneruskan kesinambungan falsafah sebelumnya. Komunikasi yang mudah ini memberikan kesan yang besar dalam penghasilan pemikiran dan pembentukan Falsafah Baru.

Contohnya utusan dan perwakilan yang diutuskan untuk mendapatkan pemikiran luar. Jamaluddin al Afghani (1838-1897) pernah menghasilkan risalah menolak pemikiran Atheis pada akhir kurun ke 1800an (kurun ke 19). Kajian tersebut berkisar tentang pemikiran Darwin.

2. Hasilan Kajian yang banyak

Faktor seterusnya ialah, banyaknya hasilan-hasilan kajian yang telah dihasilkan pada zaman tersebut. Antaranya peralatan-peralatan sains yang mula dicipta, terutamanya pada kurun ke 17 dan kurun ke 18.

3. Tindak balas yang kuat

Tindak balas yang kuat ini terjadi disebabkan tekanan dan kongkongan yang berlaku pada Zaman Pertengahan, dan Zaman Sistem Persekolahan Falsafah yang dinaungi di bawah bumbung gereja. Maka, disebabkan tekanan ini, menghasilkan satu lonjakan yang kuat dalam menghasilkan Falsafah Baru.

4. Kaitan dengan kehidupan

Falsafah sebelum zaman ini, lebih kepada berteori dan jauh daripada praktikal. Maka, pada Zaman Falsafah Baru, ia berubah kepada memfokuskan kepada praktikal, dan ia menjadi salah satu ciri utama Falsafah Baru. Maka, Falsafah yang diajar dan dipelajari, adalah bertujuan untuk kehidupan, bukan hanya di dalam takuk pemikiran semata-mata.

5. Penterjemahan dan Bahasa

Pada zaman ini, munculnya gerakan penterjemahan dan pembelajaran bahasa-bahasa yang pelbagai. Kemunculan ini mendadak dengan tinggi pada zaman ini, dan menghasilkan pembinaan beberapa sekolah khas pembelajaran bahasa-bahasa asing.

Susulan daripada itu, gerakan penterjemahan meningkat dengan mendadak. Sumber-sumber daripada bahasa asing diterjemah untuk mendapatkan pemikiran-pemikiran luar, contohnya seperti pengalihan bahasa dari Barat ke Timur.

6. Kemajuan ilmu pengetahuan

Pada zaman ini juga, kemajuan dari sudut pengetahuan mendadak begitu tinggi. Contohnya, Eropah yang beragama Kristian mengamalkan sistem demokrasi untuk menghasilkan kemajuan. Begitu juga dengan sistem Kapitalis.

Di Rusia pula, fahaman Marxisime menguasai pemikiran manusia. Maka, kemajuan dari sudut pengetahuan semakin bercambah, sedangkan kemajuan inilah yang menyebabkan mereka jauh daripada agama dan nilai-nilai murni.

7. Kekuatan Eropah

Antara faktor yang menyebabkan Falsafah Baru mampu memberi kesan ialah kekuatan Eropah itu sendiri. Eropah telah mengalami revolusi perindustrian dan pembinaan yang begitu pesat. Maka, kekuatan ini memberi impak yang besar dalam menonjolkan era Falsafah Baru.

8. Kebangkitan Eropah

Falsafah Baru muncul seiring dengan kebangkitan Eropah sepertimana yang telah disebut sebelum ini. Kebangkitan ini meleraikan leher mereka daripada kongkongan gereja. Maka, ia membuatkan Falsafah Baru menonjol dalam arena sejarah kerana berlakunya pelbagai revolusi yang seiring dengan kebangkitan Eropah tersebut.


Bentuk-bentuk kesan, hasil daripada Falsafah Baru

Topik ini akan menjelaskan tentang 3 bentuk-bentuk kesan yang terhasil daripada kemunculan Falsafah Baru, iaitu :

1. Monopoli method kajian baru

Sepertimana yang telah disebutkan, Descartes dikatakan Bapa Falsafah Baru, yang telah mengemukakan method falsafah yang baru. Kemudian ia disambut pula oleh Francis Beacon, yang mendokong method Empirisisme, yang berbeza dengan method Rasionalisme yang digunakan oleh Descartes.

Pemikiran Empirisisme dikatakan pemikiran yang baru, yang menguasai sebahagian besar dunia Barat, dengan method-method baru. Bermula seawal kemunculan Falsafah Baru, iaitu pada kurun ke 17 hinggalah kurun ke 19 yang menyaksikan perkembangan pesat pemikiran Empirisisme.

Maka, kejayaan Empirisisme merupakan bentuk-bentuk yang terhasil daripada kewujudan Falsafah Baru, terutamanya di Barat, dan ia masih diteruskan sehingga ke hari ini.

2. Stabil dengan pemikiran Positivisme

Secara umumnya, pemikiran ini berpegang bahawa ilmu pengetahuan itu diperolehi melalui pengalaman yang disalurkan oleh pancaindera. Maka, mereka tidak meletakkan kekuasaan untuk berfikir itu hanya kepada manusia semata-mata. Atau dengan kata lain, mereka menolak sistem Tuhan.

Pemikiran ini menyebabkan munculnya Sekularisme yang memisahkan di antara agama dan politik. Ini kerana politik itu berhak digubal oleh tangan manusia sendiri, dan agama hanya berada di dalam kepompong gereja sahaja.

Maka, semua urusan kemasyarakatan tidak lagi diserahkan kepada gereja, dan kuasa gereja tidak lagi diakui sepertimana zaman pemerintahan gereja sebelum kurun ke 14. Sebaliknya, semua urusan ini diserahkan kepada mereka yang bebas dan tidak terikat dengan gereja.

3. Bangkitnya pemikiran materialisme dan atheisme

Ia boleh dilihat dari sudut pemikiran-pemikiran yang wujud pada zaman Falsafah Baru ini, iaitu :

a) Pemikiran Realisme dan Positivisme

Ia adalah hasil daripada pemikiran Empirisisme, dan ia telah dikemukakan oleh August Comte (1798-1857). Ia mula tersebar dan digunapakai pada kurun ke 19. Di sana juga terhadap aliran Positivisme, yang terdapat di Perancis pada zaman yang sama, yang telah bergabung dengan aliran pemikiran Realisme ketika zaman kemunculannya di England.

Aliran Positivisme ini membahagi sejarah kepada 4, iaitu

- Zaman manusia menyembah Tuhan
- Zaman manusia mengkaji alam ghaib
- Zaman realistik
- Zaman ilmu pengetahuan

Maka, mereka menganggap ajaran Kristian adalah ajaran yang ketinggalan zaman. Begitu juga dengan Islam, turut dilabelkan sebagai ketinggalan.

b) Pemikiran Marxisme

Pemikiran ini jelas memperjuangkan materialisme dan atheisme. Pemikiran ini menghasilkan undang-undang Komunisme yang telah dipelopori oleh Karl Marx sendiri. Ia memberi kesan besar dalam menanam pemikiran anti tuhan di dalam pemikiran manusia.

Sistem yang disusun oleh beliau berkait dengan ekonomi, sosial dan politik, yang menjauhkan manusia daripada mempercayai kewujudan alam ghaib dan ketuhanan.

c) Pemikiran Darwinisme

Pemikiran Darwin (1809-1882) yang masyhur dengan Teori Evolusi juga berkembang biak hingga ke hari ini. Teori yang mengatakan bahawa manusia itu berasal daripada beruk, dan pegangan bahawa makhluk ini mengalami evolusi sepanjang zaman.

Pemikiran ini tidak lain, cuba menafikan kewujudan Tuhan yang mencipta makhluk daripada tiada. Secara umumnya, pemikiran ini juga menolak kewujudan alam ghaib dan berpegang dengan materialisme. Bahkan, Teori Darwin ini membantu Karl Marx dalam mengembangkan aliran pemikirannya.

d) Pemikiran Existentialisme

Pemikiran ini didokongi oleh Jean Paul Sartre (1905-1980) yang turut menghidupkan nilai-nilai atheisme dan materialisme. Ada yang mengatakan bahawa pemikiran ini bangkit disebabkan lonjakan sesitiviti keindividualan, atau nilai kemanusiaan yang terlalu tinggi.

Pemikiran ini mengatakan bahawa manusia adalah ukuran semua benda. Tingginya nilai seseorang itu adalah berdasarkan kemahuan dan keinginan dirinya sendiri. Hasilnya mereka hanyalah menyambung perjuangan Sophisme (sufusta’iy) yang telah ditolak satu ketika dahulu.

e) Pemikiran Pragmatisme

Pemikiran ini muncul di Amerika pada akhir 1880an. Antara ciri utama pemikiran ini ialah meletakkan 3 komponen dalam mengukur kebenaran, iaitu hasil, penggunaan dan praktikal. Ia telah didokongi oleh Charles Sanders Peirce (1839-1914).

Beliau pernah berkata :

Praktikal adalah satu-satunya cara untuk menghukumkan kebenaran atau kebatilan sesuatu. Maka, pemikiran yang menghasilkan kesan untuk praktikal, adalah pemikiran yang betul. Pemikiran yang tidak boleh dijadikan praktikal, maka pemikiran itu salah.


BAB 7 – SUMBER FALSAFAH BARU

Bab ini akan membincangkan tentang sumber utama ataupun asas bagi Falsafah Baru. Ia akan membincangkan 4 perkara, iaitu :

1. Maksud “sumber”
2. Hubungan sumber dengan kesan
3. Sumber Falsafah Baru
4. Bentuk kesan Falsafah Baru


Maksud Sumber

Sumber adalah “asas sesuatu”. Secara penggunaannya, ia bermaksud “titik perbezaan sesuatu”. Atau dengan kata lain, perbincangan tentang sumber ini adalah berkisar tentang persoalan “di manakah titik perbezaan Falsafah Baru?” Maka persoalan ini perlu merujuk kepada “asas” atau sumber yang dibincangkan di dalam bab ini.

Ada juga yang mengatakan bahawa “sumber” itu adalah “perkembangan”. Contohnya sumber pemikiran, bermaksud perkembangan pemikiran. Ada juga yang mengatakan bahawa sumber itu hanyalah “kajian untuk mendapatkan punca” dan sebagainya.


Hubungan Sumber Dan Kesan

Hubungan kedua-duanya perlu dilihat kepada realiti penggunaan perkataan “sumber” itu sendiri. Maka, kita boleh mengatakan bahawa hubungan di antara kedua-duanya ialah hubungan keanggotaan, iaitu, sumber itu keluar dan terhasil daripada “anggota” kesan.

Contohnya seperti kelahiran bayi, yang mempunyai hubungan dengan ibunya, hubungan keanggotaan. Maka, si bayi akan lahir dari perut ibunya, sepertimana sumber itu lahir daripada kesannya. Atau dengan kata lain, sumber atau asas sesuatu ini lahir berdasarkan acuan kesan.

Sumber Falsafah Baru

Setelah kita memahami maksud sumber, dan hubungkaitnya dengan kesan, maka kita akan melihat pula sumber Falsafah Baru. Perkara pertama yang perlu kita ketahui ialah, era Falsafah Baru ini adalah zaman perkembangan pemikiran Falsafah, dan ia merupakan salah satu daripada zaman-zaman perkembangan Falsafah.

Maka, pastinya ia sangat berkait rapat dengan kewujudan “kesan” yang menghasilkan dan mencetuskan Falsafah Baru. Seperti lahirnya bayi daripada ibunya, bermula dengan gabungan di antara ovum dan sperma, sehinggalah melahirkan bayi tersebut. Begitulah Falsafah Baru, yang sangat berkaitan dengan kesan ini.

Dr Ibrahim Madkur berkata bahawa Falsafah Baru ini bukanlah baru dari sudut masa, tetapi ia baru dari sudut ciri-cirinya. Maka, ia sama sahaja dengan falsafah-falsafah sebelum ini, yang bukanlah merupakan falsafah baru, tetapi falsafah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, yang berbeza dengan falsafah-falsafah sebelumnya.

Maka, dari satu sudut ia dikatakan baru, dan dari satu sudut yang lain ia sama sahaja seperti sebelumnya. Contohnya pemikiran yang wujud pada era Falsafah Baru, bukanlah berbeza dengan pemikiran-pemikiran sebelumnya, tetapi sama sahaja. Semua pemikiran yang dikemukakan pada zaman ini dicedok daripada pemikiran lama, kemudian mewujudkannya semula.

Contohnya Descartes yang dikatakan Bapa Falsafah Baru. Beliau tidaklah mencipta sesuatu yang berbeza dengan pemikiran sebelumnya. Beliau hanyalah mencetuskan kebangkitan baru untuk menjatuhkan era Falsafah Sistem Persekolahan.

Begitu juga Francis Beacon, beliau juga tidak menghasilkan apa-apa yang baru melainkan beliau banyak mewujudkan semula pemikiran-pemikiran lama. Method Empirisisme yang diasaskan oleh beliau, hakikatnya tidak menghasilkan apa-apa yang baru, melainkan ia hanyalah “kemajuan” dari sudut ilmiah.

Secara mudahnya, memajukan bukanlah mewujudkan. Maka, memajukan pemikiran lama, bukanlah bermakna mewujudkan falsafah baru. Hasilnya Falsafah Baru ini bukanlah bermula dengan titik permulaan yang baru, tetapi ia hanyalah susulan daripada falsafah sebelumnya, yang dimajukan semula setelah mereka terkongkong di bawah zaman Pemerintahan Gereja.


Bentuk Kesan Falsafah Baru

Descartes (1596-1716)

Beliau banyak menimbulkan semula manhaj menolak keraguan, yang telah diamalkan oleh ahli Falsafah Yunani, tetapi wujud pada zamannya. Golongan yang menggunakan “syak” dalam Epistemologi. Lalu beliau mewujudkan semula pemikiran “yakin” dalam Epistemologi, untuk menolak aliran “syak” tersebut.

Leibniz (1646-1716)

Beliau banyak menghasilkan “pertemuan” dalam pemikiran-pemikiran falsafah yang berbeza. Antaranya beliau cuba menghasilkan titik persamaan di antara Plato dan Aristotle, lalu mengemukakan pemikiran yang baru. Begitu juga dengan method Stoicism (Rowaqiyyah) dan Abiqoriyyah (kurun ke 3 SM)

David Hume (1711-1776)

David Hume pula banyak merujuk kepada pemikiran Plato dan Aristotle yang mengemukakan istilah-istilah yang menjadi rujukan kepada Pakar Psikologi pada kurun ke 19, dan awal kurun ke 20. Antaranya teori graviti umum yang menjadi rujukan Newton dalam kajian tentang ilmu Fizik.

Immuel Kant (1724-1804)

Beliau cukup masyhur dengan method kritikan (criticism), sedangkan beliau bukanlah orang yang mula-mula mengemukakan kaedah Criticism itu. Namun, kita mengakui bahawa beliau adalah orang yang mendalami method ini, dan pakar dalam bidang ini.

Spinoza (1632-1677)

Beliau telah dikatakan banyak terkesan dengan Falsafah Yunani, Falsafah Sistem Persekolahan dan Falsafah pada zaman kebangkitan. Juga dikatakan beliau banyak mengambil pemikiran Mahyuddin bin Arabi, ahli pemikir Islam.

tamat..

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya
 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal