24 June 2010

Pemuda Perak Harap Kerajaan Mesir Jelaskan Zulkifli Ditahan


LUMUT, 24 Jun: Pemuda PAS Perak menggesa kerajaan Mesir mempercepatkan proses siasatan dan berharap hak Muhamad Zulkifli Zakaria, 41, diberikan untuk mengetahui kedudukan sebenar beliau ditahan.

Naib ketuanya, Salman Saleh berkata, ini kerana sehingga kini masih tidak mendapat maklumat rasmi daripada Kerajaan Mesir punca sebenar penahanannya.

Sebagai tanda simpati, Pemuda PAS Perak semalam telah menyerahkan bantuan kepada keluarga Muhamad Zulkifli yang ditahan pihak berkuasa Mesir pada 13 Jun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Sumbangan telah diserahkan oleh Salman kepada isteri Zulkifli, Nurul Hidayah @ Icanna Lagago di rumahnya di Taman Samudra, Manjung. Turut serta hadir adalah Safarizal Saleh, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak.

Kepimpinan PAS Kawasan Lumut, Pemuda PAS kawasan dan Pusat Khidmat Masyarakat Adun Pasir Panjang turut serta bersama. Sumbangan berupa kewangan dan barangan keperluan harian telah diserahkan bagi meringankan masalah yang dihadapi.

Manakala pada hari yang sama juga di Kuala Lumpur, usaha pembebasan diteruskan oleh Pemuda PAS Perak yang telah diketuai oleh Mohd Munir Ali, timbalan ketuanya telah menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Mesir.

Hadir sama ialah Raja Ahmad Al-Hiss, Setiausaha Pemuda PAS negeri dan juga Mohd Nazri Din, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Perak.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal