11 May 2010

Hisbah Mengikut Perspektif Islam - Ilmiah


TAKRIF HISBAH

HISBAH ialah `Menegakkan yang ma'ruf apabila ianya ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ianya dilakukan secara terang-terangan pula'.

Ini membawa maksud bahawa sekiranya ianya ditinggalkan atau dilakukan secara sembunyi maka ianya bukan lagi merupakan tanggungjawab hisbah, tetapi menjadi tanggungjawab para hakim apabila wujud pendakwaan yang mana ianya melibatkan penyaksian dan keterangan.

WAJIBNYA HISBAH

Ramai orang menyangka bahawa walaupun melaksana tugas-tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar diberikan ganjaran yang amat besar, tetapi mereka menyangka tidak menjadi kesalahan jika meninggalkan kerja-kerja tersebut. Mereka menyangka kejayaan hanya terhenti kepada usaha-usaha dan amal-amal berkaitan dengan ibadat-ibadat seperti solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya sahaja dan kesalahan serta keburukan orang lain tidak menjadi tanggungjawab mereka untuk membetulkannya.

Mereka seolah-olah telah lupa ataupun sengaja cuba melupakan bahawa tugas ini merupakan arahan Allah dan melaksanakannya merupakan prasyarat kepada kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Maka bersandarkan kepada nas-nas di atas, para ulama' berpendapat bahawa kerja-kerja hisbah adalah sesuatu yang fardhu.

Antara mereka ialah ada yang menyatakan bahawa amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan dua fardhu dari fardhu-fardhu Allah manakala Abu Bakar al Jassas berpendapat Allah memperkuatkan kefarduannya dalam beberapa ayat manakala Rasul-Nya pula menjelas melalui hadith-hadith yang mutawatir darinya. Oleh itu dalil wajibnya melaksanakan hisbah bersandarkan kepada :

• Arahan Allah dan Rasul-Nya

• Iman dan Hisbah merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan

• Antara yang menjadi syarat kepada bai'ah ialah memberi nasihat sesama muslim

• Antara syarat mendapat kejayaan ialah melaksanakan kerja-kerja hisbah

• Meninggalkan tanggungjawab hisbah dianggap bersekutu dalam melakukan kemungkaran dan dosa bersama-sama pelakunya

• Amaran keras dengan azab Allah disebabkan meninggalkan kerja-kerja hisbah

• Turunnya azab Allah diakibatkan kerana meninggalkan hisbah.

STATUS KEFARDHUAN HISBAH

Para Ulama' berselilih pendapat dalam menentukan status kefarduannya sama ada fardhu `ain ataupun fardhu kifayah, namun dalam suasana-suasana tertentu para Ulama' bersepakat mengatakan bahawa ianya boleh berubah menjadi fardhu `Ain. Antara suasana-suasana tersebut ialah :

• Apabila petugas atau pegawai dilantik oleh pihak berkuasa

• Apabila tidak kedapatan orang lain yang mengetahui dan memahami kewajipan hisbah kecuali dirinya sahaja

• Apabila kemampuan untuk melaksanakan tugas ini hanya terbatas kepada beberapa orang sahaja maka hisbah itu menjadi fardhu `ain ke atas mereka

• Apabila berlaku perubahan situasi di mana bilangan para da'ie berkurangan ditambah pula dengan bertambahnya kemungkaran serta kejahilan menguasai keadaan, maka ketika itu hisbah menjadi fardhu `ain.

AMAR MA'RUF

• Hak-hak Allah

Wajib ke atas al-Muhtasib melaksanakan tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar apabila berkenaan perkara-perkara yang berkait dengan hak Allah seperti sembahyang Juma'at sembahyang jamaah di masjid dan lain-lain yang secara terbuka ditinggalkan.

• Hak-hak Anak Adam

Ianya terbahagi kepada dua:

1. Hak Am

Merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan keperluan manusia seperti bekalan air minuman di dalam sesebuah negeri atau kemudahan-kemudahan awam yang asasi. Perkara ini bergantung kepada kedudukan kewangan negeri atau baitulmal dan pihak kerajaan bertanggungjawab supaya memperbaiki keadaan tersebut. kalau tidak ada harta baitulmal, hendaklah diarahkan orang-orang Islam yang kaya untuk menyelesaikan masalah tersebut.

2. Hak Khas

Ianya mencakupi hak-hak yang berkaitan dengan individu-individu seperti hutang piutang dan lain-lain hak. Dalam keadaan ini, muhtasib hendaklah mengarahkan kepada orang-orang yang berhutang supaya membayar hutang-hutang mereka dengan syarat ada pengaduan dan jika mempunyai keupayaan.

3. Hak bersama

Ianya mencakupi antara lainnya perkara-perkara berikut:-

• Mengarahkan para bapa mengahwinkan anak-anak perempuan mereka apabila menepati syarat-syarat agar mereka tidak terhalang daripada berkahwin

• Mewajibkan para wanita mematuhi idah mereka sama ada idah wafat atau idah talaq

• Mengarahkan pemilik-pemilik pengangkutan supaya tidak memuat secara berlebihan ke atas kenderaan mereka

• Mengambil kecaknaan terhadap luqatah seperti kehilangan barangan dan sebagainya

NAHI MUNGKAR

• Hak-hak Allah

Antaranya:

1. Berkaitan dengan `ibadah yang mengandungi perkara-perkara berikut:

• Orang melakukan `ibadah tidak mengikut syari`at Islam

• Orang yang tidak mengambil berat terhadap kesihatan tubuh badan pakaian dan tempat sembahyang

• Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa ada keuzuran syar'ie

• Orang yang tidak membayar zakat harta-harta batin

• Orang yang mengajar dan memberi fatwa tanpa ada ilmu.

2. Berkaitan dengan larangan-larangan syara'

• Hendaklah mencegah orang ramai dari berada ditempat-tempat yang meragukan dan yang boleh mendatangkan tohmahan serta tuduhan orang seperti wujudnya percampuran kaum lelaki dan perempuan yang bukan mahram di tempat-tempat yang diragui.

3. Berkaitan dengan mu'amalah

• Hal ini mengandungi mu'amalah-mu'a malah yang mungkar dari sudut syara' seperti jual beli yang tidak sah dan apa-apa urusan jual beli yang dilarang oleh syara' walaupun di kalangan mereka saling redha menredhai seperti penipuan harga, timbangan dan sukatan.

• Hak-hak Anak Adam

1. Hak jiran

Hal ini mengandungi pencerobohan seseorang terhadap sempadan jirannya. Walaupun begitu, muhtasib tidak boleh mengambil tindakan selagi tidak ada aduan dari jirannya.

2. Di pusat-pusat perniagaan dan di kilang-kilang; ada tiga keadaan yang perlu diambil perhatian:

• Kesempurnaan dan kekurangan, contoh kerja-kerja perubatan yang dilakukan oleh para doktor

• Amanah dan khianat; contohnya amalan tukang-tukang jahit yang tidak menepati janji

• Elok dan tidak elok dalam apa-apa kerja yang dilakukan

• Hak-hak bersama

Antarannya ialah pencegahan perbuatan mengintai rumah orang lain, mencegah imam-imam masjid besar daripada memanjangkan sembahyang dan mencegah para hakim daripada tidak melayani orang-orang yang berbalah, mencegah pemilik alat-alat pengangkutan dari mengangkut lebih dari had muatan dan lain-lain lagi. Muhtasib hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka oleh pihak berkuasa selain dari perkara-perkara yang disebutkan di atas.

PENUTUP

Semoga dengan penerangan ringkas ini memberi kefahaman kepada semua untuk menggerakkan hisbah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kitab Al Ahkam As Sultaniah oleh Imam Mawardi.

Disediakan Oleh :
Unit Penerangan Hisbah PMRAM 2010

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal