Di dalam Surah al Asr, Allah SWT telah menjelaskan tentang satu perkara, bahawa “manusia itu dalam kerugian”. Apakah yang dikatakan rugi? Manusia di dunia ini umpama sedang berniaga. Daripada siang, sehinggalah malam, perniagaan ini tidak berhenti. Walaupun sedang tidur sekalipun. Perniagaan ini akan terhenti apabila nyawa sudah dicabut.
Setiap pahala yang dikumpul, umpama duit hasil jualan melalui perniagaan tersebut. Selain daripada pahala, ia dianggap sebagai buang masa, atau kerugian. Ada orang yang berniaga, tetapi sepanjang 10 tahun berniaga, hasilnya cuma seringgit dua. Ada juga orang yang berniaga, tetapi setelah berniaga hampir 15 tahun, perniagaannya tidak pernah memperoleh keuntungan. Bahkan kerugian yang bertimbun-timbun.
Lalu, Allah SWT menjelaskan di dalam al Quran bahawa “manusia itu di dalam kerugian”. Manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian selagi mana perniagaan mereka tidak mengikut garis-garis yang ditetapkan, iaitu:
Pertama : Beriman
Kedua : Amalan Yang Soleh
Ketiga : Berpesan-pesan Dengan Kebenaran
Keempat : Berpesan-pesan Dengan Kesabaran
Inilah 4 garis panduan supaya kita tidak tergolong dalam peniaga yang rugi. Sekiranya salah satu daripada 4 perkara ini tiada, maka ia masih lagi kerugian. Seseorang bukan Islam (tidak beriman) yang membuat amalan soleh, maka dia masih lagi berada dalam kerugian. Begitu juga seseorang yang sudah beriman, dan melakukan amalan soleh, tetapi hanya membiarkan kejahatan di hadapan mata, maka dia juga berada dalam keadaan kerugian.
Tetapi hakikatnya, manusia lebih suka menempah kerugian di dalam perniagaan mereka ketika hidup di dunia ini. Ada juga yang beriman, tetapi hanya sekadar imannya sahaja, solat dan syariat tidak pun dilakukan. Juga tergolong dalam peniaga yang mengalami kerugian. Rugi sahaja hidup di dunia ini.
Keuntungan yang kita pungut di dunia ini, akan digunakan ketika di akhirat nanti. Inilah saham akhirat kita. Sekiranya hidup di dunia ini asyik rugi sahaja, di akhirat nanti bagaimana pula? Dengan pahala apakah kita ingin membeli sesuatu keredhaan? Dengan pahala apakah kita ingin membeli syurga? Dengan pahala apakah kita ingin selamat dari bakaran api Neraka?
Orang yang rugi di dalam perniagaan mereka, tidak mampu untuk membeli apa-apa, dengan hasil perniagaan tersebut. Maka, kerugian itu tidak perlu ditempah. Manusia mengira keseronokan di dunia ini adalah satu keuntungan besar, sedangkan itulah kerugian yang besar. Kita dicipta oleh Allah SWT bukan untuk berseronok dengan dunia. Inilah yang dikatakan “mencari kerugian dalam untung”.
0 comments:
Post a Comment