8 Oktober saya telah diminta untuk memberi kuliah oleh Tuan Haji Zaini, Pengerusi Surau Muhammadiah, Jalan Tiong, Kampung Dato Syed Ahmad Said Tambahan 2. Beliau telah menghubungi saya beberapa hari yang lalu untuk memberikan kuliah di surau tersebut.
Alhamdulillah, dikesempatan memberi kuliah di sini, saya telah menjemput ahli kariah untuk menghadiri walimah saya di Ipoh pada 31 Oktober nanti. Selain itu, saya juga telah menerima sejumlah wang hasil sumbangan ahli kariah kepada KPIPM. Sumbangan ini akan terus diserahkan kepada Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadhah, KPIPM setelah saya pulang nanti, insya Allah.
Ketika memberi kuliah di surau ini, saya terfikir satu perkara yang paling penting untuk disampaikan. Iaitu berkenaan dengan masa. Apabila kita menyebut tentang masa, secara automatiknya, semua manusia akan mudah memahaminya, kerana manusia terikat dengan masa. Umur kita juga diukur berdasarkan masa.
Apa itu masa?
Masa mengikut ahli falsafah ialah putaran cakerawala. Umur kita yang diukur mengikut tahun, hanyalah tertakluk kepada pusingan bumi mengelilingi matahari. Sekiranya pusingan tersebut semakin laju, maka umur kita semakin cepat tua. Mudahnya manusia itu tua! Kalau begitu, jangan buang masa..
Masa berniaga, kautlah keuntungan
Kehidupan di dunia ini umpama seorang pedagang yang singgah di sebuah tempat untuk berniaga. Pedagang tersebut perlu mengumpulkan keuntungan sebanyak mungkin, untuk menikmati kehidupan akan datang. Maka, selagi mana dia hidup, dia perlu berniaga bersungguh-sungguh, untuk menyara hidupnya di akhirat nanti.
Malangnya, di sana terdapat juga peniaga yan rugi, dan mereka akan muflis di akhirat nanti. Mereka ini tidak mengamalkan 4 petua peniaga berjaya yang akan diterangkan selepas ini. Di dalam Surah al Asr, Allah SWT telah menjelaskan 4 petua untuk mendapat keuntungan di dalam perniagaan.
Pertama : Beriman kepada Allah
Petua pertama yang dijelaskan oleh Allah ialah keimanan. Apabila kita melihat orang bukan Islam, melakukan amal kebaikan, menderma dan sebagainya, adakah amalan mereka ini membawa mereka ke Syurga? Tidak. Ini kerana, mereka melakukan kebaikan untuk manusia, tetapi mereka tidak percaya kepada Allah yang mencipta manusia. Syurga itu milik Allah, bukan manusia.
Maka, rugilah mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT. Bahkan, di kalangan mereka yang bergelar “Islam” sendiri pun, ada yang belum dikatakan beriman kepada Allah SWT. Golongan ini dipanggil munafik. Luarnya Islam, dalamnya kafir. Mereka ini tidak memperoleh keuntungan dan syurga, bahkan mereka ini telah disediakan neraka yang paling bawah.
Bagaimana pula dengan orang yang ragu-ragu? Mereka ini juga akan mengalami kerugian di dalam perniagaan mereka. Iaitu disepanjang hidup mereka. Ini kerana mereka meragui tentang kekuasaan Allah, meragui keTuhanan Allah dan sebagainya. Mana mungkin mereka akan memperoleh keuntungan.
Kedua : Beramal Soleh
Adakah dengan hanya beriman itu sudah cukup untuk menjadikan kita sebagai peniaga yang memperoleh keuntungan? Tidak sama sekali. Orang Islam yang mencuri, adalah orang yang rugi, walaupun hasil curiannya berjuta-juta. Orang Islam yang mengamalkan rasuah, juga mengalami kerugian walaupun dia menerima suapan rasuah berjuta-juta ringgit.
Maka, seseorang yang beriman itu, hendaklah melakukan amalan soleh. Sekiranya tidak, dia masih lagi tergolong dalam golongan yang rugi. Kita perlu ingat, amal soleh ini hanya boleh dilakukan ketika hidup sahaja. Inilah perniagaan kita. Sekiranya kita sudah mati, amal apakah yang dapat kita lakukan? Maka, gunakanlah amalan yang pahalanya tidak terhenti setakat kematian sahaja, iaitu bersedekah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh.
Ketiga : Berpesan-pesan Dengan Kebenaran
Ya, masih lagi dikatakan sebagai orang yang rugi, sekiranya seseorang Islam itu, melakukan amal soleh, tetapi tidak menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka beribadah kepada Allah siang dan malam, tetapi apabila kejahatan berleluasa, mereka hanya pejamkan mata. Apabila ditanya, mereka menjawab “Biarkan mereka, asalkan aku selamat”.
Anda tidak selamat sekiranya anda membiarkan kejahatan berleluasa. Anda perlu menentang dan menghalang kejahatan ini daripada dilakukan. Sekiranya anda tidak melakukannya, keuntungan apakah yang ingin anda tuntut dari Allah? Dengan amalan yang dibuat seorang diri? Dengan kejahatan yang tidak dihiraukan?
Keempat : Berpesan-pesan Dengan Kesabaran
Mereka yang mempunyai 3 sifat di atas juga, masih belum dikatakan mendapat keuntungan, sekiranya mereka tidak berpesan-pesan dengan kesabaran. Kesabaran yang dimaksudkan ialah kesabaran menghadapi ujian Allah SWT. Allah menguji manusia untuk melihat amalan manusia, dan meningkatkan keimanan mereka.
Tapi, sekiranya mereka tidak sabar dengan ujian itu, maka rugilah mereka. Allah sudah bentangkan ruang untuk mengaut keuntungan tersebut, tetapi mereka tidak mengutipnya. Apabila diuji, mereka menyalahkan takdir kerana ujian yang ditimpa tersebut. Maka, rugilah mereka.
Kesimpulan
Manusia hidup di dunia ini umpama seorang peniaga. Peluang untuk berniaga ini hanya di dunia sahaja. Sekiranya sudah meninggal dunia, tiadalah lagi peluang untuk berniaga, sebagai wang saraan untuk kehidupan di akhirat. Itulah sebabnya, di akhirat nanti, akan wujud golongan yang kaya raya yang memperolehi keuntungan yang benyak kerana perniagaan mereka di dunia.
Selain itu, terdapat juga golongan yang hanya memperoleh keuntungan yang sedikit. Tidak mampu digunakan untuk menyara kehidupannya di akhirat. Bahkan, terdapat juga golongan yang rugi. Mereka ini muflis di akhirat walaupun mereka jutawan di dunia. Maka, Allah SWT berfirman, maksudnya..
Sesungguhnya Allah SWT membeli dari orang yang beriman, jiwa dan harta mereka, yang dibayar dengan syurga..
0 comments:
Post a Comment