11 March 2010

Rasuah Dan Pengharamannya

Pendahuluan

Hari ini manusia membincangkan tentang amalan rasuah yang berlaku di Malaysia. Artikel akan membincangkan tentang rasuah dan pengharamannya dalam Islam. Sudah diketahui umum bahawa ia adalah satu amalan haram, yang menjadi amalan beberapa golongan tertentu.

Makna Rasuah

1. Rasuah ialah apa yang diberikan untuk menafikan hak, atau mengiyakan kebatilan. ( al Jurjani, At Ta’rifat, Ali bin Muhammad bin Ali al Jurjani, cet pertama, 1405 H, Darul Kitab al Arabi Beirut, tahqiq Ibrahim al Abyari, ms 148 )

2. Rasuah ialah apa yang diberikan oleh seseorang untuk menjadikan undang-undang itu berpihak kepadanya, atau berjalan mengikut kehendaknya. ( Wizarah al Auqaf Kuwait, al Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiah, cet ke 2, Maktabah Darul Salasil, 1404-1427 H, bahagian 18, ms 108 )

Dalil Pengharaman Rasuah

1. Allah SWT berfirman

Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) (Surah al Maidah : 42)

Al Hassan dan Sa’id bin Jubair RA berkata bahawa “Segala yang haram” yang disebut di dalam ayat ini bermaksud rasuah. ( Wizarah al Auqaf Kuwait, al Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiah, cet ke 2, Maktabah Darul Salasil, 1404-1427 H, bahagian 22, ms 221 )

2. Allah SWT berfirman

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al Baqarah : 188)

Dr Wahbah Zuhaili berkata bahawa maksud “makan harta dengan jalan yang salah” ialah melalui apa cara sekalipun. Antaranya riba, rasuah menipu dalam perniagaan dan sebagainya. ( az Zuhaili, at Tafsir al Munir, Dr Wahbah Zuhaili, cet ke 2, 1418 H, Darul Fikr Damsyik, tafsir Surah al Baqarah ayat 188, bah. 2, ms 164 )

3. Hadis Nabi SAW

لَعَنَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah, dan penerima rasuah

( Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Hibban, Muhammad bin Hibban bin Ahmad Abu Hatim at Tamimi, cet Mu’assasah ar Risalah Beirut 1414 H, tahqiq keluarga Arnauth, no. 5076, bah. 11, ms 467 )

4. Banyak lagi hadis yang menceritakan tentang pengharaman rasuah, dan mengambil harta manusia dengan cara batil. Cukup sekadar ini sebagai dalil yang cukup jelas tentang pengharamannya.

Rasuah Adalah Dosa Besar

Rasuah adalah salah satu daripada dosa besar yang diharamkan oleh Allah. Antara dosa besar yang lain ialah, zina, minum arak, sihir dan sebagainya yang terlalu mendapat kebencian daripada Allah. ( az Zahabi, al Kaba’ir, Muhammad bin Uthman az Zahabi, cet Darun Nadwah al Jadidah Beirut, ms 131 )

Sepertimana yang diketahui, dosa besar hanya akan suci setelah taubat nasuha dilakukan. Taubat nasuha juga mempunyai peringkat dan syarat-syarat yang khusus. Ia bukanlah satu perkara ringan yang hanya boleh disucikan dengan amalan biasa.

الصلوات الخمسة و الجمعة إلى الجمعة و رمضان إلى رمضان مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر

5 solat fardhu, jumaat hingga jumaat, ramadhan hingga ramadhan, kesemua amalan buruk yang dilakukan ketika itu boleh diampunkan.

( al Baihaqi, Syu’abil Iman, Ahmad bin al Husain al Khurasani, Abu Bakar al Baihaqi wafat 458 H, cet. 1, 1423 H, tahqiq Dr Abdul Ali dan Mukhtar Ahmad an Nadwi, bah. 5, ms 230, no. 3347 )

Kezaliman Rasuah

1. Rasuah akan menyebabkan penipuan dalam keputusan mahkamah. Ia berlaku apabila orang yang dibicarakan itu merasuah hakim, dan hakim membuat keputusan menyebelahi perasuah tersebut. Ini telah diterangkan di dalam Surah al Baqarah ayat 188. ( az Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. keempat, Darul Fikr Damsyik, bah. 8, ms 86 )

2. Rasuah menyebabkan kezaliman berterusan. Apabila seseorang yang sepatutnya dipersalahkan, menyuap wang kepada pemerintah, akan menyebabkan kepentingan itu akan berputar di keliling pinggangnya. Ia juga dikatakan sebagai kezaliman apabila mereka yang tidak punyai wang, akan terus tertindas, dan hak mereka akan terus dinafikan.

Allah SWT berfirman

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (Surah Hud : 113)

3. Rasuah akan menyebabkan orang jahat yang mempunyai harta, mampu meneruskan kegiatan jahatnya. Maka, kejahatan orang yang berharta akan terus berleluasa di muka bumi, sehinggakan menafikan hak manusia yang lain.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal