04 November 2010

Hukum Perempuan Yang Sudah Berkahwin, Mendermakan Hartanya


Sumber : pmram-manhal.blogspot.com

Para ulamak telah bersepakat bahawa seorang perempuan yang sudah baligh, berakal, cerdik dan pandai menguruskan harta dibolehkan mendermakan hartanya seperti kaum lelaki kerana mereka termasuk di dalam ahliyyah mubasyarah al ‘ukud wat tasorrofat (orang-orang yang dibolehkan bebas bertindak dalam urusan akad dan urusan-urusan lain). Namun, berlaku perselisihan pendapat antara fuqahak dalam masalah kebolehan seorang perempuan yang sudah berkahwin mendermakan hartanya sendiri dengan cara memberi hadiah (hibbah) atau sedekah atau sebagainya. Mereka berselisih kepada dua mazhab:

Mazhab yang pertama :

Golongan mazhab yang pertama berpendapat bahawa seorang perempuan yang telah berkahwin sekiranya sudah baligh, berakal dan pandai menguruskan harta (rasyidah), boleh mendermakan keseluruhan hartanya dengan pelbagai cara, tanpa perlu meminta keizinan suaminya, dan tidak dihadkan kadar barang yang akan didermakan dari hartanya, atau yang belum didermakan.

Ini adalah pendapat At thaur, Abi thaur, Ibn munzir dan Az zuhri, inilah juga pendapat dari kalangan mazhab Hanafi dan Syafie serta jumhur dari kalangan mazhab Hambali dan mazhab Zohiri.

Mazhab yang kedua :

Golongan mazhab yang kedua pula berpendapat tidak harus bagi perempuan yang telah berkahwin mendermakan hartanya melebihi dari satu pertiga (thulus), melainkan apabila diizinkan suaminya untuk mendermakan lebih dari itu.

Ini adalah pendapat dari Abi Hurairah dan Anas , dan ia juga pendapat Umar bin Abdul Aziz, Thowus,Husain, Ato’, Mujahid, Ibn Sirin dan Laith bin Saad, inilah juga pendapat dari kalangan mazhab Maliki dan satu riwayat dari Ahmad.

Dalil setiap mazhab :

Dalil mazhab yang pertama :

Mazhab yang pertama berdalilkan seperti berikut :

1. Dari Al Quran

(i) Firman Allah Taala :


Maksudnya : Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda Yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka harta mereka.

Keterangan dalil : Ayat ini telah menyatakan bahawa syara’ telah menetapkan supaya menyerahkan harta anak-anak yatim kepada mereka sama ada mereka ini lelaki atau perempuan setelah dilihat mereka mampu untuk menjaga dan menguruskan harta. Ia juga menunjukkan bahawa barangsiapa yang sudah baligh, cerdik dan berkebolehan menguruskan harta telah terlepas dari tanggungan orang yang menjaganya, dan bebas untuk menguruskan hartanya tanpa perlu keizinan dari sesiapapun. Sesungguhnya seorang perempuan yang bersedekah dari hartanya sendiri sah dan terlaksana sekalipun tanpa keizinan suaminya, sama ada kurang dari satu pertiga atau lebih.

(ii) Firman Allah Taala :


Maksudnya : Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ".

Keterangan dalil : Syara’ Islam menggesa mereka yang sudah mukallaf supaya bersedekah dari harta-harta mereka, dan bersegera kea rah itu sebelum saat kematian. Ayat ini ditujukan kepada kedua-dua lelaki dan perempuan kerana ia mengambil dari umumnya ayat tersebut. Maka ayat tersebut tidak dipisahkan sama ada ditujukan untuk lelaki atau perempuan oleh mana-mana dalil yang lain. Ini menunjukkan bahawa sesungguhnya perempuan juga diperintahkan untuk bersedekah seperti kaum lelaki tanpa memerlukan keizinan dari sesiapapun.

2. Dari Sunnah Annabawiyyah :

عن جابر رضي الله عنه قال : "شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم الصلاة يوم العيد، فبدأ بالصلاة قبل الخطبة..ثم مضي حتى أتى النساء فوعظهن وذكرهن، ثم قال : تصدقن فإن أكثركن حطب جهنم"

Maksudnya : Diriwayatkan dari Jabir radiallahu anhu telah berkata : “Aku telah hadir bersama Rasulullah sallalahu alaihi wasaalam pada solat hari raya, maka dimulakan dengan solat sebelum khutbah..kemudian berterusan sehingga datang kaum perempuan maka baginda member teguran dan peringatan kepada mereka, kemudian baginda berkata : bersedekahlah kamu sesungguhnya kebanyakan dari kamu (kaum perempuan) menjadi kayu api neraka Jahannam”

Keterangan dalil : Hadis ini menunjukkan perintah Rasulullah sallalahu alaihi wasallam kepada kaum perempuan supaya bersedekah walaupun dari perhiasan mereka dan tidak dituntut supaya meminta keizinan suami mereka atau selain dari itu. Dalil ini menunjukkan bahawa seorang perempuan tidak dilarang dari bersedekah sekiranya tidak diizinkan oleh suaminya, dan sedekah diterima tanpa keizinan suaminya.

3. Dari qias :

Sesungguhnya barangsiapa yang menjaga harta seorang perempuan wajib menyerahkannya semula setelah didapati perempuan tersebut telah cerdik dan pandai menguruskan harta, harus bagi perempuan itu menguruskan hartanya sendiri tanpa berhajat kepada izin sesiapapun, diqiaskan kepada harusnya perkara tersebut ke atas para lelaki.

Dalil mazhab yang kedua :

Mazhab yang kedua berdalilkan seperti berikut :

1. Dari Al Quran :

Firman Allah Taala :


Maksudnya : Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Keterangan dalil : Ayat Al Quran tersebut menyatakan sesungguhnya Allah Taala menjadikan orang lelaki penjaga bagi orang perempuan, dan penjagaan atau penyeliaan ini terlaksana apabila tidak diberi kebebasan dalam menguruskan hartanya sendiri melainkan dengan keizinan suaminya sendiri.

2. Dari sunnah an nabawiyyah :

(i) روي أبو هريرة رضي الله عنه "أنه قيل لرسول الله صلى الله عليه وسلم : أي النساء خير ؟ قال : الذي تسره إذا نظر، وتطيعه إذا أمر، ولا تخالفه في نفسها ومالها بما يكره"

Maksudnya : Abu Hurairah radiallahu anhu telah meriwayatkan “Sesungguhnya telah ditanyakan kepada Rasulullah : Yang manakah wanita yang baik (ciri-ciri wanita yang baik)? Baginda berkata : Yang mengembirakan suaminya apabila melihat, dan mentaatinya apabila diperintahkan, dan tidak mengingkari suaminya pada diri dan harta dengan apa yang dibenci oleh suaminya.

Keterangan dalil : Rasulullah telah memuji wanita yang tidak mengingkari suaminya dalam perkara yang berkaitan dengan harta, dan Rasulullah menjadikan wanita itu sebaik-baik perempuan. Ini bermaksud bahawa seorang perempuan sepatutnya menurut suruhan suaminya pada perkara yang berkaitan dengan harta, dan tidak melanggari perintah tersebut. Ini adalah dalil bahawa dia dilarang daripada menguruskan hartanya kecuali jika diizinkan suaminya

(ii) روي عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : "تنكح المرأة لأربع : لمالها، ولحسبها، ولجمالها، ولدينها، فاظفر بذات الدين تربت يداك”

Maksudnya : Diriwayatkan dari Abi Hurairah radiallahu anhu bahawa sesungguhnya Rasulullah telah berkata : Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara : kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah yang memiliki agama miskinlah tanganmu (rugilah kamu sekiranya tidak mendahulukan kerana agamanya)”

Keterangan dalil : Hadis ini menyatakan bahawa seorang lelaki itu kadang-kadang memilih untuk menikahi seorang perempuan itu kerana hartanya, apabila dia menikahi perempuan itu kerana hartanya maka lelaki tersebut berhak ke atas hartanya, oleh kerana itu perempuan tersebut dilarang menguruskan hartanya sesuka hati kecuali dengan izin suaminya walaupun dia merupakan seorang yang berakal, baligh dan rasyidah (cerdik dan pandai menguruskan harta)

Pendapat yang rajih :

Pendapat yang rajih (yang lebih utama) ialah pendapat mazhab yang pertama yang membolehkan perempuan yang telah berkahwin sekiranya sudah baligh, berakal dan pandai menguruskan harta (rasyidah), boleh mendermakan keseluruhan hartanya dengan pelbagai cara, tanpa perlu meminta keizinan suaminya, dan tidak dihadkan kadar barang yang akan didermakan dari hartanya, atau yang belum didermakan berdasarkan dalil yang kuat dari Al Quran, hadis dan qias yang telah disebutkan di atas.

Diterjemahkan dari kitab Nazoriah Al Akdi fi Fiqh Al Islami karangan Al Ustaz Ad Doktor Abdul Fattah Mahmud Idris pensyarah qisim Fiqh Muqoron di Kuliah Syariah dan Qanun Universiti Al Azhar Kaherah, Mesir.

Di sediakan oleh :

Abdul Halim B Ahmad
Felo Manhal PMRAM

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal