بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir (PERUBATAN) dan pimpinan PERUBATAN cawangan mewakili juga seluruh warga PERUBATAN mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Sarhan Bin Ahmad Khan mahasiswa Perubatan tahun 1 Universiti Tanta (seliaan ejen Medic Mesir) atas kepulangan allahyarham ke rahmatullah. Semoga ruh beliau dicucuri rahmat Allah SWT dan tergolong dalam golongan yang soleh.
Sesungguhnya, kejadian ini diberitakan berlaku pada sekitar jam 11 malam hari Khamis 11 Mac 2010. Mangsa dikatakan berada di Alexandria pada ketika itu bertujuan menziarahi kenalannya. Menurut laporan polis, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terjatuh dari tingkat 4 balkoni rumah rakan beliau. Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah telah berlaku ke atas mangsa dan polis berpuas hati kes ini diklasifikasikan kes kecuaian oleh diri mangsa. Hasil perbicaraan juga telah selesai dan pihak pendakwaraya juga mendapati tiada saksi yang benar-benar melihat insiden kejatuhan mangsa dari bangunan tersebut.
Jenazah Ahmad Sarhan telah berjaya dituntut oleh pihak kedutaan dan selesai dimandikan pada jam 9.00 malam hari Jumaat.Jenazah dijangka akan dikebumikan di Kaherah pada 11 pagi 13 Mac 2010.Rentetan itu, solat jenazah akan diadakan sejurus sebelum allahyarham dikebumikan sekitar pukul 9 pagi di Dataran Kompleks Rumah Negeri, Haiyu Asyir.
Maka dengan itu, saya menjemput seluruh warga PERUBATAN untuk hadir memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham. Di sini juga kami mengambil kesempatan untuk berpesan kepada warga PERUBATAN untuk lebih berhati-hati dalam apa jua tindakan anda bagi mengelakkan berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini berlaku selepas ini
Sekian, terima kasih.
AlBaqa' Lillah
At-Taqwa, As-Syifa', Ar- Rahmah
Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati
MUHAMMAD HUSAINI BIN SALEH
PRESIDEN
PERSATUAN PELAJAR-PELAJAR PERUBATAN MALAYSIA-MESIR
PERUBATAN 10/11
0 comments:
Post a Comment