Artikel ini telah saya tulis semasa menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir 2008/2009. Ia dipetik daripada salah satu kefahaman yang perlu difahami oleh mereka yang berakidah dengan akidah yang sebenar. Artikel ini juga telah disiarkan di dalam blog KPIPM dan blog PMRAM. Artikel ini berputar sekitar persoalan tentang pelaksanaan etika yang telah digariskan, oleh PMRAM, KPIPM atau BKAN dan DPM yang lain.
Orang bertanya, "Apa salahnya saya keluar seorang diri di waktu malam?" kata seorang akhawat. Salahkah saya berkenderaan dengan dua orang akhawat? Tiada dalil pun yang mengharamkannya.. Kenapakah perlu musyrif mutazawwijin untuk rehlah akhawat? Apakah dalil yang mewajibkannya?
Setiap persatuan pasti mempunyai perlembagaannya tersendiri. Atau ia lebih dikenali sebagai undang-undang tubuh, etika dan sebagainya. Begitu juga KPIPM, yang turut mempunyai etika-etika tertentu. Beberapa orang akan bertanya, apakah dalil bagi setiap etika tersebut?
Contohnya PMRAM sendiri menggariskan bahawa akhawat tidak dibenarkan keluar pada waktu malam, melainkan dengan bermusyrif dan mempunyai keperluan untuk keluar. Maka, terdapat mulut-mulut yang mempersoalkan, di manakah dalil bagi pelaksanaan etika tersebut?
Demikian juga etika berkenderaan. KPIPM menggariskan bahawa pemandu lelaki hendaklah berseorang diri sekiranya dia membawa perempuan, dan kerusi di sebelah pemandu hendaklah dikosongkan, dan bilangan perempuan paling kurang seramai 3 orang. Apakah dalil pelaksanaannya? Adakah salah sekiranya kita melanggar etika ini? Islam tidak pernah menyebut pun? dan sebagainya.
Di dalam menghuraikan perkara ini, apa yang perlu difahami ialah :
1. Nas al Quran dan Hadis yang sahih
2. Ijtihad untuk memilih pandangan-pandangan yang pelbagai
3. Mendapatkan kebaikan, dan menolak kerosakan (masalih mursalah)
Secara mudahnya, sekiranya sesuatu etika tersebut "tidak disebut" dengan jelas di dalam al Quran atau mana-mana Hadis Shahih, maka ia berkemungkinan Ijtihad. Ijtihad yang dimaksudkan di sini ialah sekiranya di sana terdapat beberapa pandangan berbeza, maka pimpinan yang menggariskan etika tersebut berhak memilih mana-mana pandangan untuk dijadikan etika.
Contohnya, di dalam masalah tawanan perang, para sahabat berbeza pandangan. Ada yang mencadangkan supaya dibunuh, dan ada pula yang dicadangkan diserahkan kepada ahli keluarga dan sebagainya. Maka, etika yang digariskan oleh pimpinan hari ini, berkemungkinan ia adalah pandangan ulama'.
Sekiranya etika tersebut tidak terdapat di dalam mana-mana pandangan sahabat RA, maka ia adalah Masalih Mursalah. Contohnya etika berkenderaan yang disebutkan sebelum ini. Masalih Mursalah ialah mendapatkan kebaikan dan menolak kerosakan.
Contohnya etika berkenderaan tersebut adalah untuk mendapatkan kebaikan, dan menolak kerosakan, bahkan ia mencegah lebih awal.
Sekiranya berkenderaan itu membawa fitnah, maka hukumnya haram. Sekiranya ia tidak membawa fitnah, maka ia adalah bertujuan mencegah lebih awal. Pencegahan lebih awal ini adalah di antara bentuk Masalih Mursalah.
Begitu juga apa yang dinamakan sebagai Sadduz Zarai'. Ia adalah salah satu bentuk pengeluaran hukum yang bersifat "berjaga-jaga". Maka, etika berkenderaan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga daripada ia diambil ringan atau menimbulkan fitnah.
Maka, sebarang etika yang telah digariskan oleh pimpinan adalah bersifat Masalih Mursalah, sekiranya tiada dalil al Quran atau Hadis yang menyebut tentangnya. Juga tiada pandangan ulama' tentangnya.
Tetapi, masalih mursalah ini sudah pasti tidak bercanggah dengan dalil nas. Contohnya untuk menarik minat orang bukan Islam kepada Islam, kita tidak mendirikan solat fardhu. Maka, ia tidak dinamakan Masalih Mursalah, bahkan ia bertentangan dengan nas.
Maka, etika berkenderaan, etika musyrif dan sebagainya yang digariskan oleh KPIPM dan PMRAM, sekiranya tidak disebut nas tentangnya, kemungkinan ia adalah pandangan ulama'. Lalu PMRAM dan KPIPM berijtihad untuk memilih salah satu daripada pandangan-pandangan tersebut.
Sekiranya ia tidak disebutkan, maka ia adalah Masalih Mursalah, yang bertujuan membuat kebaikan dan mencegah kerosakan. Dan ia tidak bercanggah dengan nas yang telah dijelaskan sebelum ini.
Perkara yang perlu diberi perhatian juga ialah ketaatan. Sebarang etika yang telah digariskan oleh PMRAM dan KPIPM ini WAJIB dipatuhi selagi mana ia tidak bercanggah dengan al Quran dan Hadis Shahih. Maka, tidak perlulah dipertikaikan, kenapakah ini salah, kenapa itu salah, PMRAM syadid, dan sebagainya.
Bahkan tidak perlu berhujah dengan menggunakan pandangan ulama'-ulama' yang lain, kerana berkemungkinan etika tersebut telah disebut oleh pandangan yang tidak sama dengan ulama-ulama' tersebut, selagi mana ia tidak bercanggah dengan nas. Maka, berhati-hatilah. Jangan mempertikaikan etika sedangkan kita tidak berautoriti untuk menetapkkanya.
MUHAMMAD MUJAHID BIN MOHAMMAD FADZIL
UNIVERSITI AL AZHAR
mujahidazhar.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment