13 May 2010

Manhaj al Azhar - Kitab Karangan Syeikh Usamah


Baru beberapa minit tadi selesai menghabiskan kitab subjek Tayyarat yang diajar di dalam Kelas Tutorial untuk Tahun 2 (ikhwah). Sebelum itu, kami berhenti berehat dari jam 12 tengahari, sehingga 1.30 petang. Alhamdulillah, sempat menghabiskan semua kitab dalam 2 kelas pada hari ini. Ekspress semacam.

Saya sempat membuka blog Ustaz Nazrul yang baru sahaja menyiarkan post terbarunya, iaitu tentang Manhaj al Azhar yang telah dimuatkan oleh Syeikh Usamah HafizahuLlah di dalam karangannya yang bertajuk al Iyha' al Kabir.


Antara petikan Ustaz Nazrul tentang manhaj al Azhar tersebut ialah (link) :

Syaikhuna al-Allamah mengatakan berdasarkan pemerhatian dan penelitian beliau sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran di al-Azhar al-Syariff, beliau dapat simpulkan bahawa ciri-ciri utama bagi pembinaan jati diri seorang Azhari adalah terbina daripada 8 ciri serta manhaj utama:

1. Bersambung Sanad ( silsilah ) pengambilan ilmu sama ada secara riwayah, dirayah serta tazkiyah. Ini akan diperolehi bilamana seseorang tersebut bertalaqqi ilmu serta bersahabat dengan para ulama di Bumi al-Azhar ini. Ini perlulah dilakukan dalam tempoh masa yang lama bagi memperolehi keahlian serta kefahaman yang jelas tentang ilmu sebenar di dalam Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu itu diperolehi dengan cara bertalaqqi dengan para ulama bukan sekadar membaca tanpa guru.

2. Mengambil perhatian di dalam menguasai ilmu-ilmu asas bagi mempelajari serta memahami al-Quran dan al-Sunnah seperti ilmu Nahwu, Sarf, Balaghah, al-Ishtiqaq, Usul Fiqh, Ulum al-Hadis, Ulum al-Quran dan lain-lain.

3. Mengetahui secara menyeluruh serta jelas tentang Maqasid al-Syariah ( Prinsip-Prinsip di dalam Syariat). Pengetahuan secara mendalam terhadap Maqasid Syariah menyebabkan seseorang tersebut akan dapat membezakan perkara usul dan cabang di dalam agama. Maka ini akan menyebabkan seorang Azhari tersebut tidak akan cepat menghukum sewenang-wenangnya serta akan berlembut dengan golongan yang Jahil serta memberikan tunjuk ajar sebaiknya kepada mereka.

4. Meletakkan ayat al-Quran pada tempat yang sepatutnya. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj sesetengah pihak yang terkadang meletakkan ayat yang diturunkan kepada orang-orang kafir kepada golongan Muslimin. Bilamana perkara sebegini berlaku maka secara tidak langsung akan wujud perpecahan serta buruk sangka kepada muslim yang lain.

5. Membesarkan kedudukan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam. Bilamana seorang Azhari tersebut mengetahui akan kedudukan serta kemuliaan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam, maka secara tidak langsung akan hilanglah perasaan ingin menuduh fasiq kepada umat Islam yang lain, menghukum kafir, ahli Bid’ah serta lain-lain hanya kerana melakukan perkara yang bagi fikiran mereka (yang tidak bermanhaj seperti Azhari) adalah merupakan Syirik Terbesar seperti Bertawassul dan lain-lain. Sedangkan hakikat sebenarnya adalah bertentangan dengan apa yang mereka fikirkan.

6. Meletakkan bahawa perkara paling utama adalah menyampaikan hidayah Islam kepada seluruh alam.

7. Mempunyai ciri-ciri lengkap di dalam pembentukan ilmu iaitu dengan :

a) berpandukan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan al-Qiyas,

b) mempunyai manhaj ilmu yang muktamad serta mempunyai kaedah yang jelas bagi memahami sesuatu nas tersebut,

c) mempunyai kemampuan serta anugerah daripada Allah taala bagi mendalami ilmu tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj yang lain.

Jika tidak punya kaedah yang jelas di dalam pembentukan ilmu maka akan lahirlah kelompok yang hanya mengetahui istilah dalil tetapi tidak mengetahui apakah cara untuk mengeluarkannya , mengumpul serta meneliti dalil satu persatu berdasarkan keahlian seseorang tersebut di dalam bidang ilmu tersebut.

8. Sentiasa mengambil faedah daripada Turath Ummah (Tinggalan umat Islam terdahulu seperti kitab-kitab karya mereka serta apa sahaja yang memberikan faedah dan manfaat), menyedari akan kedudukan serta keagungan tinggalan umat Islam silam serta mengetahui cara bagaimana mengambil segala faedah daripadanya .

Inilah manhaj yang dipegang dan sepatutnya difahami secara lumat oleh penuntut ilmu di al-Azhar al-Syarif. Jika perkara sebegini tidak lagi difahami dengan baik, maka janganlah mengaku pandai serta menuduh orang lain berlagak sombong sedangkan hakikat sebenarnya merekalah yang berlagak sombong tersebut.

Semoga semua dapat mengambil manfaat .

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

p/s : Saya cuma menterjemahkan isi penting di dalam risalah tersebut sahaja, bukan keseluruhannya. Terjemahan secara keseluruhannya akan dimasukkan di dalam risalah Syaikhuna nanti bilamana cetakan pelbagai bahasa dikeluarkan.

Semoga bermanfaat..

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal