22 May 2010

Ringkasan Kitab Syarah Mawaqif (Siri 2)



Sambungan daripada artikel lalu, tentang Bab Ketuhanan, di dalam kitab al Mawaqif, karangan Syeikh Idhoduddin al Ijie (link).

Ada orang tanya, kenapa rajin sangat buat ringkasan untuk tahun 3 punya, enta kan tahun 4? Jawapan mudahnya ialah, saya bawak madah takhaluf tahun 3. Subjek ini adalah subjek terdekat yang akan saya ambil.

Satu lagi, peringatan kepada "orang awam" yang ingin menjadi alim dalam aqidah, jangan terus membaca ringkasan ini, kemudian terus menyampaikan pengajian. Kena ngaji dari mula. Dan ini hanyalah ringkasan sahaja.

Istilah-istilah yang digunakan, mungkin agak sukar difahami. Maka, perlu ngaji untuk memahami ringkasan ini. Kepada semua pembaca, sekiranya terdapat kesalahan, atau kesilapan dalam ringkasan ini, sila beritahu ya.. tulis dalam ruangan komen. Silakan, dan selamat membaca..

sambungan..

Ketiga : al Asya’irah

“Maslak Pertama” yang merupakan cara golongan pertama membuktikan kewujudan Allah SWT. Syeikh Idhoduddin mengatakan bahawa golongan pertama ini ialah al Mutakallimin, (pakar Ilmu Kalam).

Di ruangan ini, beliau banyak menukilkan cara al Asya’irah dalam membuktikan kewujudan Allah SWT. Manakala al Maturidiah hanya disebutkan secara ringkas sahaja sebelum ini. Begitu juga Salafussoleh.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah mempunyai dua dalil dalam membuktikan kewujudan Allah, iaitu :

a. Dalil Penciptaan Di Dalam al Quran

b. Dalil Akal

Al Asya’irah lebih cenderung menggunakan dalil penciptaan di dalam al Quran, berbanding dalil akal.

Dalil al Asya’irah Tentang Kewujudan Allah

1. Dalil Penciptaan Di Dalam al Quran

Al Quran menceritakan dengan jelas sistem alam dan penciptaan manusia

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Surah al Baqarah : 164)

FirmanNya lagi

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;

Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;

Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (Surah al Mukminun : 12-14)

Maka, jelas menunjukkan bahawa sistem yang begitu hebat ini pasti ada yang mengaturnya. Apatah lagi ia langsung tidak mampu dilakukan oleh manusia, atau sukar dikatakan sebagai “sistem kebetulan”.

Maka, jelas di sini bahawa di sana terdapat Tuhan yang mengatur segalanya. Dialah Allah SWT pentadbir alam ini.

2. Dalil Akal

Apabila menyebut tentang dalil akal, perkara pertama yang perlu diketahui ialah, seluruh alam ini mempunyai dua elemen, iaitu “jauhar” dan “aradh”. Maka, berdasarkan dua elemen utama ini, terbahagilah kepada beberapa bahagian.

a. Dalil Baharu (telah dijelaskan sebelum ini di dalam dalil al Maturidiah)

• Baharunya jauhar
• Baharunya aradh

b. Dalil Mungkin (juga telah dijelaskan sebelum ini)

• Mungkinnya jauhar
• Mungkinnya aradh

Pertama : Dalil Baharu

Sepertimana yang telah disebutkan, “baharu” yang dimaksudkan di sini ialah : wujudnya ia selepas tiada. Iaitu kewujudan “jauhar” dan “aradh” bermula dengan tiada, kemudian ada. Maka, ia dikatakan sebagai baharu atau dengan kata mudah “baru wujud”.

Maka, setiap benda yang baru wujud, memerlukan satu kuasa untuk mewujudkannya. Tidak mungkin ia wujud dengan sendiri. Maka, kuasa yang mewujudkannya adalah Kuasa Allah SWT. Maka, jelas membuktikan bahawa Allah itu wujud, kerana wujudnya “jauhar” dan “aradh” daripada tiada, kepada ada.

Selain itu, apa yang dikatakan dengan baharu juga, adalah setiap yang berubah. Iaitu, setiap sesuatu yang berubah, ia adalah baharu, kerana perubahannya. Maka, setiap makhluk pastinya berubah, daripada ada kepada tiada, dan daripada tiada kepada ada contohnya.

Kedua : Dalil Mungkin

Juga telah disebutkan sebelum ini, wujud terbahagi kepada tiga jenis, wajib wujud, mungkin wujud dan mustahil wujud. Allah adalah wajib wujud, dan selain daripada Allah yang “wujud” adalah mungkin wujud, dan mustahil wujud adalah “tidak wujud”.

Iaitu, boleh jadi ada, dan boleh jadi tiada. Contohnya, berkahwin. Boleh jadi melalui perkahwinan tersebut memperolehi anak, ataupun tidak. Maka, kewujudan si anak (manusia) adalah mungkin.

Maka, jika terdapat kewujudan yang bersifat mungkin, pastinya ada kewujudan yang bersifat wajib. Sekiranya kita menafikan kewujudan “wajib wujud”, maka akan berlakulah “daur” dan “tasalsul” dan kedua-duanya adalah mustahil.

Penjelasan Tentang Dalil Akal al Asya’irah

Jelas di sana terdapat empat bahagian yang utama, yang ditekankan oleh Syeikh Idhoduddin al Ijie, iaitu

a. Baharunya jauhar
b. Mungkinnya jauhar
c. Baharunya aradh
d. Mungkinnya aradh

1. Baharunya Jauhar

Dalil al Quran menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim AS :

Maka ketika ia (Nabi Ibrahim AS) berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). (Surah al An’am : 77-79)

Maka, dalil akal daripada ayat al Quran ini ialah,

“Alam ini terbentuk daripada jauhar, iaitu berisipadu dengan komponen-komponen yang baharu, maka semua yang bersifat dengan baharu, pastinya ia adalah baharu. Maka alam itu baharu”

“Alam ini baharu, maka pasti memerlukan kepada kuasa untuk mewujudkannya daripada tiada, maka sudah pasti wujudnya Allah yang empunya kuasa tersebut”

2. Mungkinnya Jauhar

“Alam ini terbentuk daripada jauhar yang bersifat mungkin yang saling bergabung. Maka, sudah pasti memerlukan kepada kuasa yang menggabungkan di antara jauhar-jauhar tersebut untuk menghasilkan alam. Maka, kuasa tersebut ialah Kuasa Allah SWT”

Maka, jelas di sini bahawa kewujudan Allah SWT merupakan “faktor” yang menggabungkan beberapa jauhar untuk membentuk alam yang mengandungi jutaan atom dan unsur ini.

3. Baharunya Aradh

Di dalam menceritakan tentang baharunya “aradh”, ia sangat berkaitan dengan Firman Allah SWT :

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. (Surah al Fussilat : 53)

Maka, berdasarkan ayat ini, terdapat dua bahagian yang perlu diperhatikan bagi membuktikan “baharunya aradh”. Iaitu, di dalam diri manusia (nafs) dan alam sekeliling (afaq)

Sebelum itu, kita perlu mengetahui bahawa “setiap yang berubah, ia adalah baharu” sepertimana yang disebutkan di dalam dalil mantiq.

a. Diri manusia (nafs)

Perkembangan manusia yang bermula dari kecil sehingga besar, perubahan warna kulit berdasarkan perubahan perasaan, perubahan kulit dan sebagainya menunjukkan bahawa ia adalah baharu. Ini kerana ia wujud daripada tiada, kepada ada, dan akan hilang bila-bila masa. Perubahan ini menunjukkan bahawa “aradh itu baru”.

Contohnya kulit kendur, yang mula wujud ketika tua, sedangkan ia tidak wujud ketika masih muda. Begitu juga dengan warna rambut yang mula beruban apabila umur semakin tua. Semua ini membuktikan bahawa “aradh” pada manusia adalah baharu, kerana perubahan yang dapat dilihat.

b. Alam sekeliling (afaq)

Perubahan cuaca, musim, peredaran matahari, bulan, dan sebagainya menunjukkan bahawa ia adalah baharu. Setiap benda yang berubah adalah baharu. Maka, perubahan ini membuktikan bahawa alam sekeliling kita adalah baharu.

Jelas di sini bahawa, “aradh itu baharu” dan setiap yang baharu (atau berubah) pasti ada kuasa yang mengubahnya. Kuasa itu ialah Allah SWT, yang merencana setiap perubahan pada “aradh”. Jelas membuktikan kewujudan Allah, berdasarkan perubahan pada “aradh” di dalam diri manusia, atau pada alam sekeliling.

4. Mungkinnya Aradh

Mungkinnya aradh di sini merujuk kepada mungkin ada atau tiada sesuatu aradh tersebut. Sepertimana yang telah disebut, “aradh” hanyalah sesuatu yang bersandar pada “jauhar”. Contohnya kedut yang terdapat pada wajah orang yang berumur.

Maka, ia pastinya akan berubah dengan mudah. Kedut pada muka orang yang berumur mungkin ada, mungkin tiada. Begitu “berlari” yang merupakan “aradh” bagi seorang manusia. Apabila manusia tersebut berhenti berlari, kemudian berjalan, maka “aradh berlari itu sudah tiada”.

Maka, berkemungkinan “berlari” itu ada pada manusia, dan berkemungkinan tiada. Maka kewujudan “aradh” adalah mungkin. Contohnya firman Allah SWT di bawah ini.

Firman Allah SWT

Firaun berkata: “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?”

Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”. (Surah Thaha : 50 – 51)

Daripada ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Allah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya. Maka, setiap orang mempunyai aradh mengikut kesesuaian masing-masing.

Kesimpulan Daripada Dalil al Asya’irah

Kesimpulan daripada perbahasan tentang dalil ini, menunjukkan bahawa

1. Alam terbentuk daripada jauhar dan aradh. Jauhar dan aradh adalah dua elemen yang mungkin dan baharu. Maka, alam itu bersifat mungkin dan baharu.

2. Alam adalah mungkin, dan setiap sesuatu yang bersifat mungkin, pasti ada kuasa yang mengubah sifat mungkinnya. Maka jelas membuktikan kewujudan Allah yang menjadi faktor perubahan sesuatu yang mungkin, kerana Allah adalah wajib wujud.

3. Alam adalah baharu, dan setiap yang baharu, pasti ada kuasa yang mewujudkannya daripada tiada. Maka, jelas membuktikan kewujudan Allah yang mewujudkannya, kerana Allah adalah bersifat qadim (tiada permulaan bagi kewujudannya.

4. Sekiranya kesemua ini (kuasa yang mengubah dan kuasa yang mewujudkan ini) bukanlah kuasa Allah, maka ia adalah hasil daripada perbuatan makhluk. Tetapi perbuatan makhluk ini adalah kekuasaan Allah juga.

Contohnya kewujudan kereta hasil ciptaan manusia. Dan manusia sendiri adalah ciptaan Allah. Bahkan bahan-bahan untuk mencipta kereta, otak manusia, tenaga, dan sebagainya adalah berpunca daripada Allah.

5. Sekiranya Allah tidak wujud (di dalam item nombor 4), maka akan berlakulah “Daur” dan “Tasalsul” dan kedua-duanya mustahil. Apakah “daur” dan “tasalsul”? Perbahasan yang panjang untuk dihuraikan di sini. Insya Allah, akan ditulis di dalam artikel lain.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal