22 June 2010

JI : PAS Cabar Kerajaan Dedah Bukti Di Parlimen - Harakahdaily



KUALA LUMPUR, 22 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat dalam masa terdekat berhubung kewujudan semula gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI) di beberapa universiti tempatan.

“Kami semua selaku Ahli Parlimen PAS kesal dan kami minta suatu kenyataan rasmi oleh menteri dibuat di Parlimen dalam kadar segera yang kononnya wujud JI ini yang melibatkan pelajar-pelajar IPTA kita,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mewakili Ahli Parlimen PAS pada sidang media di lobi Parlimen, pagi tadi.

Menurut beliau, dari maklum balas yang diberikan oleh universiti, KDN dalam suatu taklimat bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkaitan isu JI, pihak KDN gagal menjelaskan bukti-bukti wujudnya gerakan bawah tanah tersebut di beberapa universiti tempatan.

“Dalam satu taklimat tentang terorisme pada KPT, saya diberitahu bahawa tidak ada satu pun bukti yang kukuh tentang isu wujudnya JI ini, semuanya lebih untuk mewujudkan persepsi kononnya ada gerakan keganasan di negara kita,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa akan wujud tangkapan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas ahli politik pembangkang dan tokoh-tokoh agama.

“Mungkin akan ada tokoh-tokoh tertentu, tokoh politik atau tokoh-tokoh agama tertentu yang akan ditangkap disebabkan isu ini (JI) dan itulah yang menjadi kebimbangan kami semua,” ujar beliau.

Senada dengan beliau, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Hishammuddin turut dicabar mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung aktiviti pihak pengganas sebenar yang mahu menyerang berhala Dewi Kuan Yin di Air Itam serta berhala Dewa Murugan di Batu Caves, sebagaimana yang beliau jelaskan kepada media massa sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa, tindakan Hishammuddin bersama-sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan itu semata-mata mencerminkan budaya politik menggila di kalangan orang-orang gila.

“Inilah yang saya panggil amalan politik menggila-gila oleh orang gila, kegilaan mereka semata-mata untuk menakut-nakutkan rakyat,” ujar beliau sebagai menjawab tohmahan Hishammuddin sebelum ini kononnya pembangkang adalah gila kerana menganggap tujuan kerajaan mendedahkan isu JI semata-mata suatu sandiwara untuk mengelirukan rakyat.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta kerajaan menyelesaikan dahulu kes demonstrasi mengarak kepala lembu di Shah Alam beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, mereka yang terbabit dalam aktiviti keganasan itu rata-ratanya didalangi oleh pemuda Umno Shah Alam sendiri.

Bagi beliau, isu JI yang digembar-gemburkan kebelakangan ini sebenarnya bertujuan untuk mewujudkan kondisi Islamphobia serta budaya takut di kalangan rakyat.

Isu tersebut, menurut dakwaan beliau lagi, merupakan persiapan Umno BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Katanya lagi, langkah memetakan lanskap politik negara dengan menimbulkan isu JI dan anti-keganasan tersebut seakan sama dengan kondisi anti-Islam yang pernah dicetuskan di Amerika Syarikat pasca tragedi perlanggaran WTC pada tahun 2001 lalu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa di sebalik isu JI itusebenarnya didalangi oleh syarikat komunikasi penuh lantikan kerajaan, iaitu Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) yang nyata diketahui umum sebagai proksi pada Amerika Syarikat dan Zionis Israel.

Dari segi yang lain, beliau berkata, tindakan kerajaan mencipta isu JI akhirnya merugikan negara.

Ini kerana, katanya lagi, kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Hishammuddin dan Musa sudah tentu menghalang minat para pelabur asing, khususnya dari Timur Tengah untuk datang melabur di tanah air ini.

“Mereka mungkin tak sedar yang isu ini (JI) sebenarnya mengakibatkan para pelabur dari Timur Tengah tak berminat untuk melabur di dalam negara kita kononnya ada pengganas dan sebagainya,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal