PM : Kerajaan tidak akan keluar lesen judi sukan
Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.
Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.
Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.
Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:
"Saya percaya mereka terima kerana ini keputusan kerajaan. Kerajaan memikirkan sebaik-baiknya kepentingan masyarakat pada keseluruhannya."
Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.
Perdana menteri turut ditanya sama ada kerajaan perlu membayar sebarang pampasan ekoran keputusannya untuk tidak mengeluarkan lesen berkenaan.
Menurutnya, kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana mengikut akta, menteri kewangan ada kuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa.
Ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerana kesan sosial dan pertimbangan ekonomi, perdana menteri berkata ia dibuat atas pertimbangan dari segi agama dan kesan politik.
Perdana menteri mengumumkan keputusan tersebut dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Najib berkata, sebenarnya lesen tersebut telahpun bermula pada tahun 1989 tetapi syarikat berkenaan mengalami kerugiaan besar pada tahun 1990.
Sejak tarikh tersebut, katanya, syarikat berkenaan beberapa kali cuba untuk memperbaharui lesen itu.
Baru-baru ini, katanya, kerajaan telah mengeluarkan kelulusan pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat berkenaan.
Selain itu, tegasnya lagi, kerajaan pada masa yang sama, turut mendapatkan pandangan umum sebelum lesen tersebut dikeluarkan.
"Ini kerana memandangkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen tersebut dari sudut agama, ekonomi dan sosial," tambahnya.
Katanya, daripada tinjaun yang dilakukan, ada pihak yang menyokong dan menentangnya dan "kita ambil kira semua pandangan ini".
"Jelas pada kerajaan bahawa sebilangan besar mereka tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports.
"Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen berkenaan tidak akan dikeluarkan kepada syarikat tersebut," tegas perdana menteri.
Menurut beliau, keputusan tersebut disokong penuh oleh MT dalam perbahasan dan perbincangan dalam mesyuarat malam ini kerana masing-masing telah mengambil kira pandangan masyarakat.
Selain pembangkang dan NGO, pemberian lesen judi sukan tersebut turut dibantah oleh Umno Johor, Kedah, Perak dan Pemuda Umno.
Malah, Gabungan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengadakan perhimpunan membantah pemberian lesen tersebut pada 3 Julai ini.
0 comments:
Post a Comment