07 November 2010

13 November 2000 : Peraturan ARMA 1971 & 1986 Adalah Sah


PMRAM.org

Dalam mengenali ARMA, kronologi rentetan perjuangan terhadap kebenaran ARMA melalui bukti dan fakta bertarikh mesti diketahui. Antara bukti kuat PMRAM masih lagi mempunyai hak milik ke atas keistimewaan yang diberikan di anjung ARMA sebagai pejabat beroperasi selain keistimewaan yang lain, adalah melalui peraturan ARMA 1971 & 1986 yang dipersetujui bersama oleh Duta, Pengarah JPMK dan Yang Di-Pertua PMRAM ketika itu.

Peraturan inilah bukti yang tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi yang cuba menafikannya dengan cara menyelewengkan fakta sejarah yang berlaku.

Peraturan ARMA 1971 & 1986 memperuntukkan keistimewaan kepada PMRAM adalah :

- Fasal 1 (pendahuluan), ceraian 1.3 : Tapak bangunan ini adalah diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

- ceraian 1.6 : Anjung tingkat bawah asrama ini adalah dikhaskan sebagai pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

- Bab 2, ceraian 2.3 : Dasar Pentadbiran Asrama ini diputuskan oleh sebuah jawatankuasa, terdiri daripada :- Pengarah JPM (Pengerusi), Penyelia Asrama (Setiausaha), Pegawai Kebajikan (II) JPM, Juruwati Asrama dan Tiga Orang Wakil PMRAM.

Justeru, mesti difahami selepas pengusiran dan penafian hak ke atas PMRAm di ARMA, segala usaha yang dilakukan oleh PMRAM adalah semata-mata untuk menuntut 3 perkara yang telah disebutkan dalam ceraian-ceraian Peraturan ARMA di atas iaitu hakikat tanah atas jasa ahli-ahli PMRAM, anjung ARMA dan penglibatan 3 wakil PMRAM sebagai jawatankuasa penggubal undang-undang dan peraturan bagi ARMA.

Sejak tahun 1999 lagi, keistimewaan ini cuba dihapuskan oleh pihak KBMK apabila undang-undang yang digubal tidak melibatkan 3 wakil PMRAM.Sebab itu tidak pelik sekiranya pada zaman sekarang masih lagi terdapat pihak-pihak tertentu yang menafikan penglibatan PMRAM bahkan turut mengatakan tanah seluas 2122 meter persegi tersebut adalah hadiah secara langsung daripada kerajaan Mesir kepada Malaysia!

Perlu dinyatakan bahawa PMRAM tidak menuntut apa-apa selain daripada anjung ARMA yang dijanjikan sebagai pejabat beroperasi bagi PMRAM, penglibatan 3 wakil PMRAM dalam penggubalan dasar dan hakikat tanah tersebut yang dihadiahkan oleh kerajaan Mesir kepada PMRAM (PMM nama dahulu).

Berhubung hak pemilikan tanah, PMRAM mengiktiraf bahawa nama pemilik yang tercatat pada geran tanah itu pada masa kini ialah Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia), akan tetapi PMRAM tetap memiliki keistimewaan sebagai tuan tanah yanga asal kerana adalah hasil perjuangan PMRAM dengan sokongan pelbagai pihak tanpa meilbatkan kerajaan Malaysia.

Pindaan nama itu dibuat oleh PMRAM hanya semata-mata bertujuan mematuhi protokol bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengeluarkan bantuan kewangan sebanyak RM 250 000 yang telah dijanjikan. Perkara ini berlaku pada tahun 1959 apabila Tan Sri Khir Johari yang datang ke Mesir sebagai Menteri Pelajaran telah menyatakan bahawa wang peruntukan tersebut tidak dapat dikeluarkan melainkan setelah nama tanah itu ditukar kepada nama Persekutuan Tanah Melayu.

Justeru, mengenai dengan Peraturan ARMA 1971 & 1986 tersebut, ia turut diperakui oleh Duta Malaysia pada 13 November 2000 dalam satu mesyuarat yang melibatkan bersama Badan Pengurus PMRAM antaranya ialah Presiden PMRAM, Saudara Nizam Mohd Noh, Ketua Penasihat, Saudara Anhar Opir, Penasihat, Saudara Azhar Yahya, Badan Pengurus, Saudara Ahmad Arif Mohd Arshad, Saudara Hasri Hassan dan Saudara Muhidir Tamjis.

Kesimpulannya, dengan perakuan tersebut ia lebih menyokong akan tuntutan yang dilakukan oleh pihak PMRAM adalah benar dan masih belum tertunai. Ia mesti dituntut sehingga apa yang dimilik sebelum ini oleh pihak PMRAM, dapat digenggam kembali.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal