Gambar Surau Ikhlasiah, yang diambil dari blog anakkdas.blogspot.com, ketika program bersama Presiden PAS. Bukan gambar ketika kuliah saya. Sekadar hiasan.
1 Oktober lepas, saya telah dihubungi oleh Abang Azhar untuk memberi kuliah maghrib di Surau Ikhlasiah, Jalan Pemimpin, Kampung Manjoi. Fokus yang diberikan ialah huraian berkenaan dengan “Iman”, yang menjadi tunjang dalam hidup kita seharian. Antara beberapa perkara yang saya sebutkan di dalam kuliah tersebut ialah tentang peringkat iman.
“Iman itu naik dan turun” itulah sepertimana yang telah disebut oleh Ibnu Hajar al Asqolani di dalam kitabnya Fathul Bari, Syarah bagi Shahih Bukhari, di dalam bab Iman. Antara faktor yang menambahkan keimanan kita ialah ketika kita diuji oleh Allah SWT.
Di sana juga terdapat perbezaan di antara ujian (ibtila) dan bala. Ujian adalah untuk meningkatkan keimanan seseorang. Maka tidak perlulah kita sedih apabila diuji. Ia adalah sebahagian daripada faktor yang menaikkan iman kita.
Ujian dan Bala
Ujian yang diberi oleh Allah SWT terdapat dua bentuk. Iaitu ujian dengan mendatangkan nikmat, dan ujian dengan mendatangkan bencana. Contohnya kekayaan yang melimpah ruah, juga adalah di antara bentuk ujian Allah SWT kepada kita, untuk menjadikan kita tidak lupa dengan akhirat. Manakala ujian yang berbentuk bencana ialah seperti gempa bumi dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, azab (bala) Allah SWT juga terdapat dua bentuk. Iaitu samada dengan mendatangkan nikmat, atau mendatangkan bencana. Karun telah diazab oleh Allah SWT dengan harta yang melimpah ruah, sehingga dia lupa dengan dunianya. Dajjal juga diberi istidraj oleh Allah SWT, dengan kebolehannya menurunkan hujan, dan memberikan kekayaan.
Begitu juga bencana yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai azab. Contohnya bumi kaum Nabi Lut yang diterbalikkan oleh Allah SWT, banjir yang menenggelamkan kaum Nabi Nuh dan sebagainya. Hari ini, kita menyaksikan tsunami pula yang menimpa kita. Beberapa hari lepas, berlakunya sebuah gempa bumi yang menyaksikan ratusan kematian di Sumatera
Lalu di akhir kuliah tersebut, seorang pendengar bertanya kepada saya, adakah gempa bumi tersebut bala atau ibtila? Maka saya menjawab bahawa di antara mereka sendiri, ada yang ditimpakan sebagai bala, dan ada yang ditimpakan sebagai ibtila, iaitu ujian untuknya. Dua perkara ini berlaku dalam satu peristiwa bencana alam yang sama.
Al Quran
Selain itu, antara perkara yang saya tekankan adalah berkenaan tentang al Quran. Al Quran adalah salah satu asas yang dapat membezakan peringkat keimanan seseorang. Mereka yang berpegang dengan al Quran, tidak sama dengan mereka yang meraguai al Quran.
Mereka yang meragui al Quran ini, terbahagi kepada dua jenis. Pertama, mereka yang meraguinya disebabkan kejahilan mereka. Kedua, mereka yang meraguinya disebabkan keinginan mereka untuk merosakkan Islam. Maka, Allah SWT berfirman di awal Surah al Baqarah yang bermaksud :
Sekiranya kamu meragui tentang apa yang Kami turunkan, maka datangkanlah satu surah yang seumpama dengan surah di dalam al Quran
Antara bentuk-bentuk usaha yang dilakukan oleh mereka yang meragui al Quran ialah, mereka cuba mencipta surah yang ingin menandingi al Quran. Peristiwa ini berlaku ketika Zaman Nabi Muhammad SAW. Namun kita jangan lupa, ayat-ayat Allah sudah lama cuba ditandingi.
Ketika zaman Nabi Musa AS, ahli-ahli sihir Firaun menandingi kesahihan ayat-ayat Allah dengan menggunakan sihir. Namun mereka gagal untuk menandinginya. Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, ayat-ayat Allah ditandingi dari aspek bahasa, atau kesusasteraan Bahasa Arab. Mereka juga gagal menandinginya, bahkan mereka semakin kagum dengan kesusasteraan di dalam al Quran.
Pada 18an, Darwin beberapa golongan Atheis ingin menandingi al Quran dari sudut sains. Mereka menafikan kesahihan al Quran dalam penjelasan tentang penciptaan manusia. Namun mereka juga gagal dengan teori mereka, bahkan teori mereka yang mengatakan manusia itu hasil evolusi daripada beruk, telah disangkal oleh ahli-ahli sains barat sendiri.
Pada hari ini, al Quran cuba ditandingi dari sudut pemikiran. Komunisme menolak kewujudan Allah SWT sedangkan pemikiran mereka ini sudah tidak diterima pakai hari ini. Sekularisme cuba merosakkan Islam dengan mengatakan Islam itu hanya satu aspek yang kecil sahaja. Pemikiran mereka ternyata tertolak apabila Islam itu sendiri merangkumi semua aspek kehidupan.
Nasionalisme cuba mengagung-agungkan puak-puak tertentu, akhirnya pemikiran ini ternyata ditolak apabila berlakunya perpecahan, dan kegagalan dalam bersatu.
Kristian cuba menandingi al Quran dari sudut sistem kehidupan. Islam menghalalkan perkahwinan dan poligami, tetapi mereka mengharamkannya bagi paderi-paderi. Akhirnya paderi-paderi yang dianggap suci ini, lebih suka menggunakan saluran yang salah untuk memuaskan nafsu. Mereka cuba menafikan fitrah keinginan manusia.
Mereka juga terjerat apabila di dalam kitab Bible sendiri menceritakan tentang nabi-nabi di kalangan Bani Israel yang berkahwin sehingga beratus-ratus orang wanita. Contohnya Nabi Sulaiman AS. Sedangkan cerita mereka ini hanyalah tahyul semata-mata. Mereka mengatakan Nabi Lut berzina dengan anak perempuannya, dan Nabi Daud berzina dengan isteri orang. Inilah tahyul daripada mereka. Dan mereka masih mengagung-agungkan perbuatan terkutuk ini.
Selain itu, hari ini juga al Quran itu cuba ditandingi dari sudut sistem perundangan. Beberapa golongan cuba mengatakan bahawa perundangan yang digariskan dalam al Quran adalah kejam, tidak bersesuaian dan sebagainya. Akhirnya mereka sendiri gagal menggariskan undang-undang yang lebih baik daripada al Quran.
Undang-undang sebat, yang selama ini cukup kejam, dijatuhkan kepada pesalah. Akhirnya apabila Islam menjelaskan tentang undang-undang sebat di dalam Islam, mereka lebih suka untuk mengkritik dan mempersenda. Sedangkan selama ini mereka tidak pernah bising untuk mempertikaikan sebatan ala kejam yang dipraktikkan di Malaysia.
Selain itu, beberapa golongan juga menandingi al Quran dari sudut undang-undang, apabila mereka mempersenda hukum hudud bagi penzina. Akhirnya masalah zina dan aids semakin berleluasa di Malaysia, dan mereka tidak punya cara untuk mengatasinya. Tetapi dalam masa yang sama, mereka masih lagi menolak undang-undang al Quran.
Inilah beberapa golongan yang cuba menandingi al Quran. Sepertimana yang disebut, mereka ragu disebabkan kejahilan mereka atau keinginan mereka untuk merosakkan Islam. Sejak daripada dahulu lagi al Quran itu cuba ditandingi, sehinggalah hari ini, al Quran masih lagi cuba ditandingi, sedangkan mereka hanya mengalami kegagalan sehinggalah hari ini.
Jenis-jenis kafir
Selain itu, setelah menjelaskan tentang Iman, dan dua bentuk cara untuk meningkatkan keimanan, saya menjelaskan pula tentang jenis-jenis kafir. Kafir sepertimana yang terkandung di dalam al Quran, terdapat beberapa bentuk. Iaitu kafir mulhid (atheis), kafir musyrik dan kafir munafik.
Kafir Mulhid atau yang lebih dikenali sebagai atheis ini, adalah satu pegangan menolak kewujudan atau kekuasaan Allah SWT. Contohnya seperti pemikiran Atheis, Darwinisme, Komunisme dan sebagainya. Kafir jenis ini adalah kafir yang paling teruk.
Hari ini, bentuk kafir jenis ini ialah, mereka yang menafikan kewujudan Allah SWT, menafikan kewujudan Tuhan yang mencipta dan sebagainya. Contohnya sebilangan besar golongan yang menganggap mereka adalah free thinker. Mereka memijak al Quran dan kencing di atasnya atas alasan untuk menjadikan pemikiran mereka selari dengan free thinker ini.
Mereka mendakwa bahawa mereka adalah free thinker, sedangkan free thinker mereka ini hanya menentang Islam. Free thinker hanya dikhususkan skopnya pada penentangan kepada Islam, tidak pada agama-agama lain.
Kafir jenis kedua ialah kafir musyrik. Kafir musyrik ialah kafir yang mengatakan terdapat tuhan lain selain Allah SWT. Contohnya orang kafir yang hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka menyembah patung-patung yang dikatakan sebagai tuhan.
Contoh yang boleh kita lihat hari ini ialah, mereka yang mengatakan Allah itu Tuhan, tetapi ini pun tuhan, itupun tuhan dan sebagainya. Lebih jelas apabila golongan yang bertuhankan duit, pangkat dan sebagainya. Apabila mereka “berpegang” atau yakin dengan hati, bahawa duit itulah yang memberikan segala-galanya, maka golongan ini sudah bergelar kafir musyrik.
Kafir ketiga ialah kafir munafik. Kafir munafik ini ialah luarnya Islam, tetapi dalamnya adalah kafir. Mereka ini adalah orang kafir yang bertopengkan Islam. Mereka inilah golongan yang diletakkan di neraka yang paling bawah. Mereka ini jugalah yang sangat mengancam Islam.
Kesimpulan
Inilah beberapa perkara yang sempat saya sampaikan ketika kuliah tersebut. Semoga bermanfaat kepada semua. Kebetulan pula, pada 8 Oktober ini, saya diminta menyampaikan kuliah magrib di Surau Muhammadiah, Jalan Tiong, Kampung Manjoi. Insya Allah kita sama-sama berkongsi ilmu di ruangan yang serba kekurangan ini.
0 comments:
Post a Comment