Erm.. terlupa nak bagitau semua, kebanyakan artikel saya tidak meletakkan ayat-ayat al Quran. Cuma letak terjemahan sahaja. Sebabnya.. saya takda software.. Kalau ada sesiapa yang ada.. boleh tolong kongsi? Yang saya ada, menggunakan font mushaf.. dia tak boleh keluar kat blog.. Jadi.. sesiapa yang ada font yang sesuai, yang boleh serasi dengan blog.. sila cadangkan kepada saya. Terima kasih.
Manuskrip dikatakan hasil karangan ar Razi
Bab Ketiga
Falsafah Di Dalam al Quran
Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, Tinman telah mendakwa 4 dakwaan terhadap falsafah Islam. Dakwaan yang pertama ialah mengatakan bahawa al Quran menyekat pemikiran manusia daripada bebas berfikir. Maka, di dalam bab ini, akan menolak dakwaan pertama beliau.
Kemanusiaan Di Dalam al Quran
a) Antara 3 perkara utama yang menceritakan tentang Falsafah Kemanusiaan ialah :
• Suruhan supaya berfikir
Maksudnya : (Kalaulah mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup semula) maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka (dengan tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiasinya (dengan bintang-bintang), dan dengan keadaan tidak ada padanya retak-renggang? Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur? (Surah Qaf : 6-7)
• Larangan daripada tidak berfikir
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al A’raf : 179)
• Suruhan menggunakan hati, deria dan akal
Maksudnya : Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (Surah as Sajdah : 9)
b) Selain itu, terdapat 4 perkara yang disebut oleh Allah SWT supaya manusia sendiri mengenali diri mereka yang sebenar-benarnya.
• Allah SWT Pencipta segala makhluk
Maksudnya : Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya. (Surah al An’am : 102)
• Manusia adalah di antara makhluk ciptaan Allah SWT
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (Surah at Tin : 4)
• Allah SWT mengetahui alam ghaib, dan semua yang berlaku
Maksudnya : Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. (Surah al An’am : 59)
• Allah SWT mampu untuk melakukan mengikut kehendakNya
Maksudnya : Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi. (Surah Yasin : 82)
c) Terdapat dua jenis makrifah yang Allah SWT ingin ajar manusia tentang falsafah kemanusiaan ialah :
• Mengenali alam sekeliling dan menggunakan deria dan kajian untuk mengenalinya
• Mengenali alam ghaib dengan menggunakan sumber daripada wahyu
Penciptaan Di Dalam al Quran
a) Terdapat dua asas utama di dalam al Quran yang menceritakan tentang falsafah penciptaan, iaitu :
• Pada Makhluk
Maksudnya : (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) - Yang keluar dari “tulang sulbi” lelaki dan “tulang dada” perempuan. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati), (Surah at Tariq : 5-8)
• Pada Sistem
Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Surah al Baqarah : 164)
b) Selain itu, di dalam al Quran menggunakan dua manhaj dalam menceritakan tentang Falsafah Penciptaan ini, iaitu :
• Menceritakan tentang sokongan hidup terhadap manusia, dan semua ciptaan dicipta adalah untuk kehidupan manusia.
• Menceritakan tentang keajaiban ciptaanNya, dari aspek kehidupan, pengetahuan, dan sebagainya. Bertujuan menunjukkan kehebatan Allah SWT.
c) Daripada dua manhaj ini, Allah SWT mengeluarkan 3 jenis dalil untuk menceritakan tentang Falsafah Penciptaan ini, iaitu :
• Dalil memberi sokongan hidup pada manusia
Maksudnya : (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki? Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, - Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? (Surah an Naba : 6-16)
• Dalil menceritakan tentang keajaiban ciptaan Allah
Maksudnya : Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). (Surah al Hajj : 73)
• Dalil yang menggabungkan dua aspek ini
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (Surah al Baqarah : 21-22)
Ketuhanan Di Dalam al Quran
Di dalam memahami konteks ketuhanan yang diajar oleh Allah SWT, ia berpaksi kepada mengenal Tuhan, sepertimana firman Allah SWT :
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”. (Surah az Zukhruf : 9)
Daripada ayat ini, kita boleh memahami bahawa al Quran menanam pemikiran yang bersih dan tepat dalam memahami konsep keTuhanan yang sebenar.
a) Al Quran mengajar manusia berfikir secara betul, dengan mengatakan bahawa Tuhan itu satu. Ia menggunakan dua dalil, iaitu :
• Sekiranya terdapat dua atau lebih tuhan, maka akan menyebabkan kecelaruan dan kerosakan pada keseluruhan alam.
Maksudnya : Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan. (Surah al Anbiya : 22)
• Menafikan ketuhanan selain daripada Allah SWt, dengan memperlihatkan kelemahan pada makhluk-makhlukNya.
Maksudnya : Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). (Surah al Hajj : 73)
b) Di dalam al Quran membuktikan kewujudan Allah SWT dalam banyak aspek, antara 3 aspek tersebut ialah :
• Aspek sejarah
Golongan Yunan berpegang bahawa di sana terdapat tuhan baik, dan tuhan jahat. Maka al Quran menafikan perkara tersebut :
Maksudnya : Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (Surah al An’am : 116)
• Aspek penciptaan manusia dan makhluk
Allah SWT menekankan di dalam al Quran supaya manusia berpegang dengan Akidah yang sebenar, dan syariatNya.
Maksudnya : Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. (Surah al Hadid : 7)
• Aspek falsafah dan pemikiran
Antara ayat yang sesuai untuk menterjemahkan konsep keTuhanan dalam falsafah ialah :
Maksudnya : (Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (Surah at Tur : 35)
Daripada ayat ini, terdapat tiga natijah :
• Mereka dicipta tanpa pencipta
• Mereka dicipta oleh diri mereka sendiri
• Mereka dicipta oleh Tuhan yang bukan dari kalangan makhluk
Item pertama tertolak kerana ia tidak boleh diterima akal. Manakala item kedua juga tertolak kerana mustahil manusia boleh mewujudkan dirinya sendiri. Maka, item yang sepatutnya adalah item ketiga, yang membuktikan kewujudan Allah.
c) Allah SWT menggunakan dua konsep untuk menceritakan tentang keTuhanan di dalam al Quran, iaitu
• Menyanggah pemikiran yang songsang, ikutan hawa nafsu, mentaati si jahil, taqlid buta dan sebagainya.
• Menyemai dan menanam konsep pemikiran tentang keTuhanan yang sebenar melalui pelbagai bentuk yang telah disebut sebelum ini.
Kesimpulan daripada Bab Ketiga ini, menolak dakwaan pertama Tinman, yang mengatakan bahawa al Quran menyekat kebebasan manusia untuk berfikir. Perkara ini bercanggah dengan jelas daripada manhaj al Quran yang sebenar, yang telah dijelaskan panjang lebar.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment