15 November 2010

Himpunan Fasilitator Himpunkan Kekuatan PMRAM



Sumber : PMRAM.org

KAHERAH, 11 Nov – Perancangan dalam memperkasakan jentera fasilitator PMRAM berjalan lancar. Antara perancangan yang telah diatur di peringkat Jabatan Fasilitator PMRAM ialah Himpunan Fasilitator PMRAM yang diadakan pada hari ini.

Program bermula dengan Himpunan Fasilitator Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) yang diadakan pada sesi siang, dan Himpunan Fasilitator PMRAM diadakan pada sesi malam.

Pada sesi siang, program bermula pada jam 1 petang, yang diadakan di Rumah Pahang. Himpunan Fasilitator USMB tersebut telah menghimpunkan sebanyak 44 orang lelaki dan 47 orang perempuan, dan kesemua mereka adalah fasilitator yang mengendalikan Muzakarah Berkelompok di peringkat USMB.

Program dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi Jabatan Fasilitator PMRAM, Saudara Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, dan disusuli dengan Tazkirah Pejuang yang disampaikan oleh Saudara Nuruddin Zanki bin Hamzah, Penasihat PMRAM Cawangan Johor.

Pada jam 2 petang, program diteruskan dengan Diskusi Kitab Dakwah Fardiah yang dibentangkan oleh Saudara Mohd Mokhri bin Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Jabatan Fasilitator PMRAM.

Slot diteruskan lagi dengan Slot Muhasabah bersama Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime yang dikendalikan oleh Saudara Amri dan Saudari Izzati Farhana. Himpunan Fasilitator USMB berakhir pada jam 4.30 petang dan disambung pula dengan Himpunan Fasilitator PMRAM pada sesi malam.

Slot Himpunan Fasilitator PMRAM bermula pada jam 6 petang dengan Tazkirah Pejuang yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, sebagai Pengerusi Jabatan Fasilitator PMRAM dengan disertai seramai 90 peserta lelaki dan 110 peserta perempuan.

Setelah selesai isya berjemaah, slot diteruskan dengan Slot Khas Bermanhaj yang dibentangkan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime. Slot khas ini adalah salah satu siri daripada siri-siri manhaj bagi Fasilitator PMRAM.

Slot seterusnya ialah Diskusi Kitab al Muntalaq yang telah dibentangkan oleh Saudara Fairuz bin Syuaib, mahasiswa tahun 4, Kuliah Syariah, Tanta yang bermula pada jam 9 malam.

Seterusnya slot diteruskan lagi dengan Soft Skill yang dikendalikan oleh Saudara Amri dan Saudari Huzaifa binti Hassan. Sesi malam berakhir pada jam 11.30 malam.

Program diteruskan lagi pada keesokan harinya, 12 November dengan slot qiamullail. Para peserta mula bangun pada jam 3 pagi dengan amalan-amalan secara peribadi dan qiamullail berjemaah pula bermula pada jam 4.15 pagi, dengan diimamkan oleh Saudara Jamal Najmuddin Sulaiman.

Setelah selesai Solat Subuh berjemaah, para Fasilitator dihidangkan dengan santapan rohani yang bertajuk “Kuliah Gerakan” yang disampaikan oleh Saudara Zahari bin Mohd Ali, Penasihat PMRAM Cawangan Terengganu. Slot terakhir ini berakhir pada jam 6.25 pagi.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal