17 June 2010

Ringkasan Teori Moden, Tahun 4 Akidah Falsafah (Siri 2)

Antara watak yang menggambarkan Teori Existentialisme


Bab 3 : Wujud dan Teori Kewujudan

Pengenalan

Antara teori kewujudan dan “wujud”, kita perlu mengetahui bahawa :

1. Kewujudan yang hakiki adalah manusia sahaja. Selain daripadanya adalah kewujudan yang wujud untuk kehidupan manusia. (hal. 42)

2. Bahkan, selain daripada manusia hanyalah kewujudan yang kewujudan yang palsu. (hal. 42)

3. Mereka tidak menjelaskan maksud “wujud” tetapi mereka cuba mengecilkan ruang lingkup perbahasan tentang “wujud”. (hal. 43)

Existentialisme Dan Kaedah Epistemologi Kewujudan

Bagaimanakah mereka mengetahui tentang hakikat kewujudan? Mereka tidak menggunakan kaedah akal atau rasional, kerana mereka menganggap bahawa kedua-dua ini bertentangan dengan hakikat. Maka, mereka mengatakan bahawa hakikat itu adalah perkara yang berbeza dengan epistemologi. (hal. 45)

Mereka juga berpegang bahawa pemikiran dan “wujud” adalah sesuatu yang bertembung. Bahkan Kierkegaard (1813-1855) mengatakan bahawa keimanan dan keyakinan adalah satu perkara yang tidak masuk akal. (hal. 45)

Mereka berpegang bahawa untuk mengenali hakikat diri sendiri, perlulah merasa puas dengan diri sendiri, dan cuba mengenali diri sendiri. Iaitu dengan mendalami diri sendiri dan memfokuskan pemikiran. Maka, mengatakan bahawa dengan cara ini, boleh mengenal tentang kewujudan diri sendiri. (hal. 46)

Mereka menambah lagi, hubungan dengan tuhan Jesus adalah cara yang paling baik untuk mengenal hakikat diri sendiri. Ia membolehkan seseorang itu bergabung dengan tuhan Jesus, dan menganggap ketuhanannya adalah segala-galanya. Maka sebab tulah mereka merasa bebas dengan kehidupan dan cuba memahkotakan kebebasan itu. (hal. 47 dan 48)

Zat Dan Hubungan Antara Wujud dan Jiwa

Mereka mendakwa bahawa zat manusia itu bersifat wujud dan kewujudannya bercampur dengan kewujudan-kewujudan yang lain. Iaitu, zat manusia yang dikatakan sebagai kewujudan yang hakiki, memerlukan kepada makhluk-makhluk lain. (hal. 49)

Atau dengan kata lain, mereka mengatakan bahawa kewujudan manusia telah bertukar daripada kewujudan mungkin, kepada kewujudan yang objektivisme. Bahkan perkara ini adalah satu kemestian mengikut pandangan mereka. (hal. 50)

Berdasarkan hubungan di antara kewujudan dan jiwa, mereka mengatakan bahawa semua kewujudan adalah palsu dan tiada, melainkan kewujudan manusia yang hakiki. Maka, apabila mereka ditanya tentang adakah hubungan kewujudan dengan jiwa itu kekal? (hal. 51)

Mereka akan menjawab bahawa tiada sebarang akal, tiada sebarang aliran pemikiran, tiada sebarang pembuktian, tiada sebarang falsafah dan teori-teorinya, tiada sebarang uruf atau taqlid, tiada sebarang agama atau pegangan, tiada sebarang masyarakat atau peraturan, tiada sebarang kekuasaan dan sebagainya. (hal. 51)

Kierkegaard (1813-1855) juga berpegang bahawa perasaan itu adalah nilai segala-galanya. Antara cara untuk meninggikan sensitiviti perasaan, perlulah kepada rasa putus asa, menyesal, keraguan dan sebagainya. (hal. 52)


Bab 4 : Kesilapan Teori Kewujudan

Kesilapan yang besar di dalam teori kewujudan, khususnya apa yang dipegang oleh Kierkegaard (1813-1855) akan diperbincangkan di dalam tajuk ini. Antaranya mereka meletakkan bahawa kewujudan diri manusia yang hakiki itu sangat berhubung dengan kewujudan tuhan Jesus yang menjadi pegangan golongan Kristian.

Maka, mereka meletakkan diri mereka untuk bergabung dengan diri Jesus, dan mengakui ketuhanannya. Maka, ia jelas bertentangan dengan Akidah Islam, dan ia juga bertentangan dengan akal yang waras kerana teori trinity yang menjadi tunggak agama Kristian sendiri bercanggah dengan akal. (hal. 53)

Antaranya apa yang telah dijelaskan di dalam al Quran tentang kesilapan Nabi Adam AS yang telah ditipu oleh Syaitan Laknatullah. Nabi Adam AS telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya tidak memakan Buah Khuldi. Dan ini jelas menunjukkan bahawa kehendak manusia itu terbatas, dan tidak bebas daripada melakukan kesilapan. (hal. 54)

Apatah lagi apabila mereka meletakkan Nabi Isa AS sebagai tuhan sedangkan beliau adalah seorang manusia biasa yang mengikut perintah Tuhannya, Allah. Maka, kebebasan dan kehendak seseorang manusia itu adalah terbatas. Bahkan manusia disuruh untuk jauh daripada helah dan tipu daya syaitan. (hal. 56)

Ini kerana penipuan yang dilakukan oleh syaitan menunjukkan bahawa manusia pastinya melakukan kesilapan dan kesalahan. Juga menerangkan bahawa manusia tidak boleh bebas dan berkehendak sewenang-wenangnya. (hal. 55)

Kewujudan Yang Palsu

Dua perkara yang perlu diketahui tentang kewujudan yang palsu ini, iaitu :

1. Mereka beranggapan bahawa manusia ini wujud secara objek, dan individual. Bahkan berpegang bahawa manusia ini wujud secara hakiki (sebenar). (hal. 63)

2. Kewujudan manusia yang hakiki ini bercampur dengan kewujudan-kewujudan yang lain

3. Kewujudan manusia di dunia, adalah semata-mata kebebasan. Iaitu tiada sebarang ikatan atau halangan untuk melakukan sesuatu.

Antara ciri-ciri kewujudan yang palsu ialah bercakap, meleter, bergaul, bercampur, ketakutan, kerisauan dan sebagainya. Ciri-ciri ini disebut secara ringkas untuk menterjemahkan bahawa kehidupan yang seperti ini merupakan ciri-ciri kehidupan yang palsu. Dan hakikatnya mereka cuba memperlihatkan bahawa kewujudan ini semuanya paslu. (hal. 68)

Manakala hakiki itu adalah kewujudan diri sendiri, yang bebas, individualistik dan sebagainya. Manakala ketakutan, adalah satu perasaan yang muncul untuk menyekat manusia daripada menghampiri sesuatu, dan kerisauan itu tiada lain, melainkan kewujudan yang semata-mata wujud. (hal. 69)

Mereka berkata lagi bahawa kerisauan itu adalah punca bagi semua perasaan, tindakan dan pengharapan di dalam diri manusia. Akan tetapi kerisauan ini boleh menyebabkan seseorang itu meragui kewujudan dirinya yang hakikat. Kerana kerisauan menyebabkan seseorang itu mempertikaikan kebebasan pada dirinya. (hal. 70)

Ulasan Tentang Existentialisme (hal. 71-97)

Pemikiran ini telah banyak menimbulkan kekeliruan. Antara kekeliruan yang jelas ialah, mereka menolak semua kewujudan alam, samada alam fizik, atau Ketuhanan, dan sebagainya. Alam roh juga tidak wujud. Alam semulajadi juga tidak wujud, bahkan mereka mengatakan bahawa kewujudan yang sebenar itu adalah kewujudan individu itu sendiri dengan alamnya yang tersendiri.

Maka, disebabkan inilah mereka mengatakan bahawa mereka bebas untuk melakukan sesuatu. Setiap seorang akan wujud dengan dunia yang dikehendaki oleh dirinya sendiri, dan bebas untuk memilih jalan baik atau sebaliknya.

Selain itu, di sana terdapat kesilapan-kesilapan yang bercanggah dengan teori kemasyarakatan yang meletakkan bahawa manusia hidup perlu kepada kebersamaan. Dan teori ini bercanggah dengan manhaj Islam dalam berfikir. Ini kerana Islam telah memperincikan kewujudan alam ini, dan tidak menolak kewujudan dunia.

Islam juga berpegang dengan kewujudan Allah yang tidak boleh bergabung dengan manusia sepertimana yang didakwa oleh golongan Existentialisme. Islam juga mengatakan bahawa kewujudan manusia adalah kewujudan yang bersifat “mungkin”, bukanlah kewujudan yang hakiki.

Maka, kewujudan yang mungkin memerlukan kepada kuasa untuk mewujudkannya, dan mustahil manusia itu mewujudkan dirinya sendiri sepertimana yang didakwa oleh golongan Existentialisme. Maka, manusia tertakluk dengan sifat kemanusiaan, dan lemah. Oleh itu memerlukan kepada satu sistem yang disusun oleh Allah untuk membezakan di antara baik dan buruk.

Islam juga meletakkan bahawa akal itulah yang membezakan manusia dan binatang. Tidak sepertimana yang didakwa oleh Existentialisme bahawa tiada sebarang istilah akal, teori atau falsafah. Ini kerana kesemua ini adalah unsur-unsur yang menyebabkan manusia tidak bebas. Begitu juga mereka mendakwa bahawa perasaan sensitiviti itu perlu wujud. Tetapi sensitiviti ini menjadi kurang disebabkan perasaan takut dan risau.

Manakala Islam pula, mengajar manusia supaya bersikap berani dan takut kerana Allah. Takut daripada melanggar perintah-perintahnya, takut dengan azabNya dan sebagainya. Maka, jelas di sini beberapa pertentangan di antara Teori Existentialisme yang bersifat Kristianisme dan Islam yang bersifat tulen.

bersambung

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

2 comments:

thaaqhib on June 17, 2010 at 6:00 PM said...

oh..ni rupenye maksud muvi pendek dalam cerita papadom tu. eksistensial sial... faham sikit2.

boleh ustaz ringkaskan, utk kata mudahnya?

alias_safwan on June 17, 2010 at 10:50 PM said...

muvie pendek cite papadom tu (eksistensial sial) pasal lain kot...

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal