21 May 2010

Ringkasan Kitab Syarah Mawaqif - Silibus Tahun 3 Usuluddin

Halaman depan Kitab Mawaqif karangan Syeikh Idhoduddin al Ijie

Salah satu syarah bagi kitab Mawaqif karangan Syarif al Jurjani dan di"hasyiah"kan oleh dua orang ulama sepertimana yang tertera..

Makhtutat (tulisan asal) kitab al Mawaqif..


Kitab Syarah Mawaqif adalah silibus Universiti al Azhar untuk Usuluddin, Tahun 3 bagi subjek Akidah. Kebanyakan kos di setiap muhafazah menggunakan kitab yang sama, iaitu al Mawaqif karangan Syeikh Idhoduddin al Ijie, cuma syarahan yang berbeza mengikut muhafazah dan kuliah.

Contohnya di Kaherah, kitab ini telah disyarahkan oleh Dr Hassan Mahram, dan di muhafazah lain, WaLlahua'lam. Maka, di sini saya menggunakan salah salah syarah oleh pensyarah al Azhar, bagi mensyarahkan kitab yang menjadi silibus untuk tahun 3, Usuluddin.

Syarah yang paling famous berdasarkan pandangan saya, ialah karangan Syarif al Jurjani sebanyak 8 jilid, cetakan Maktabah Darul Kutub Misriyyah. Saya beli dahulu dengan harga LE 90 sahaja. Cuma, saya lebih mudah menggunakan syarahan daripada Dr Muhammad Husaini Musa Mohd al Ghazali, sepertimana yang saya ringkaskan di bawah ini.

Syarah Kitab Mawaqif (Bab Ketuhanan)

Karangan : Idhoduddin al Ijie RA
Syarah oleh Dr Muhammad Husaini Musa Mohd al Ghazali

Bab Ketuhanan adalah "Mauqif Kelima" daripada kitab ini. Di dalam bab ini menceritakan tentang beberapa dalil membuktikan kewujudan Allah SWT, mengikut beberapa pandangan. Antara golongan yang yang disebutkan di sini ialah :

1. Salafussoleh

2. al Maturidiah

3. al Asya'irah

4. Muktazilah

5. Hukama'

6. Sebahagian Golongan Terkemudian

7. Syeikh Idhoduddin al Ijie (pengarang)

Masing-masing mempunyai dalil tersendiri dalam membuktikan kewujudan Allah SWT. Maka, huraian saya hanya tertakluk kepada ketujuh-tujuh yang disebutkan di atas.

Pertama : Salafussoleh

Siapakah yang dimaksudkan dengan Salafussoleh? Maka, di sana terdapat beberapa pandangan tentang maksud Salafussoleh, iaitu :

a. Pandangan Pertama

Mereka yang berdamping dengan Baginda SAW, dan dikira mengikut individu

b. Pandangan Kedua

Mereka yang dikatakan sebagai “bukan khalaf”, kerana berdasarkan bahasa, salaf adalah golongan sebelum khalaf

c. Pandangan Ketiga

Mereka yang hidup pada zaman-zaman berikut :

• Pandangan Pertama : Mereka yang hidup sebelum 100 Hijrah
• Pandangan Kedua : Mereka yang hidup sebelum 300 Hijrah
• Pandangan Ketiga : Mereka yang hidup sebelum 500 Hijrah

d. Pandangan Keempat

Mereka yang berpegang dengan al Quran dan Sunnah, dan mendahulukan kedua-duanya berbanding yang lain dalam mengeluarkan dalil dan dalam kehidupan. Pandangan ini paling rajih. WaLlahua’lam.

Dalil Salafussoleh Tentang Kewujudan Allah

1. Dalil Fitrah

Mereka membuktikan kewujudan Allah SWT berdasarkan fitrah semulajadi manusia yang mengatakan bahawa Tuhan yang mencipta alam ini pasti wujud. Iaitu, naluri yang meletakkan kemestian bagi alam ini memerlukan Tuhan yang menciptanya.

Manusia yang normal fitrahnya, pasti akan mengatakan bahawa Allah itu wujud. Mereka yang menafikan kewujudan Allah, adalah mereka yang telah tersimpang fitrahnya.

2. Dalil Naqli

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana pula fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. (Surah az Zumar : 38)

3. Dalil Penciptaan

Dalil penciptaan terbahagi kepada dua bentuk yang telah dikemukakan oleh Salafussoleh :

a. Bukti kewujudan makhluk dalam bentuk material.

Contohnya, manusia yang dilahirkan, jelas menunjukkan bahawa kewujudannya dapat dilihat dengan mata kasar.

b. Bukti kewujudan sistem zuriat yang mampu mengekalkan keturunan.

Contohnya, semua haiwan mempunyai “naluri” untuk mengekalkan zuriat masing-masing, tanpa perlu diajar oleh sesiapa. Siapakah yang mengajar mereka beranak melainkan Allah?

Maka, berdasarkan kedua-dua perkara ini, terbentangnya firman Allah SWT

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. (Surah al Fussilat : 53)

Kedua : al Maturidiah

Al Maturidiah ialah golongan yang bersandar dengan Imam Abu Mansur al Maturidi RA yang bersambung ilmunya kepada Imam Abu Hanifah RA. Mereka tergolong dalam golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Dalil yang digunakan oleh mereka untuk membuktikan kewujudan Allah ialah dengan 4 dalil, iaitu :

a. Dalil Fitrah
b. Dalil Penciptaan
c. Dalil Kemungkinan Makhluk
d. Dalil Baharunya Makhluk

Dua dalil yang pertama telah dijelaskan sebelum ini, iaitu dalil yang digunakan oleh Salafussoleh. Maka penjelasan yang dihuraikan di sini hanya pada item (c) dan (d) sahaja.

Dalil al Maturidiah Tentang Kewujudan Allah

1. Dalil Kemungkinan Makhluk

“Kemungkinan” pada makhluk ialah : kewujudan makhluk disifatkan sebagai mungkin ada dan mungkin tiada. Contohnya, manusia boleh mati bila-bila masa, dan tidak akan wujud sekiranya Allah tidak meniupkan roh kepada janin yang berada di dalam rahim.

Ia terbahagi kepada dua :

a. Kemungkinan pada Jauhar

Kerana “jauhar” wujud selepas tiada. Contohnya jirim-jirim di langit dan bumi. Ini menunjukkan bahawa jirim-jirim ini “berkemungkinan wujud”. Apabila ia sudah pun wujud, ia berkemungkinan hilang bila-bila masa.

b. Kemungkinan pada ‘Aradh

Kerana “aradh” wujud dalam keadaan bergabung, atau banyak. Contohnya dalam badan manusia, terdapat berbilang-bilang “aradh”, seperti berlari, berwarna coklat, sederhana tinggi, sambil ketawa.

Maka, kewujudan makhluk yang bersifat “mungkin” ini, membuktikan kewujudan Allah SWT yang wajib wujud (berbeza dengan mungkin wujud).

2. Dalil Baharunya Makhluk

Yang dimaksudkan dengan “baharunya makhluk” ialah wujudnya makhluk selepas tiada. Iaitu, makhluk ini dimulai dengan tiada, kemudian ada. Maka dinamakan sebagai “baharu”. Iaitu “baru wujud” selepas tiada.

Ia terbahagi kepada dua :

a. Baharunya “Ain”

Baharunya “ain” sesuatu makhluk boleh dilihat melalui pancaindera, kajian dan sebagainya. Contohnya manusia wujud selepas ketiadaannya, dan ini boleh diperhatikan dengan mata.

b. Baharunya “Aradh”

Baharunya “aradh” berdasarkan kepada gerakan atau berhenti, bergabung atau berpisah. Maka semua ini menunjukkan “aradh” itu adalah sesuatu yang baharu, iaitu berdasarkan perubahannya.

Maka, baharunya makhluk ini menunjukkan bahawa di sana pastinya ada “sesuatu” yang mewujudkannya daripada tiada. Mana mungkin ia wujud dengan tersendiri, kerana wujudnya bersifat mungkin (sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini).

Maka, yang mewujudkan makhluk daripada tiada kepada ada, pastinya Allah yang tidak bermula dengan tiada, kerana Allah SWT bersifat qadim (tiada permulaan bagi kewujudannya).

bersambung...

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal