11 January 2010

Mereka Yang Kononnya Pasti Masuk Syurga

Terdapat beberapa golongan yang menjanjikan syurga kepada penganut-penganutnya. Antara yang disenaraikan di sini ialah Ajaran Sesat Kahar Ahmad, Yazidiah, Budha, Kaum Yahudi dan Kristian. Maka perinciannya seperti berikut :

1. Kaum Yahudi dan Nasrani

Allah SWT berfirman

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata : “Tiada siapa akan masuk Syurga melainkan orang Yahudi dan Nasrani”. Itu hanyalah angan-angan mereka. Katakanlah kepada mereka : “Tunjukkan bukti kebenaranmu jika kamu orang yang benar (Surah al Baqarah : 111)

Dr Wahbah Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa Yahudi mendakwa bahawa mereka sahajalah yang layak masuk Syurga. Manakala Nasrani pula mendakwa bahawa merekalah yang paling layak. Hakikatnya mereka bercanggah sesama mereka.

Bahkan kesilapan mereka yang paling besar ialah hanya bertaklid buta dengan paderi-paderi mereka yang telah menjanjikan Syurga bagi penganut-penganut mereka. Apabila diminta untuk mendatangkan bukti kepastian mereka masuk syruga, mereka tidak mungkin dapat membuktikannya.

2. Budha

Ajaran Budha bermula daripada hasil praktikal akhlak di dalam falsafah. Mereka mencari-cari akhlak yang paling mulia yang perlu ditonjolkan. Maka terbentuklah satu bentuk penyempurnaan akhlak yang diasaskan oleh seorang hamba Allah yang bernama Budha.

Ia muncul selepas kemunculan agama Hindu pada kurun ke 5 sebelum Masihi. Setelah mengenali manhaj akhlak yang sesuai, maka ia telah beralih dan menjadi satu pegangan dan agama.

Penganut-penganut Budha pada hari ini semakin hari semakin mendewakan diri Budha dan akhirnya mereka menganggap Budha sebagai tuhan. Bahkan mereka menyembah Budha, dan berkeyakinan bahawa Budha lah yang akan memasukkan mereka di dalam syurga.

Mereka telah digembar-gemburkan bahawa Budha yang mereka sembah itu dapat memasukkan mereka ke dalam syruga. Maka, mereka melakukan penyembahan terhadap patungnya kononnya ia dapat masuk syurga dengan lessen tersebut.

3. Al Yazidiah

Kumpulan sesat ini ditubuhkan pada 132 Hijrah ketika Zaman Daulah Umawiyyah, yang pada mulanya diasaskan hanya sebagai gerakan politik ketika itu, tetapi semakin lama dipengaruhi dengan unsur-unsur kesesatan sehinggalah mereka menganggap bahawa Yazid bin Mu’awiyyah sebagai manusia suci.

Mereka mengatakan bahawa Yazid akan kembali sebagai as Sufyani pada akhir zaman untuk menyelamat dunia ini, menegakkan keadilan dan banyak lagi pegangan-pegangan sesat dan syariah-syariah mereka yang tersimpang dari ajaran Islam.

Selain itu mereka turut mensucikan Iblis (ketua Syaitan) dan Malaikat Izrail (pencabut nyawa), mempunyai perayaan khusus yang disambut pada permulaan Tahun Baru Masihi dan menambah beberapa rukun lagi pada Rukun Islam.

Gerakan ini tersebar ke Syria, Turki, Iran, Rusia, Iraq dan beberapa generasi mereka di Lubnan, Jerman dan Belgium. Bilangan mereka ketika ini sekitar 120 000 orang, iaitu 70 000 daripadanya berada di Iraq, dan selebihnya bertebaran ke seluruh dunia.

Sebahagian daripada mereka berdarah Arab, bertutur dengan Bahasa Kurdi, dan mereka memiliki sebuah perpustakaan bernama Perpustakaan al Umawi Li ad Dakwah al Arabiah, terletak di Jalan ar Rasyid di Baghdad.

Mereka berpegang bahawa Syeikh Adiy (orang yang mencetuskan ajaran ini) yang akan membuat timbangan amalan manusia dan menghitung amalan seluruh manusia. Syeikh Adiy ini dikatakan akan memilih penganut ajaran sesat ini untuk dimasukkan ke dalam syurga.

4. Ajaran Sesat Kahar Ahmad

Antara ajaran sesat yang terdapat di Malaysia ialah Ajaran Sesat Kahar Ahmad yang telah diasaskan oleh Kahar Ahmad pada 1986 di Malaysia. Beliau mendakwa telah menerima wahyu daripada Allah melalui Surah Yasin ayat 3 yang menunjukkan bahawa beliau telah diangkat sebagai rasul Melayu.

Beliau mendakwa lagi bahawa beliau merupakan rasul bagi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan negara-negara yang memahami bahasanya.

Pada 25 Jun 2005, ajaran sesat ini sekali lagi diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor di kediamannya, dan beliau ditahan di Balai Polis Taman Melewati sebelum dibicarakan di mahkamah. Pada 30 Julai, setelah perbicaraan berlangsung, dan disabitkan kesalahan, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai rasul Melayu.

Selain itu, beliau mendakwa bahawa solat 5 waktu tidak diwajibkan, kerana tiada dalil yang disebutkan di dalam al Quran. Bahkan dia dan penganutnya kononnya mengerjakan solat ajaran Nabi Ibrahim AS.

Ajaran beliau ini telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1991 lagi. Tetapi mereka masih bergiat aktif dalam menyebarkan ajaran sesat mereka ini. Beliau mendakwa kepada penganutnya bahawa mereka yang mengikut ajarannya dijanjikan syurga, dan menerima syafaat daripadanya.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal