06 June 2010

Ringkasan Falsafah Baru, Silibus Tahun 4 (Siri 4)

Ni pun gambar adikku yang cute.. Saya dah tak tau nak letak gambar apa dalam ringkasan ni..

Sambungan... masih lagi dalam Bab 3..

Zaman Kebangkitan Eropah

Zaman kebangkitan Eropah, adalah zaman kejatuhan sistem persekolahan falsafah. Sistem persekolahan ini jugalah yang memberikan nilai yang besar dalam mencetuskan kebangkitan Eropah, yang bermula dengan gelombang sedikit demi sedikit pada kurun ke 15 dan 16.

Hasilnya, pada kurun ke 17, bermulalah era zaman Falsafah Baru, yang hidup di bawah bumbung barat, yang banyak mencetuskan pertembungan dengan Kristian. Ia muncul sebagai satu revolusi baru setelah mereka dikongkong oleh sistem persekolahan Falsafah Gereja. Sila lihat Bab 2 sebagai tambahan.

Ciri-ciri Zaman Kebangkitan Eropah

1. Mengagungkan akal sebagai undang-undang, berasaskan pemikiran yang bebas dan menyandarkan kemampuan dan kekuatan kepada individu itu semata-mata.

2. Hasilnya, akan menjadikan manusia bebas untuk mengkaji dan mendapatkan kebenaran yang sebenar, bukan lagi disebabkan aturan dan susuna gereja.

3. Susulan daripada ini, timbullah satu nilai semangat kemanusiaan, dan menobatkan ketuanan dan kemuliaan manusia, atau individu.

4. Susulan daripada ini juga, menghasilkan satu lonjakan untuk merdeka dan jauh daripada resapan pemikiran yang diajar oleh gereja.

5. Munculnya beberapa perubahan pola pemikiran masyarakat. Antaranya mengagungkan manhaj eksperimen, dan pemikiran-pemikiran baru.

6. Munculnya teori-teori yang bebas tentang alam, yang mendedahkan teka teki alam, yang bukanlah dikatakan luar atau atas, sepertimana yang digambarkan oleh orang-orang dahulu.

Faktor-faktor Perkembangan Falsafah Baru

1. Kebangkitan untuk menghidupkan peradaban-peradaban kuno, antaranya Peradaban Yunani dan Romania.

a) Kebangkitan ini banyak dipengaruhi dengan kebankitan jiwa kemanusiaan, yang ingin memisahkan di antara Falsafah dan Kristian.

b) Keinginan untuk membangkitkan nilai-nilai kemanusiaan ini yang menolak sebarang ikutan. Iaitu membebaskan diri sendiri daripada sebarang ikatan.

c) Banyak memberi kesan dalam menggoyahkan Kristian Katholik. Munculnya Prosteton ketika itu yang menghidupkan nilai kemanusiaan, dan dalam masa yang sama menjauhkan Falsafah daripada Kristian.

2. Munculnya gerakan pembaharuan agama, yang mula tumbuh di Jerman, sehinggalah manusia diberikan kebebasan untuk memberi pandangan, dan boleh meminta ampun terus kepada Tuhan, tanpa melalui perantaraan paderi.

Maka, hilanglah peranan dan fungsi gereja serta merta disebabkan munculnya gerakan ini, dan bebaslah manusia daripada sebarang kongkongan gereja sebelum ini. Inilah salah satu faktor perkembangan Falsafah Baru

3. Berkembangnya Ilmu Fizik, atau ilmu tabiat. Maka, berkembanglah penggunaan alat-alat seperti Teleskop untuk meneropong angkasa. Maka, bertambahlah semangat nilai kemanusiaan, seolah-olah mereka berkata “Kami dapat menjelajah ke angkasa”.

Mereka mula menganggap diri mereka sebagai tuhan dan mengagung-agungkan penggunaan akal. Inilah salah satu faktor berkembangnya Falsafah Baru.

4. Melampaunya semangat nilai kemanusiaan. Antara sebab melampaunya iaitu,

a) Kongkongan gereja sebelum ini, yang menyekat pemikiran, ilmu dan pengetahuan.

b) Lahirnya keinginan untuk mengembalikan tamadun lama sepertimana yang telah disebutkan.

c) Kemajuan pengetahuan dan ilmu, dan perkembangan ilmu fizik, sehingga menyebabkan mereka merasa berkuasa.

d) Munculnya gerakan pembaharuan agama sepertimana yang telah disebutkan.

5. Antara faktor perkembangan Falsafah Baru ialah terkesan dengan dunia Islam yang berkembang pesat ketika itu. Antaranya Eropah dihubungkan dengan Mesir, Syria, Iraq dan sebagainya.

Antaranya, Perang Salib yang berlaku pada kurun ke 11 hingga 13, yang banyak membuka ruang kepada Eropah untuk memahami dan mengenali dunia Islam. Mereka banyak mengenali cara pemikiran Islam, yang mendahulukan wahyu berbanding akal, dan menghormati ulama.

Islam telah membezakan ilmu pengetahuan kepada dua, iaitu fizik dan metafizik. Atau alam zahir, dan alam ghaib. Eropah juga banyak mempelajari ilmu-ilmu ini di Andalus, dan menterjemahkan ilmu warisan Islam (turath) ke dalam bahasa mereka.

bersambung...

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal