12 October 2009

Pelajar “Mesir” Berjiwang? Pandai-pandai je...

Hari Raya pada akhir 2006

Saya agak terkilan apabila terbuka blog al Lukluk al Baidoa yang telah mencopy paste sebuah artikel daripada www.hanan.com.my, yang menceritakan tentang “perilaku” buruk mahasiswa mesir. Pada saya, apabila menyebuat pelajar Mesir, sudah pasti hampir keseluruhan peratus “mukhatab” (orang yang ditujukan) adalah mahasiswa al Azhar. Termasuklah saya juga.

Artikel tersebut bertajuk Cinta Gadis Mesir. Entah, kenapa pelajar mesir... Artikel tersebut seperti berikut..

farah03 menulis: Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan. Pencarian jodoh zaman sekarang tidak sama dengan zaman mak bapak kita masa lampau. Zaman dahulu jodoh dan pertemuan antara adam dan hawa yang dewasa nalurinya untuk melangkah ke alam rumah tangga seringkali diatur susun oleh orang tua atau lebih tepat lagi ibubapa. Untuk keluar rumah mencari pasangan hidup sendiri mungkin mustahil pada zaman dahulu kerana pergaulan yang terhad dan adat ketimuran yang terlampau dijaga walaupun sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu.

Zaman silih berganti, masa merubah segalanya. Tak kenal maka tak cinta . Bila dah kenal tak semestinya cinta. Keadaan dan masa telah merubah persepsi masyarakat kita terhadap penentuan jodoh dan pasangan hidup.Walaupun masih ada dikalangan kita yang berpegang teguh kepada adat ketimuran Melayu lama, tetapi kebanyakan ibubapa zaman canggih ini lebih suka menyerahkan urusan pasangan hidup anak-anak mereka ke pundak mereka masing-masing. Selera anak tak sama dengan selera mak dan ayah. Namun di sana, restu keluarga masih lagi menjadi topik utama dalam ' pembinaan masjid ' baru.

Dikalangan pelajar Malaysia di Mesir, telah wujud satu persatuan memprogramkan pertemuan antara lelaki dan perempuan yang mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga sewaktu belajar yang dinamakan Baitul Muslim . Walaupun sehingga ke Malaysia sendiri program ini diteruskan terutama bagi mereka yang aktif dalam persatuan tertentu di sana. Kebanyakan pelajar perempuan yang berwajah cantik dan menawan menjadi pilihan hati. Sebab itu kalau diselidik dan diperhati, mereka yang telah berumah tangga di Mesir mempunyai rupa dan berjawatan yang mana mereka ini telah diprogramkan untuk berkahwin sesama mereka.

Tidak hairanlah apabila kita katakan bahawa orang lelaki ( pelajar Mesir ) terlalu memilih dalam
pemilihan jodoh mereka dan mereka juga lebih suka ' mengintai ' pelajar-pelajar baru yang mereka anggap lebih ' fresh ' lagi dari pelajar wanita yang sudah lama bertapak di bumi Mesir.

Memang dah menjadi tabiat dan dasar lelaki, yang cantik jadi pilihan, sedangkan rupa mereka sendiri pun tak seberapa. Mungkin pembaca sekalian menganggap tulisan ini berbentuk hentaman dan ketidakpuasan hati. Tapi itu semua tak penting. Apa yang penulis cuba nyatakan adalah hakikat sebenar fenomena di Mesir.

Walaupun kita katakan orang agama ni mesti tengok agama bila cari jodoh , tetapi sebenarnya mereka lebih turutkan nafsu dan keinginan mereka berbanding dengan suruhan agama. Namun mungkin mereka akan katakan soal hati sukar dimengerti, apa yang terjadi diluar kemahuan diri.

Sememangnya soal hati akan berada diluar kawalan bila perasaan dikuasai oleh nafsu. Buaya mana yang tolak bangkai. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan kata buaya. Tetapi apabila
perasaan dan hati kita yang kuasai, setiap gerakan naluri kita akan sentiasa diberi petunjuk oleh Allah taa'lah. Ia ibarat seperti harta benda, apabila kita menguasai harta, eloklah pengurusannya, tetapi bila kita dikuasai harta, maka pincanglah perjalanan harta tersebut.

Jangan jadikan rupa sebagai sandaran semata-mata dalam soal jodoh dan mencari pasangan hidup kerana apa ada pada rupa. Hanya keimanan dan budi bahasa adalah segalanya. Rupa yang cantik tidak akan kekal tetapi budi pekerti yang mulia akan kekal selamanya dan sentiasa dibaja dengan nilai-nilai Islam yang murni.

Amat malang sekali apabila mereka yang diberi peluang untuk mendalami tamadun dan kesusasteraan Islam tidak mengamalkannya dengan sebaik mungkin tetapi hanya bertopeng dimuka saja tidak beriman dijiwa. Selagi tabiat dan perangai sebegini tidak diubah, selagi itulah persepsi pemikiran pelajar Mesir akan terus jumud dan membeku.

Bagi pelajar wanita yang dianggap lawa dan ' cute ' akan diberi nasihat supaya memakai purdah yang lebih dikenali sebagai niqab dikalangan ' orang Mesir ' yang mana dikatakan bagi mengelak dari dilihat oleh ' ustaz-ustaz ' yang bermata keranjang dan tidak dapat kawal perasaan serta menjauhkan fitnah.

Apakah rasional disebalik pemakaian purdah tersebut ? Adakah sekadar nak tutup muka supaya tak dilihat ajnabi ( lelaki asing ) atau kita menghukumkan pemakaian purdah tersebut wajib ke atas kita atas sebab-sebab darurat ? Tepuk dada tanya iman ! Pusat nafsu adalah akal.
Manakala akal adalah alat yang paling canggih ciptaan Allah taala untuk khalifahnya mengatur urusan di muka bumi ini. Kalau nafsu kita tak dapat kawal dengan alat yang paling canggih anugerah Allah, apatah lagi nak menjalankan urusan pentadbiran di hari muka kelak.

Perlu diingat jangan kita samakan pemakaian purdah di zaman kita dengan zaman Rasulullah saw. Pada zaman baginda, terlalu banyak kekacauan yang berlaku terhadap wanita-wanita kerana nafsu orang arab yang tidak terkawal. Oleh itu disarankan kepada mereka supaya memakai tudung labuh yang bersambung dengan baju serta menutupi muka mereka begi mengelak sebarang gangguan apabila keluar dari rumah.

Jangan kita permainkan pakaian wanita di zaman tersebut dengan karenah kita yang pelbagai , sekejap tutup, sekejap buka, depan ustaz tu boleh buka, depan ustaz tu tak boleh buka. Sebenarnya bagi mereka yang memakai purdah, ada beberapa keadaan yang mewajibkan mereka membuka purdah mereka di antaranya ketika membuat urusan jual beli dan ketika menadah ilmu. Tetapi masih ada lagi yang jahil tapi tetap nak pakai.

Bagi mereka yang tinggal di Malaysia, inilah keadaan Mesir yang tidak diketahui oleh orang.


---------------------------------------------------------------------------

Ulasan

1. Unit Bait Muslim (UBM) memprogramkan pertemuan (perenggan ke 3)

Hakikatnya, UBM bukan hanya memprogramkan pertemuan sahaja. UBM bertindak sebagai “orang tengah”, dan mereka yang terlibat adalah dari kalangan orang yang sudah berkahwin, yang boleh dipercayai. Bukan semua. UBM mula berperanan seawal timbulnya keinginan oleh seorang individu. Sesiapa yang “ingin” mendirikan rumahtangga, inilah salurannya. Memudahkan urusan, mengelakkan fitnah dan sebagainya.

Contohnya seperti hospital. Adakah hospital itu untuk orang yang sakit sahaja? Kalau tiada orang sakit, adakah hospital perlu dirobohkan? Di dalam hospital, ada menyediakan bahagian kaunseling, bahagian penerangan tentang penyakit, bahagian medical checkup dan sebagainya. Adakah di hospital kita hanya menemui pesakit? Tidak juga. Kita juga perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan sebagainya.

Maka, bagi mereka yang ingin berkahwin, di sana terdapat sebuah unit yang bertindak untuk memudahkan urusan ini. Dan mereka dianggotai oleh orang-orang tertentu, dan rahsia adalah rahsia. Saya sebagai Yang Dipertua KPIPM dahulu pun, satu habuk rahsia UBM pun saya tidak tahu, dan saya juga tidak dibenarkan mengambil tahu.

Kalau nak cerita tentang UBM di artikel pendek ini, agak sukar. Saya ingin perbetulkan keadaan, hakikatnya UBM ini bukan hanya di kalangan pelajar Malaysia di Mesir, bahkan di universiti dan kolej di Malaysia pun banyak. Penulis sendiri sudah menyatakan tentang hal ini. Tetapi apa yang saya persoalkan, “kenapa Mesir?”

2. UBM diteruskan oleh pelajar berpersatuan terutamanya (perenggan 3)

Apakah maksud mereka yang berpersatuan? Saya dalam KPIPM, saya sebagai ahli. Sudah pasti saya ini orang persatuan. Kalau bukan persatuan, bukan ahli lah maknanya. Maka, orang yang tidak berdaftar di bawah KPIPM, bagaimanakah caranya untuk kita menguruskan keinginan berumah tangganya? Maklumat peribadi langsung takda.. Tetiba datang nak kawin.. Pastu mintak persatuan uruskan. Daftarlah dulu.. Apa salahnya.

3. Mereka yang mempunyai rupa dan berjawatan, telah diprogram untuk berkahwin sesama mereka (Perenggan 3)

Pada permulaan artikel ini, telah ditulis, jodoh itu di tangan Allah. Saya tidak faham apa yang dikatakan sebagai “diprogramkan”? Adakah exco dipaksa untuk berkahwin dengan exco jugak? Oklah, secara mudahnya, kita pun tahu bahawa jodoh itu di tangan Tuhan. Maka, kalaulah si exco berkahwin dengan orang bukan exco, adakah ia dianggap “tersalah programming”?

Di dalam KPIPM dan PMRAM sendiri, masih ramai yang demikian. Saya sendiri, bakal isteri saya bukanlah orang yang berjawatan seperti exco dan sebagainya. Adakah salah programing? Atau dia itu bukan jodoh saya? Jodoh itu di tangan Allah. Kalau dia yang belum saya kahwini itu sebenarnya bukan jodoh saya, itu kuasa Allah. Bukan programming manusia.

Pelik juga, mereka yang ada rupa dan berjawatan..... Adakah orang yang tiada rupa itu tidak laku? Persoalan yang ingin saya kemukakan, apakah ukuran “rupa” tersebut? Bagi seorang suami, isterinya adalah wanita yang paling anggun di dunia. Kecantikan dan rupa itu adalah perkara yang berbeza-beza mengikut setiap orang. Ada orang kata Siti Nurhaliza (sebagai contoh) sangat cantik. Ada juga yang mengatakan, “biasa saja..” Ada pula yang mengatakan,.. “isy.. tak berapa lah..”

Dulu, kawan saya pernah bertanya kepada seorang hamba Allah berkulit hitam. “Kamu minat perempuan warna apa?” Spontan dia menjawab “Mestilah yang berwarna hitam macam aku...” Ditanya lagi “Lawa ke perempuan macam tu...” dia menjawab “Mesti la lawa.. Aku tak suka perempuan berkulit putih...” Ambillah iktibar daripada dialog ini.

Ada orang yang tak suka perempuan yang gigi taringnya terkeluar. Ada orang lain pula berkata “kalau gigi taringnya terkeluar.. nampak manis..” dan macam-macam lagi. Inilah keajaiban ciptaan Allah...

4. Mengintai pelajar baru? (Perenggan 4)

Pelajar Mesir “mengintai” pelajar baru untuk dijadikan pasangan? Entahlah. Bagi saya, itu hanya tuduhan yang tiada bukti. Kalau ada pun, adakah disebabkan seorang yang membuatnya, semua pelajar Mesir terus dilibatkan sama? Hakikatnya, dikalangan orang kahwin di Mesir, ramai di kalangan isteri-isteri mereka yang lebih tua daripada si suami. Boleh cek dalam senarai..

Terus terang saya sebut, bukan untuk berniat menghina sesiapa. Kebanyakan pelajar baru yang sampai di bumi Mesir, mereka masih belum matang dalam persoalan ini, tetapi bukan semua. Apabila sudah menjangkau setahun dua di Mesir, barulah mereka menjadi “agak dewasa”. Dan, ramai lelaki yang pernah saya bual, mereka tidak suka dengan perempuan yang “kebudak-budakan”.

Kadangkala, susah hendak berkomunikasi dengan mereka. Mereka yang lebih tua, lebih mudah untuk berkomunikasi. Lebih mudah memahami situasi dan sebagainya. Payah untuk diceritakan di sini, sekiranya anda tidak berada bersama kami.

5. Lelaki terlalu memilih (Perenggan 4)

Saya yakin, penulis artikel ini adalah wanita. Apabila dia mentohmah si lelaki, maka sayalah lelaki yang ingin menjawab persoalan itu. Kalau saya katakan, sebenarnya “perempuan yang terlalu memilih”.. Boleh tak? Saya sebagai seorang lelaki, yang belajar di al Azhar, sangat sukar untuk mengenali pelajar perempuan (akhawat). Kadangkala kita mengajar mereka dari tahun satu.. tetapi sehingga sekarang belum kenal.

Bagi saya, ramai pelajar perempuan mengenali pelajar lelaki, tetapi hanya sekerat dua pelajar lelaki yang mengenali pelajar perempuan. Jadi, apabila terjadinya situasi ini, tidak bolehlah lelaki itu dipersalahkan kerana memilih. Mungkin sebab mereka tidak kenal akhawat-akhawat yang lain. Tengok pun tak pernah, apatah lagi hendak kenal.

Contohnya, seorang lelaki yang tidak dikenali menelefon saudari. Lalu memperkenalkan namanya yang agak asing didengari. Kemudian dia menyatakan hasrat kepada saudari untuk mendirikan rumahtangga. Sudah pasti saudari akan berkata dalam hati “Sape pulak mamat ni.. gila ke apa dia ni...?” “Dahla tak kenal, tetiba je nak kawin dengan aku...”

Jodoh itu di tangan Allah. Maka, apa lagi yang perlu dipersoalkan? Dah kamu bukan jodohnya. Itu kerja Allah.

6. Ustaz bermata keranjang (Perenggan ke berapa entah.. kira sendiri..)

Mereka yang bermata keranjang, bukanlah ustaz... Ustaz bukan hanya diukur dari sudut “ilmu” semata-mata dengan mengenepikan akhlaknya.. Maka, saya syorkan saudari mengenali dan memahami erti ustaz yang sebenar. Seorang ustaz akan menjaga pandangannya. Perlu diingat, adakah lelaki sahaja dikatakan bermata keranjang? Perempuan takda yang mata keranjangkah?

Perempuan lebih mudah, dan lebih berpeluang melihat si lelaki. Hakikatnya perempuan juga haram melihat lelaki tanpa sebarang sebab. Bukan aurat sahaja yang diharamkan melihat, bahkan satu anggota lelaki itu pun diharamkan melihat tanpa sebab, walaupun dia berpakaian.

7. Inilah kalam akhirnya “Bagi mereka yang tinggal di Malaysia, inilah keadaan Mesir yang tidak diketahui oleh orang.”

Sebenarnya penulis ini hanya menuduh. Dia bukannya tahu. Di sini, ingin saya sebutkan, di dalam Mantiq Moden, ada istilah istiqra’. Ia terbahagi kepada dia iaitu, istiqra naqis dan istiqra tam. Istiqra ialah kajiselidik, atau yang lebih kita kenali pada hari ini. Daripada kaedah ini, dan dibandingkan dengan artikel yang ditulis oleh saudari Farah.. terdapat beberapa persoalan yang ingin saya timbulkan :

Satu

Berapa ramaikah “ustaz” yang anda kenal, yang melakukan sepertimana yang anda katakan? Seorang? Dua? Pelajar Malaysia di Mesir kalau campur Medic.. berbelas ribu. Adakah, dengan hanya disebabkan seorang, dua, anda telah melabelkan kepada semua? Kalaulah dalam artikel itu ada menyebut “sebahagian”, atau “sebilangan kecil” daripada mahasiswa... ia juga salah. Ini kerana, anda menyebut yang minoriti untuk merosakkan atau memadamkan majoriti.

Dua

Berapa ramaikah akhawat yang berpurdah buat perangai sepertimana yang disebut? Anda menyebut, “sekejap tutup, sekejap buka, depan ustaz tu boleh buka, depan ustaz tu tak boleh buka”. Saya nak tanya, siapa fa’il dia? Atau naib fa’il? Ayat tergantung.. memang digunakan untuk membuat tuduhan. Persoalannya, berapa belaskah akhawat kita yang sedemikian?

Habis...

Saya rasa, sekadar inilah ulasan saya. Saya sebagai mahasiswa al Azhar, cukup terkilan dengan tuduhan seperti ini. Si Ikhwah pun dipersalahkan, si akhawat pun kena.. Selebihnya, masing-masing fikirlah sendiri. Kepada pembaca, tanyalah dengan orang yang boleh dipercayai, yang mengetahui, untuk menjelaskan hal ini.

Ramai orang boleh mengaku "dia tahu hal sebenar". Pandai-pandai dia je. Entah cerita yang dia tahu itu, adalah bukan "hal sebenar"..

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal